Archive for May 15th, 2007

Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

mothermsg.jpg 

ABDULLAH bin Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Kejadian seseorang itu dikumpul dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik saja genap empat puluh hari kali kedua, terbentuklah segumpal darah beku, manakala genap empat puluh hari kali ketiga, bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan dan nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Selepas seseorang itu lahir ke muka bumi ini, maka ibu kepada setiap insan seboleh mungkin berusaha menyusukan anaknya melalui susu badannya semaksimum mungkin selama dua tahun.

motherhug.jpgPeranan insan ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi mereka yang ingin sempurnakan penyusuan itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Dalam proses membesarkan insan ini, ibu berusaha siang dan malam mendidik anaknya supaya menjadi orang berguna kepada agama, bangsa dan negara, kerana seseorang dilahirkan ke atas muka bumi ini tidak mengetahui sesuatu pun.

Allah berfirman bermaksud: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, ayat 78)

Comments 5 Comments »

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

IBU bapa mempunyai kedudukan sangat tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka berdua selepas Allah memerintahkan kita mengabdikan diri kepada-Nya.

motherbaby.jpgAllah berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan dilakukan ibu kepada anaknya. Tanpa ibu siapalah kita. Tanpa ibu, kita tidak akan wujud di dunia yang fana ini, anak kita tidak dapat hidup dengan sempurna dan selesa.

Tanpa ibu, kehidupan anak penuh dengan kesengsaraan. Justeru, ibu adalah insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak-anaknya.

Ketika mengandung, ibulah insan yang menanggung penderitaan selama sembilan bulan sedangkan dia tetap meneruskan kandungannya dengan penuh kepayahan dan keletihan. Ketika melahirkan anak, ibu saja yang menanggung kesakitan perit, malah kadang-kadang sanggup menggadaikan nyawanya berjuang antara hidup dan mati demi keselamatan anaknya.

motherlove.jpgSeterusnya, selepas kelahiran anaknya, ibu juga yang menyusu dan mengasuh dengan penuh kasih sayang bagaikan menatang minyak yang penuh selama beberapa tahun. Kadang-kadang ibu terpaksa bersengkang mata sepanjang malam menjaga anak tersayang dan apabila anak jatuh sakit.

Perjalanan hidup yang dilalui ibu itu tidak ternilai harganya dan dihargai Allah sehingga dirakamkan Allah melalui firman yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Comments No Comments »

Oleh Mohd Shukri Hanapi

ISLAM menitikberatkan kesejahteraan hidup berkeluarga dengan ikatan pernikahan yang sah. Justeru, Islam melarang keras perbuatan zina kerana zina adalah jenayah dalam Islam yang banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara.

spiltmilk.jpgSesungguhnya zina boleh menyebabkan masyarakat menjadi porak-peranda dan berpecah belah, merosakkan keturunan, membawa bermacam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam. Bahkan ia salah satu penyebab turunnya bala.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’, ayat 32)

Ketahuilah, zina adalah perbuatan terkutuk, dosa besar dan haram. Di samping itu, ia kadangkala diiringi perbuatan dosa lain kerana ada antara mereka yang mengandungkan anak hasil perbuatan zina berusaha menggugurkan anak dalam kandungan.

Bagi yang gagal menggugurkan kandungan, bayi yang baru dilahirkan itu akan dibuang merata tempat seperti tempat pembuangan sampah, dalam tandas awam, tepi longkang dan ada kalanya ditinggalkan di kawasan masjid dengan tiada rasa kasih sayang atau belas kasihan.

Melakukan pembuangan bayi yang baru dilahirkan, apatah lagi jika sampai menyebabkan kematian adalah perbuatan kejam dan terkutuk. Ia termasuk kategori dosa besar yang mengakibatkan pelakunya mendapat azab pedih di akhirat kelak.

Comments No Comments »

Oleh Mohd Shukri Hanapi | BH 15 May 2007

TANGGAL 16 Mei adalah hari bermakna bagi semua guru. Pada tarikh itu semua guru menyambut Perayaan Hari Guru. Tema sambutan Perayaan Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Penjana Modal Insan Gemilang.

pendidik.jpgGuru adalah profesion yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Tidak dinafikan, sehingga hari ini, guru banyak menyumbang khidmat bakti dalam pembangunan bangsa dan negara lebih-lebih lagi dalam membentuk sahsiah pelajar.

Proses pembentukan sahsiah pelajar, guru terlebih dulu perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar.

Dalam hal ini, Prof Mohd Kamal Hasan (1998) menjelaskan, “Contoh teladan pendidik inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka seharusnya terlebih dulu dilengkapi dengan ciri akhlak mulia, walaupun masyarakat kurang menghargai watak berbudi luhur.”

Dari satu sudut lain, Abdul Halim al-Muhammadi (1991) menjelaskan, guru adalah ejen kepada keberkesanan pendidikan. Walau sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak akan mencapai matlamatnya jika ejen menyampaikan tidak efektif.

Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmu dan keluhuran peribadinya. Panduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya boleh dijadikan contoh berkesan.

Comments 4 Comments »

Close
E-mail It