Archive for August, 2007
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
SYAABAN adalah salah satu bulan Hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Syaaban dianggap pintu gerbang Ramadan kerana pada bulan itu umat Islam masih boleh makan dan minum pada siang hari sebelum mereka menyambut kedatangan bulan puasa yang penuh berkat.
Kelebihan Syaaban dapat dilihat apabila Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabat mengenai Syaaban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.
Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Rasulullah SAW terhadap semua nabi, manakala keutamaan bulan Ramadan berbanding dengan semua bulan adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.
Pada bulan Syaaban, ada satu malam sangat dinantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu, umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai.
Malangnya, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Syaaban saja, tidak pada hari lain dalam bulan lain. Perlu ditegaskan, setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing dan bagi Muslim bertakwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan itu.
Muslim sejati tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dia menghadap Allah nanti.
Di samping itu, terdapat juga himpunan hadis menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalan tertentu pada bulan itu. Namun, kebanyakan hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama. Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis daif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan.
Pada Syaaban ini, umat Islam dianjurkan lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan amal soleh dan memperbanyakkan ibadat. Tidak ada hadis diriwayatkan berkaitan dengan amalan dan bacaan doa tertentu pada pertengahan Syaaban mencapai taraf hadis sahih. Menurut mereka, tidak ada satu pun hadis sahih yang membicarakan mengenai malam Nisfu Syaaban dan amalan dianjurkan pada malam itu.
Berdasarkan amalan biasa dilakukan umat Islam di Malaysia iaitu amalan membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dan juga bacaan doa khusus (doa yang tidak ada asal usulnya dan tidak menepati dalil Syarak sama ada dalil manqul (bersumberkan al-Quran dan hadis) atau ma’qul (bersumberkan pendapat ulama mujtahidin yang muktabar).
Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Fatawa, kandungan doa itu secara umumnya adalah permohonan supaya ditetapkan sebagai seorang yang bahagia dan murah rezeki bersesuaian dengan segala kebaikan.
Maksud doa itu berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ummul kitab (ibu segala suratan).†(Surah al-Ra‘d , ayat 39)
Jelas di sini percanggahan nyata dalam isi kandungan doa ini. Pada permulaannya pemohon berkata, jika tertulis di sisi Allah di dalam kitabnya sebagai seorang yang susah dalam urusan mencari rezeki, pendoa meminta supaya dihapuskan kesusahan itu dan ditetapkan di sisi Allah di dalam kitabnya (yang sama) sebagai seorang bahagia dan murah rezeki untuk segala kebaikan, berdasarkan maksud ayat yang disebutkan.
Makna ummul kitab ialah tidak ada di dalamnya penghapusan dan tidak ada pengisbatan (penetapan), bagaimana dia (orang yang berdoa) pada masa yang sama memohon penghapusan dan pengisbatan di dalamnya.
Pada masa sama, ucapan doa itu bertentangan dengan adab berdoa seperti digariskan ajaran Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa kepada-Nya), janganlah kamu ucapkan: Ya Allah ampunilah jika Kamu kehendaki, rahmatilah daku jika Kamu kehendaki, berikanlah rezeki padaku jika Kamu kehendaki, sebaliknya hendaklah kamu menetapkan permasalahannya (apa yang diminta), Allah Maha Berkuasa melakukan berdasarkan ketentuan-Nya dan tidak ada paksaan ke atas-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seterusnya, umat Islam dianjurkan melaksanakan amal ibadat sebanyak mungkin menurut kemampuannya pada malam itu antaranya solat lima waktu secara berjemaah, bersolat sunat dan melakukan solat tahajud, berpuasa sunat, membaca al-Quran, beristighfar kepada Allah, bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca pelbagai doa dan zikir yang ma’thur.
- Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi ialah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia.
« Hide it
Share This
15 Comments »
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Islam merupakan agama yang mudah dan tidak pernah bermaksud menyusahkan manusia. Sebaliknya, kedangkalan manusia memahami Islamlah yang sering mengundang perilaku songsang segelintir umat hingga Islam tertampil bagaikan agama yang rumit dan banyak pantang larangnya.
