Oleh: PROF DR. SIDEK BABA

ISU Islam sering menjadi isu yang kontroversial. Sebahagian orang-orang Barat merasa fobia atau takut kepada Islam. Islam diberikan pelbagai label. Ada yang menghubungkan Islam dengan pengganas, pelampau, fundamentalis dan agama yang jumud dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman.

Tidak kurang juga di kalangan orang-orang Islam sendiri berpendapat terlalu Islam umat tidak akan maju.

Para remaja harus memahami isu-isu berbangkit dengan ilmu dan kebijaksanaan. Tanpa pemahaman yang telus, remaja bakal terheret sama untuk membuat tanggapan bahawa terdapat sesuatu yang negatif pada Islam.

Remaja harus dapat membezakan Islam sebagai agama dengan ajaran yang mendidik manusia menjadi baik dan berilmu dan berperanan mensejahterakan umat manusia. Remaja juga harus memahami bahawa penganut Islam mempunyai berbagai orientasi, tahap keilmuan dan pendedahan terhadap sejarah dan tamadun Islam menyebabkan kefahaman dan penghayatan Islam menjadi berbeza.

Fobia Barat terhadap Islam datang dari rejim Barat yang memerintah dan mempunyai kepentingan tertentu. Semacam ada dendam Salibiyyah terhadap Islam atau tekad zionis untuk melaksanakan protokolnya.

Al-Quran juga memperingatkan kita mengenai strategi musuh-musuh Islam yang sentiasa merancang untuk menghancurkan Islam sama ada ajaran mahupun imej umatnya. Strategi mereka memperkasa program-program media cetak dan letronik dengan budaya popular Barat merupakan salah satu strategi untuk menghancurkan akhlak dan pemikiran generasi muda.

Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa seluruh tipu daya mereka akan di atasi dengan syarat umat Islam kembali menghayati Islam dalam erti kata yang sebenar.

Isu tentang pengganas, lebih merupakan label politik dan ketenteraan. Islam adalah agama sejahtera dan damai. Bila orang-orang Palestin dijajah buminya dan dihalau sebagai pelarian, sudah tentu wujud tentangan kerana mereka ada hak untuk hidup di negaranya sendiri. Orang-orang Palestin juga ada maruah dan perasaan. Apabila makna keadilan tidak lagi ada, hal asasi dinafikan, pencerobohan terus berlaku, penentangan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Begitu juga isu mengenai pelampau mempunyai akar sebab yang hampir serupa. Telah sekian lama negara-negara umat Islam dijajah, hak mereka dinafikan dan faham sekular dan liberal dipaksakan kepada mereka, menyebabkan wujudnya aliran dan kefahaman yang dianggap tidak selari dengan kehendak proses kemodenan yang menganggap sesuatu yang bersifat tradisi itu melampau.

Hal yang sama juga dihubungkan dengan isu fundamentalisme. Apabila Barat mengambil pendekatan anti agama dan anti Tuhan dalam sistem berilmu dan pemerintahan, sebarang aliran yang mendukung prinsip dan nilai agama yang tulen dianggap sebagai memutar jarum jam ke belakang dan ia dianggap sebagai kembali semula kepada fundamental atau perkara-perkara yang asas.

Adalah sesuatu yang logikal apabila umat Islam khususnya generasi muda ingin memurnikan pemahaman dan penghayatan Islamnya maka sudah tentu asas-asas yang fundamental menjadi sumber amalan mereka. Kerajinan mereka melakukan solat, kesediaan menutup aurat, bergaul dalam batasan yang dibenarkan oleh syarak, tidak terlibat dengan maksiat, benci arak dan pergaulan yang lepas bebas adalah perkara-perkara fundamental dalam ajaran Islam.

Lebih fundamental lagi ialah Islam mengajar tentang makna keadilan, amanah, kebijaksanaan, kesederhanaan, kejujuran , keikhlasan dan ketelusan supaya dalam hubungan sesama manusia ia menjadikan pedoman, prinsip dan amalan.

Mengapa timbul tanggapan negatif yang mengatakan bahawa menjadi terlalu Islam menyebabkan umat Islam tidak maju sedangkan menjadi umat Islam yang berilmu dan baik adalah penyumbang kepada kemajuan Islam itu sendiri. Ia tidak saja menyumbang kepada orang-orang Islam tetapi berfaedah kepada yang Bukan Islam.

Tentu ada sebab-sebab tersendiri mengapa puncak kemajuan Islam di Baghdad dan Andalusia suatu ketika dulu menjadi sumber rujukan dan ambilan ilmuan Barat untuk dijadikan sumber membangunkan Barat itu sendiri.

Kalaulah puncak kemajuan sains dan teknologi dalam Islam dianggap menjumudkan manusia dan menghalang faktor kemajuan tidak mungkin kitab-kitab Ibnu Sina seperti Qanun fit Tib diterjemah ke dalam bahasa Latin dan Ibrani dan menjadi sumber rujukan di Eropah dalam bidang ilmu perubatan berabad-abad lamanya.

Contoh yang terbaik bagi remaja ialah bagaimana Malaysia melaksanakan tekad memperkasa Islam menerusi membangunkan bank dan takaful Islam mengikut kaedah hukum syarak dan membangunkan universiti Islam antarabangsa bagi pelajar-pelajar Malaysia dan pelajar di seratus negara di seluruh dunia.

