Oleh Hasliza Hassan | BH 19 May 07
“Mungkin saya boleh kongsi impian supaya bangsa Melayu berpegang kepada ahli sunnah wal jamaah, guna akidah Al-Syaari, fiqh al-Syafie, ajaran akhlak al-Ghazali dan wacana intelektual Ibn Khaldun dalam bidang budaya dan tamadun”
-Muhammad Uthman El-Muhammady
Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa
Muhammad Uthman hasilkan penulisan pemikiran signifikan kemajuan umat.Â
BELIAU digelar sebagai lebai kampung atau ‘Lebai Kampung Janggut Merah,’ antaranya kerana rambut dan janggutnya berwarna oren. Malah, ada yang keliru menganggapnya sebagai keturunan ‘Pak Arab’ kerana namanya El-Muhammady, selain sering dilihat mengena jubah panjang serta berserban .
“Saya asal daripada orang budu,†katanya ketika diajukan soalan. Itulah Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 64, anak kelahiran Kampung Teluk Panji, Kota Bharu, Kelantan.
Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) itu memberitahu, nama El-Muhammady diambil beliau sebagai nama keluarga.
Sambil menunjukkan kad pengenalan, kad Suhakam dan kad ISTAC, beliau berkata, semua adik beradik dan anaknya menggunakan nama itu yang tidak dinafikan sering kali menarik perhatian umum.
“Saya ambil nama El-Muhammady sebagai nama keluarga ketika ayah masih hidup. Tunku Abdul Rahman pernah berkata, orang Melayu tidak ada nama keluarga. Bagi saya, semua anak ada nama El-Muhammady. Sama ada mereka guna atau tidak, akan menarik perhatian,†katanya.
Selain nama El-Muhammady, rambut serta janggut berwarna oren juga turut dikaitkan dengan penampilan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1426 Hijrah itu.
Justeru, Muhammad Uthman berkata, beliau tidak terusik dengan gelaran ‘Lebai Kampung Janggut Merah’ kerana sahabat Rasulullah SAW, Abu Bakar juga menginai rambut berwarna merah. Begitu juga Imam Syafie.
Semangat anak kelahiran Kampung Teluk Panji, Kota Bharu itu menimba ilmu pengetahuan sering diperkatakan, malah kisah beliau menimbulkan rasa kagum mereka yang mengenali atau baru kenal dengannya.
Pada usia 16 tahun, beliau tertarik dengan karya dan cetusan idea Muhammad Iqbal dan sanggup mengayuh basikal dari kampungnya ke Kuala Lumpur semata-mata mendapatkan buku berkaitan tokoh pemikir, pelopor dan pujangga Islam moden itu.
Perjalanan membabitkan jarak pergi balik kira-kira 1,000 kilometer membuktikan jiwa besar mahu memanfaatkan ilmu di dalam buku itu sehingga akhirnya mencorakkan kehidupan beliau sebagai seorang ulama kontemporari terkenal hari ini.
Tidak keterlaluan jika dikatakan buku adalah sahabat sejati beliau dan hubungan mereka terus utuh hingga hari ini. Buktinya, buku The Republic of Plato yang dibeli pada 2 Mac 1959 dengan harga RM1.75, masih elok tersimpan di rak buku di rumahnya.
Ibarat kekasih, beliau yang ketika itu masih dalam umur remaja tidak berenggang dengan buku The Republic yang mengandungi falsafah Plato dan sering di bawa ke mana saja, termasuk ketika membawa lembu ke padang.
Hinggakan pernah kerana terlalu asyik membaca buku yang kini sudah bersamanya selama 48 tahun itu, beliau dimarahi orang kampung apabila lembunya memakan padi mereka.
“Masa saya sekolah lagi, saya sudah membaca buku yang ditulis pemikir seperti Muhammad Iqbal dan Plato yang tiada dalam sukatan pelajaran. Tetapi saya membacanya pada masa lapang.
“Saya suka sangat buku ini dan ke mana saja saya pergi, saya akan bawa. Nak dijadikan cerita, saya dimarah orang kampung kerana lembu saya bukan makan rumput tetapi makan padi mereka,†katanya.
Mengimbau saat remajanya, seperti kanak-kanak lain, beliau juga keluar bermain bersama rakan, termasuk bola sepak tetapi sering menimbulkan kemarahan apabila menjaringkan bola ke gol sendiri.
Mungkin cintanya lebih kepada ilmu dan ia terserlah melalui koleksi kira-kira 5,000 buku yang tersusun rapi di rumahnya di Bukit Damansara dan di Kelantan.
Koleksi terbaru yang dibeli ialah 30 jilid sejarah ulama Islam terdahulu tulisan Syed A’alam Al-Nubala berharga RM1,800.
Penghayatan terhadap ilmu juga membolehkan Muhammad Uthman menghasilkan terjemahan al-Quranul-Karim oleh Abdullah Yusuf Ali yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka selepas membacanya sebanyak 10 kali dan memberi huraian tambahan.
Selain ilmu al-Quran, tauhid dan akidah, anak sulung daripada tiga adik beradik yang turut meminati sastera Melayu dan Inggeris, mula mengembangkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT).
Setiap hari, beliau akan melayari internet dan boleh menghabiskan masa hingga dua jam melayari laman web yang mengandungi teks klasik Islam yang diperakui oleh Sheikh Azhar.