Situasi sedemikian pastilah bertentangan dengan realiti dan tabii Islam itu sendiri sebagaimana yang dijelaskan Allah s.w.t.:
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.; Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (al-Hajj: 22).
Rasulullah s.a.w. ketika mengutuskan Muaz dan Abu Musa ke Yemen, turut bersabda:
Sesungguhnya agama Islam mudah….permudahkanlah dan jangan kamu menyusahkan, sampaikan khabar gembira dan jangan membuat mereka lari. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebab itulah syariat Islam sama ada berkaitan ibadah (peraturan berhubung kait dengan hubungan antara makhluk dengan Tuhannya) mahupun muamalah (bersangkutan hubungan sesama manusia) tidak pernah meletakkan bebanan ke atas manusia di luar kemampuan dan kudratnya. Bahkan dalam ibadah umpamanya terdapat hukum yang dinamakan rukhsah yang memberi kelonggaran beribadah terutamanya apabila wujud kesukaran untuk menyempurnakannya.
Sebagai contoh, Allah mengharuskan berbuka puasa pada bulan Ramadan bagi yang bermusafir dan orang sakit. Begitu juga mengharuskan sembahyang jamak dan qasar bagi musafir, tayamum ketika ketiadaan air atau jika air mendatangkan kemudaratan dan pelbagai lagi.
Kesepakatan ulama terdahulu mengenai prinsip kemudahan dalam Islam inilah yang membentuk satu kaedah fiqah masyhur, ‘al-masyakkah tajlibu at-taisir’ yang bermaksud kepayahan membawa kepada kemudahan (Imam Al-Sayuti, Al-Ashbah Wa An-Nazoir). Berasaskan kaedah ini, para ulama menyepakati bahawa apabila seseorang berhadapan dengan situasi susah hingga menyukarkannya melaksanakan kewajipan syarak secara sempurna, maka kesusahan dan kesulitan itu menjadi sebab untuk dia mendapat kemudahan dan keringanan dengan cara dipermudahkan pelaksanaannya dan dibuangkan kesusahan yang melanda.
Berdasarkan prinsip ini jugalah, isu-isu berkaitan dengan muamalah maaliah atau urusniaga kewangan telah banyak dapat diselesaikan oleh ulama kontemporari terutamanya yang bersangkutan dengan kekangan semasa. Sebagai contoh, senario dunia pelaburan masa kini umpamannya, amat sukar untuk umat mendapatkan pelaburan yang seratus peratus bebas daripada unsur-unsur haram seperti riba.
Hakikat ini juga pernah dinyatakan Rasulullah dalam sebuah hadis:
Akan tiba suatu masa pada manusia, di mana semua orang terjebak (memakan) riba. Ditanya, “Apakah semua manusia?†Jawabnya: “Yang tidak langsung makan akan juga terkena debunya.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan An-Nasa‘i).
Menyedari realiti inilah, ulama kontemporari berpendapat bahawa adalah harus untuk melabur dalam syarikat yang beroperasi di dalam aktiviti perniagaan yang bercampur di antara unsur-unsur halal dan haram. Dengan syarat, aktiviti utamanya adalah halal tetapi terdapat sedikit sahaja unsur haram dalam operasinya.
Sebagai contoh, sebuah syarikat perladangan yang aktiviti utamanya memasarkan produk perladangan halal tetapi turut memperoleh pendapatan faedah daripada simpanan tetap (fixed deposit) dalam bank konvensional. Maka dalam hal ini, Majlis Penasihat Syarak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memutuskan bahawa seseorang itu tetap dibenarkan melabur dalam syarikat perladangan tersebut selagi mana nilai perolehannya yang berunsur riba tadi tidak melebihi 10 peratus daripada keseluruhan perolehan syarikat.