Menerusi sistem perbankan dan insurans Islam asas sistem kewangan Islam sedang terbina dengan baik, memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi, memberi pilihan kepada umat mengenai sistem tanpa riba dan berjaya meyakini orang Bukan Islam bahawa faktor syarak memberikan asas kestabilan dan kemajuan dalam ekonomi.

Hal yang sama berlaku terhadap kemajuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Umpamanya pelajar-pelajar antarabangsa yang sebahagian besar mereka tidak mahir bahasa Inggeris dan bahasa Arab akhirnya menjadi mahir menguasai bahasa tersebut. Bahasa Inggeris penting untuk menguasai ilmu pengetahuan berbanding dan bahasa Arab juga penting untuk memahami al-Quran dan Islam.

Pada masa yang sama UIAM menawarkan dua bidang ilmu dan pendidikan yang berjalan serentak. Pelajar yang mengambil bidang undang-undang awam diwajibkan mengambil bidang syariah dan sebaliknya. Pelajar-pelajar ekonomi dan pengurusan diajar juga tentang ilmu mengenai sistem kewangan dan perbankan Islam.

Hal yang sama juga berlaku di kuliah-kuliah yang lain menghubungkan ilmu dan tamadun Islam dalam pengajaran dan pembelajaran. Bayangkan pendebat-pendebat UIAM sering muncul sebagai pendebat terbaik di dunia, adalah gambaran bahawa mengamalkan prinsip dan ajaran Islam dalam sistem ilmu dan ekonomi negara tidak menjadikan umatnya jumud atau tidak maju.

Yang penting diinsafi oleh remaja ialah Islam para prinsipnya adalah agama damai. Konsep salama pada Islam itu membawa maksud sejahtera. Islam adalah agama dakwah dan tarbiah, mengajak manusia ke jalan yang makruf dan sentiasa bersedia mendidik manusia lain menjadi baik dan kembali kepada fitrah.

Ada ketikanya terdapat kes-kes orang Islam yang mempamerkan imej yang negatif. Ia tidaklah membayangkan ajaran Islam menganjurkan mereka berbuat begitu. Ada latarbelakang yang mesti difahami mengapa ia berlaku.

Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan kerana ia adalah fitrah kehidupan. Tetapi kemajuan yang dianjurkan oleh Islam semestinya mengukuhkan lagi asas akidah, amalan ibadah dalam erti kata yang luas, landasan syarak yang harus dijadikan pedoman dan ikutan dan kekuatan akhlak yang menjadi rujukan dan teladan.

Asas ini bila dikembangkan dalam proses pengilmuan dan pendidikan ia bakal melahirkan generasi yang faham dan mampu memberikan perimbangan antara idealisme yang dibina dengan realiti yang menuntut cabaran strategik. Inilah cabaran remaja dan umat Islam sebenarnya.

- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur.



2 Responses to “Terlalu Islam umat tidak akan maju?”

  1.    Says:

    pemahaman mengenai perkara ini amat penting terutamanya terhadap golongan muda kerana mereka yang bakal menyambung kepimpinan negara ini. mungkin atas dasar itu Perdana Menteri sekarang amat mementing soal modal insan. namun agak mengecewakan atas dasar politik atau kepentingan, sesetengah pihak memandang sepi idea ini. sedangkan acapkali mereka mendakwa mereka adalah pendukung Islam, namun hanya kerana berbeza pendapat politik mereka memandang sepi semua ini.

    kehidupan golongan muda dewasa ini amat mencabar. pelbagai dugaan menyelubungi mereka. hiburan berorientasikan barat berada di sana sini.

    lebih memburukkan lagi, gaya pemikiran mereka juga sudah semakin jauh dari landasan Islam yang sebenar.

    di mana silapnya, itu persoalan yang sukar dijawap kerana ramai yang lebih suka menuding jari dari duduk semeja bersama-sama menyelesaikan persoalan tersebut.

    malah lebih menyedihkan ada di antara pihak terbabit meletakkan ‘kuasa’ sebagai syarat untuk menyelesaikan masalah ini. mungkin mereka terlupa bagaimana junjungan besar Nabi Muhammad saw membina negara Islam. Baginda membangunkan ummah terlebih dahulu dan tidak pernah memikir soal kuasa pemerintahan. ummah yang bersatu-padu, ummah yang mementingkan kasih sayang, ummah yang sedia memaafkan kesilapan insan lain, ummah yang mementingkan ilmu dan yang paling penting mentaati segala suruhan ALLAH swt.

    tidak kah mereka melihat bagaimana kuasa, harta dan dendam memusnahkan umat Islam sekarang.

    saya merasa amat sedih bila memikirkan perkara ini. hati saya menangis setiap kali saya mengenangkannya..

  2.   NH Says:

    Remaja sekarang sudah berada di tahap kronik, pada pendapat saya. Kita sgt membanggakan kemerdekaan negara ini, tetapi bagaimana dengan kemerdekaan dari penjajahan sekularisme?

    Islam itu adalah kehidupan, dan kehidupan itu adalah Islam.

    Having said that, the level of understanding & practice is much better than say, 50 years ago, but global age is catching up. Even numerous institutions have been built, pengaruh2 yang tidak baik lebih cepat meresap, walhal pendiding belum lagi kukuh terbina (akidah, akhlak).

    Secara am, dlm mana2 nukleus, kalau boleh kita renungkan bersama: Jika yg didepan tidak lengkap berilmu (atau berusaha mencari), bertauhid dgnnya & benar2 mengamalkannya, what about those yang dipimpin tangannya?

    Tentulah perjuangan semakin sukar.

Leave a Reply

Powered by WP Hashcash


Close
E-mail It