Menyentuh minat dalam bidang IT, katanya, semua bermula apabila Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos ketika itu, Tengku Azman Sharifaddeen mempengaruhi beliau mencuba melayari internet.
“Tengku Azman kata, saya mahu ustaz gunakan teknologi maklumat dan cuba layari internet. Saya pun cubalah. Ia memang teknologi menakjubkan dan kita patut gunakan dengan baik.
“Saya ambil masa dua minggu belajar mengenai internet dan sekarang saya agak mahir. Saya suka membaca tafsir dan kadang-kadang terlalu leka, tidak sedar masa berlalu,†katanya.
Dilahirkan dalam keluarga sederhana, anak pasangan Muhammad Musa dan Mek Wok Awang Long mengambil inisiatif mengembangkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan seiring ilmu fardu ain, al-Quran dan hukum agama.
Beliau belajar di Sekolah Melayu Rambutan Rendang (kini dipindah kira-kira satu kilometer dari tempat asal dan dinamakan Sekolah Kebangsaan Chempaka) dari 1949 hingga 1952 dan meneruskan pengajian menengah di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu.
Kemudian, beliau meneruskan pengajian menengah atas di Maktab Sultan Abdul Hamid Alor Setar, Kedah dan menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC). Mata pelajaran yang diambil ketika itu ialah sejarah, ekonomi, bahasa Melayu, kertas am dan subjek berkaitan sivik.
Beliau melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam bidang pengajian Islam pada 1963, seterusnya pada 1969 memperoleh sarjana dan menjadi pensyarah di universiti berkenaan sehingga 1973.
Selepas berkhidmat di Universiti Malaya beliau kembali ke Kelantan dan bergiat aktif dalam gerakan dakwah Islam.
Hasil kesungguhannya dalam kegiatan dakwah dan gerak kerja ilmiah itu mendapat perhatian Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga beliau dikurniakan ijazah doktor kehormat pada 1995.
Pada 2003, beliau dilantik Felo Amat Utama Akademik ISTAC untuk mengajar bidang pemikiran Islam dan katanya, bermulalah kehidupan lebai kampung sebagai orang bandar.
Semangat, iltizam dan pengorbanan masa dan tenaga yang tinggi dalam menyebar dan menegakkan syariat Islam melayakkan beliau menerima anugerah tertinggi Anugerah Perdana Media Islam daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia baru-baru ini.
Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bidang keagamaan Islam, beliau banyak menghasilkan penulisan, idea dan pemikiran yang signifikan kepada kemajuan ummah dan negara.
Apabila ditanya adakah beliau melihat dirinya sebagai ilmuwan, Dr Muhammad Uthman yang mengakui banyak dipengaruhi tokoh Islam Imam al-Ghazali itu berkata, beliau melihat dirinya sebagai lebai kampung yang sangat sayangkan ilmu, ilmuwan, tamadun Islam dan tamadun dunia.
Katanya, beliau banyak mendapat perkara positif daripada peribadi ilmuwan terdahulu. Beliau menyerahkan masyarakat untuk menilainya tetapi sentiasa sedia menerima kritikan.
“Saya mahu kita adunkan dengan apa-apa yang boleh kita tambah, kita akan rangka intelektual umum dan saya yakin ia akan memperkasakan kita. Saya bersedia berkongsi segala-galanya.
“Saya cuba berusaha memberi orang kita rasa yakin diri, budaya dan ilmu melalui pembabitan secara aktif dalam organisasi seperti Yadim, Jakim, kawan dalam Abim, program TV, penulisan serta ceramah,†katanya.
PROFIL
Nama: Dr Muhammad Uthman El-Muhammady
Lahir: 9 Februari 1943
Asal: Kampung Teluk Panji, Kota Bharu Kelantan
Isteri: Mariam Hussin
Anak: 12 orang dan 38 cucu
Pendidikan: Bermula pendidikan dengan bersekolah Melayu, kemudian memasuki Special Malay Class 1943 di Sekolah Sultan Ismail, Maktab Sultan Ismail hingga ke tingkatan 5 (MCE); Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah (HSC); Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Islam) Universiti Malaya (1963); Ijazah Sarjana (Pengajian Islam) UM–1969; Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D.Litt.) Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1995 kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.
Pekerjaan: Pensyarah Universiti Malaya (1969-1973); Felo Amat Utama Akademik Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (2003 – kini); Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam (1995 hingga kini) dan penceramah bebas.
Buku: Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud – terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali; keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (5 jilid); Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud , terbitan Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan; Peradaban dalam Islam terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, edisi 1976 dan beberapa cetak-ulang; Memahami Islam terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977; Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987; Islam dan Kebudayaan risalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan kepada wacana tentang kebudayaan yang disampaikan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.
Sumbangan: Menghasilkan beratus-ratus penulisan berkaitan ketamadunan Islam serta membentang kertas kerja dalam seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa tentang Islam dari segi akidah, kerohanian, akhlak, budaya dan falsafah. Beliau juga telah menterjemah buku dari bahasa Arab dan Inggeris selain daripada tulisan asli.
Pengiktirafan: Tokoh Maal Hijrah 1426.
Anugerah: Anugerah Perdana Media Islam.



Entries (RSS)
May 22nd, 2007 at 1:36 pm
[...] A detailed biography of Dr. Uthman el-Muhammady here. [...]
July 30th, 2007 at 11:04 am
Ustaz uthman el muhammady merupakan contoh umat islam di Malaysia yang cintakan ilmu.