Ketetapan ini berdasarkan prinsip yang dinamakan ‘umum balwa iaitu suatu kaedah yang memaafkan sebahagian daripada unsur haram yang amat sukar dielakkan terutama dalam senario dunia perniagaan kini yang tidak boleh lari daripada elemen riba secara total. Imam As-Sayuti dalam bukunya Al-Ashbah Wa An-Nazoir turut memperincikan prinsip ‘umum balwa sebagai salah satu sebab yang membolehkan kelonggaran diberikan berpandukan kaedah syarak ‘kepayahan membawa kepada kemudahan’.
Demikianlah hebatnya Islam yang merungkai pelbagai permasalahan dan kekangan yang dihadapi umat dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Sebarang kesulitan dan kepayahan yang dihadapi tidak wajar dijadikan alasan untuk curang terhadap Allah sehingga melanggar segala batasan syariat.
Apa yang paling mustahak dalam mengaplikasikan instrumen syarak yang cukup luas ini, aspek warak atau takutkan Allah harus mendominasi pemikiran dan sikap kita dalam bermuamalah. Sikap warak inilah yang akan membentengi umat daripada sebarang bentuk penyimpangan, pelampauan mahupun keterlanjuran hingga mungkin terjerumus ke dalam kancah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Waiyazubillah.
« Hide it
Share This
2 Comments »
Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya
RISALAH Islam lahir membawa idealisme kebebasan menyeru kepada kemerdekaan manusia. Hal ini jelas tersirat dalam ucapan utusan Duta Islam yang membawa watikah kepada Panglima Maharaja Parsi, Rustum.
Islam menyeru umatnya berlaku adil sesama manusia terhadap musuh. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah memanggil anak Gabenornya, Amru bin al-’Ash ketika itu menjadi Gabenor di Mesir, selepas seorang pemuda Mesir mengadukan perihal kezaliman putera ‘Amru yang memukulnya dengan sebatang kayu.
Pemuda itu mengadu: “Aku mengadakan perlumbaan dengan anak ‘Amru dan aku memenangi perlumbaan itu tetapi dia memukulku sambil berkata: â€Aku adalah anak orang yang paling mulia.â€Akhirnya Khalifah menyuruh pemuda Qibti bangsa Mesir itu membalas pukulan sebagai qisas kepada anak gabenor ‘Amru bin al-’Ash itu.
Umar mengherdik anak itu dengan berkata: â€Pukullah anak orang yang paling mulia ini. Sejak bila kalian memperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan dalam keadaan merdeka?†(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Pembohongan sejarah ditulis orientalis berusaha merosakkan imej Islam dengan pandangan bahawa Islam ditegakkan dengan mata pedang. Padahal peperangan berlaku itu adalah semata-mata gerakan defensif selepas kegagalan dakwah serta ancaman musuhnya.
Sudah menjadi Sunnatullah, bangsa pernah lahir di atas bumi ini silih berganti hilang dan timbul. Sesama manusia saling menumpahkan darah untuk mendapatkan kekuasaan dan kekayaan.
Alangkah buruknya pandangan yang mengheret Islam bersama dalam kezaliman dan kebuasan perbuatan sesetengah penganut yang tidak memahami ajarannya yang suci.
Jangan babitkan golongan radikal Muslim dengan Islam. Mereka mempunyai kepentingan peribadi menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita dengan mengorbankan agama, bangsa dan negara sendiri.
Umat Islam sepatutnya menyedari bahaya mengancam mereka. Sampai bila penjajahan tetap ada. Peperangan sengaja dicetuskan atas kepentingan ekonomi. Dengan konspirasi penjenayah perang menguasai dunia saat ini, ramai mangsa terkorban, banyak negara porak-peranda, politik dikuasai anasir jahat hingga memecah perpaduan.
Sesungguhnya memerdekakan bangsa dalam konteks membina sebuah kedaulatan bukanlah mudah, apatah lagi menanam patriotisme yang selari dengan ajaran Islam di hati generasi muda. Selagi mereka tidak menjadikan agama dan bangsanya sebagai tanggungjawab bersama, mereka akan mudah dijajah.
Kesedaran untuk membela agama dan bangsa ini sepatutnya berakar sebagai satu akidah, kerana Rasulullah menyatakan dalam hadisnya yang bermaksud:
“Seseorang datang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah insan yang paling utama? Sabda Rasulullah SAW: Orang mukmin yang berjuang dengan harta dan jiwanya fisabilillah.†(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Suatu ketika dua sahabat alim, warak lagi zuhud berpisah disebabkan pandangan berbeza mengenai tanggungjawab berjihad. Yang satu mempersiapkan bekalannya menuju medan perang bergabung bersama tentera kaum muslimin di sempadan negara.
Sahabatnya pula memilih untuk menyendiri di tempat ibadatnya, memperbanyak munajat kepada Allah. Suatu hari dia menerima sepucuk surat daripada sahabatnya yang menegur keutamaan yang silap dan sikapnya mementingkan ibadat peribadi, sedangkan mempertahankan maruah dan kemerdekaan negara adalah lebih besar dan utama.
Akibat rasa bersalah, dia pun turut kembali ke medan jihad meninggalkan tempat ibadatnya bagi mendahulukan kepentingan jihad untuk negara.
Bagaimana Islam akan menang jika umatnya masih memiliki kepentingan peribadi yang merugikan agama, bangsa dan negara. Dr Yusuf Al-Qardawi menyenaraikan sebab jatuhnya suatu bangsa dalam kitabnya Al-Islam Hadharatul Ghad, antaranya; Sikap menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, mengikuti perintah penguasa yang zalim, melakukan kezaliman terhadap orang miskin, melakukan jenayah kotor dan keji seperti kaum Nabi Luth dan kemungkaran dibuat secara terang-terangan dan sedikitnya usaha untuk menghentikannya.
Sejarah memiliki mesej tersendiri. Supaya anak bangsa ini tidak mengulangi kesilapan pernah dilakukan bangsa yang pernah bertakhta di dunia.
- Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak.
« Hide it
Share This
No Comments »
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
MENUNTUT ilmu adalah suatu kefarduan kepada setiap individu Islam. Ini bertitik tolak daripada kepentingan ilmu dalam hidup manusia. Hal ini secara jelas dinyatakan dalam banyak ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah.
Petunjuk atau hidayah mempunyai kaitan rapat dengan ilmu dan doa dalam proses perjalanan seorang hamba mendapat reda daripada tuhannya. Dengan sebab itu hidayah tidak akan diperoleh begitu saja melainkan ia perlu diusahakan dan pada masa sama ia juga adalah anugerah Allah hanya akan diberikan kepada sesiapa dikehendaki-Nya saja.
Abu Talib, bapa saudara Nabi Muhammad mengetahui Islam dibawa anak saudaranya bukan agama menyesatkan manusia, tetapi petunjuk Allah masih belum singgah meresap ke dalam hatinya untuk memeluk agama Islam.
Lantaran itu beliau hanya bertindak mempertahankan Nabi Muhammad daripada ancaman bahaya golongan kafir Quraisy yang menyerang baginda sama ada dari sudut fizikal mahupun mental. Akhirnya Abu Talib meninggal dunia dalam keadaan masih berpegang dengan agama Abdul Mutalib.
Memang benarlah firman Allah dalam al-Quran bermaksud:
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang kamu kasih tetapi hanya Allah akan memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki†(Surah Al-Qasas ayat 56).
Sesungguhnya, tuntutan berdakwah mengajak manusia ke jalan Allah adalah suatu tuntutan ditekankan dalam ajaran Islam. Ia sebagai proses mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya Allah. Namun, sebagai seorang pendakwah, sikap berlapang dada amatlah dititikberatkan terutama apabila seruan tidak diterima golongan mendengar.
Begitu juga dalam bidang pendidikan, tugas guru adalah mengajar anak muridnya pengetahuan supaya mereka menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan tanah air. Namun, pendidik tidak punya kuasa untuk memastikan semua pelajarnya memahami segala kandungan pengajarannya melainkan apabila petunjuk Allah dipancarkan kepada anak didiknya.
Sejarah Islam mencatatkan pengorbanan besar dimainkan oleh Rasulullah dalam menyeru kaumnya supaya meninggalkan budaya dan amalan jahiliah yang berkarat di jiwa selepas sekian lama ditinggalkan nabi sebelumnya, Isa. Zaman awal Islam merakamkan bilangan sedikit menerima seruan dakwah dijalankan baginda hanya daripada kalangan orang miskin, hamba dan mereka tidak punya kedudukan.
Bukan persoalan dakwah tidak mendapat sambutan, tetapi hidayah Allah tidak menyapa golongan pemuka bangsawan Quraisy. Namun apabila petunjuk Allah datang menjengah, tiada siapa yang dapat menghalangnya walaupun ia seorang pemuda Arab yang panas baran dan keras hati. Kisah ini dirakamkan dalam tinta sejarah Islam melalui peristiwa pengislaman Umar al-Khattab.
Amat tepatlah firman Allah bermaksud,
“Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab al-Quran bersamaan isi kandungannya di antara satu sama lain, berulang-ulang; Kulit badan orang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian menjadi lembut kulit badan mereka dan tenang hati mereka kepada mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, Dia memberi petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki; dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada baginya seorang pemimpin pun.†(Surah al-Zumar, ayat 23).
Allah menyelamatkan Umar daripada jurang syirik menuju kepada kemuliaan Islam. Inilah pertama kalinya cahaya keimanan menyinari dan membuka hati Umar. Bagi Umar ayat al-Quran adalah rahsia hidayah, penggerak dan penghidup hatinya. Inilah keberkatan surah Taha yang melembutkan jiwa Umar al-Khattab.
Hidayah itu datangnya beriringan dengan doa dipanjatkan setulus hati kepada Allah. PengIslaman Umar al-Khattab adalah bertitik tolak daripada doa yang dipanjatkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Tuhannya.
“Ya, Allah, teguhkanlah Islam dengan Islamnya Abi al-Hakam bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar al-Khattab.”
Begitu juga dalam peristiwa dakwah Nabi ke Taif, walaupun seruannya tidak diterima malah menerima cercaan dan balingan batu, baginda, tetap mendoakan penduduk di Taif diberi hidayah oleh Allah melalui doa yang panjatkan.
“Ya Allah ya Tuhan, berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui.”
Hasilnya, sehingga kini, semua penduduk Taif adalah dari kalangan orang Islam.
Melihat kepada realiti sekarang, kemasukan beramai-ramai golongan bukan Islam ke dalam agama yang suci murni ini sebenarnya adalah bertitik tolak daripada hidayah yang ditiupkan Allah ke dalam hati dan sanubari mereka yang tulus suci menganut satu kepercayaan yang benar-benar menepati fitrah mereka yang ingin beragama. Ini seiringan dengan ajaran wahyu yang menjelaskan “tiada paksaan dalam agamaâ€.
Melalui pengalaman antara mereka memeluk agama Islam sering kali diketengahkan kisah terpesona dengan laungan azan, rasa takjub terhadap isi kandungan dan bacaan berlagu al-Quran, kagum dengan toleransi dan penampilan akhlak mulia Islam dan sebagainya menunjukkan bahawa hidayah Allah tidak mengenal sesiapa akan diberi Allah kepada sesiapa saja dikehendaki-Nya.
Sehubungan itu, menjadi kewajipan setiap orang Islam mempertahankan hidayah selama ini berakar tunjang dalam kehidupan. Semoga doa yang dipanjatkan 17 kali sehari semalam “tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan orang yang Engkau anugerah nikmat kepada mereka, bukannya jalan mereka yang dimurkai (Yahudi), dan bukan pula jalan mereka yang sesat (Nasrani)†(Surah al-Fatihah ayat 6-7) akan menjadi pendinding diri daripada terpesong ke jalan kesesatan.
- Penulis adalah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah (Jakim), Jelebu, Negeri Sembilan.
« Hide it
Share This
1 Comment »
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Muslim digalak bertaubat mohon keampunan, keredaan pada bulan rahmat
SYAABAN adalah antara bulan mulia di sisi Allah. Ia bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Justeru, Rasulullah banyak berpuasa sunat dalam bulan mulia ini di samping menggalakkan umat Islam melipatgandakan amal ibadat.
Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk beribadat kepada Allah pada Ramadan. Adat Jahiliah dulu, orang Makkah lebih mengutamakan dan memuliakan Rejab dan melupakan Syaaban.
Sehubungan itu, Usamah bin Zaid berkata: “Aku bertanya Rasulullah Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat seperti berpuasa dalam Syaaban.†Baginda menjawab: “Bulan yang banyak manusia lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah. Dengan itu, aku amatlah suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i).
Maksud hadis di atas jelas menunjukkan segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat malaikat pada tiap-tiap hari manakala amal ibadat Syaaban ini bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan yang disediakan oleh malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah.
Setiap Muslim wajib menginsafi segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati dan sebagainya akan dicatatkan oleh malaikat tidak kira sama ada yang besar mahupun yang kecil.
Hal ini amat jelas melalui firman Allah bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 16 – 18).
Oleh itu, setiap Muslim seharusnya menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Allah terhadap sekalian makhluk-Nya. Maka, dengan menginsafi pengawasan yang datang daripada pihak malaikat iaitu Malaikat ‘Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung daripada Allah, mudah-mudahan manusia akan mempunyai rasa kesedaran dan keinsafan mendalam untuk menghentikan dan mengakhiri segala amalan buruk dilakukannya dari satu segi dan juga memiliki dorongan dan semangat untuk melaksanakan pelbagai amalan kebajikan dan soleh yang dianjurkan Islam dari satu segi yang lain.
Rasulullah adalah contoh teladan umat Islam dalam segala lapangan hidup, maka mereka digalakkan banyak berpuasa sunat Syaaban seperti berpuasa Rasulullah pada bulan itu.
Selepas Syaaban akan dituruti pula Ramadan yang diwajibkan kepada umat Islam berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa Syaaban adalah perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan berpuasa dalam Ramadan sepenuhnya.
Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kurang terasa kepenatan dan tidak pula terkejut serta berasa berat hati untuk berpuasa dalam Ramadan nanti.
Selanjutnya, ada banyak hadis yang memberi perangsang kepada umat Islam supaya mengikuti sunnah Rasulullah.
Di antaranya, Saidatina ‘Aisyah pernah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan sepenuhnya kecuali Ramadan, beliau juga tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa hampir sebulan penuh melainkan Syaaban. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Saidatina Aishah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berpuasa Syaaban semuanya. (Hadis riwayat Bukhari).
Saidatina Ummu Salmah pula berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan Ramadan.” (Hadis riwayat Nasa’i).
Berdasarkan himpunan hadis di atas dapat disimpulkan Islam menggalakkan umatnya melaksanakan ibadat puasa sunat dalam Syaaban. Lebih-lebih lagi ibadat puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan dalam Syaaban.
Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadan, bulan ini sudah tentu akan melatih Muslim berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat pada Ramadan nanti.
Justeru, ada kalangan ulama berpendapat puasa pada bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas daripada berpuasa Ramadan.
Berkenaan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r a, Nabi bersabda maksudnya:
“Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang berzina.â€
Dalam hadis lain sebagai mana diriwayatkan Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud:
“Allah memandang makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah” (Hadis riwayat Ahmad).â€
Demikian antara himpunan hadis menggambarkan secara umum kepada berkenaan kelebihan Syaaban yang sungguh istimewa ini. Oleh itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan seperti diamalkan Rasulullah memperbanyakkan puasa sunat.
Yang paling utama sekali, setiap Muslim sewajarnya merebut peluang keemasan yang terhampar pada Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana ada hadis menyatakan bahawa Allah sedia memberi keampunan kepada hamba-Nya yang bertaubat pada sepanjang Syaaban yang penuh rahmat itu.
- Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia.
« Hide it
Share This
2 Comments »
|