Archive for August, 2007
Ulul Al Bab:
Oleh Abdurrahman Haqqi
DI samping senjata ampuh keberanian berasaskan iman dalam jiwa dan raga yang dimiliki pejuang Malaysia tatkala merebut kemerdekaan daripada penjajah, mereka juga memiliki senjata ampuh lain yang tidak kalah hebatnya iaitu kesabaran. Menerusi gabungan keberanian dan kesabaran itu akhirnya diisytiharkan Kemerdekaan Malaysia 50 tahun lalu.
Jika pejuang kemerdekaan memiliki senjata keberanian dan kesabaran yang ampuh sehingga akhirnya membuahkan hasil tidak ternilai yakni kemerdekaan, maka pengisi kemerdekaan juga sudah semestinya memiliki senjata keberanian dan kesabaran dalam mempertahankan nikmat kemerdekaan berkenaan supaya kekal cemerlang, gemilang, terbilang dalam percaturan masyarakat antarabangsa.
Keberanian tanpa kesabaran adalah malapetaka dan kebodohan, manakala kesabaran tanpa keberanian adalah pengecut dan kedunguan, dan kedua-duanya adalah bencana yang mesti dihindari. Keberanian dan kesabaran dalam konteks perjuangan akan membawa kepada kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan, manakala keberanian dan kesabaran berasaskan iman dalam konteks Islam adalah yang membezakan antara berani dan sabar ke neraka atau syurga.
Sabar bukan sikap pasif dengan pengertian menunggu. Sabar itu suatu sikap proaktif, memerhati keadaan yang dihadapi untuk melihat peluang berbuat baik dan memberikan sumbangan secepat mungkin. Sabar itu sikap kreatif dalam kebersamaan. Melakukan tindakan kreatif sendiri jauh lebih mudah, daripada menciptakan tindakan kreatif bersama. Kerana dalam kebersamaan, kelompok atau jemaah, tindakan kreatif semestinya sebuah simfoni yang harmoni.
Justeru, kesabaran bererti suatu kombinasi sikap mental yang terfokus pada tujuan perubahan yang diukur, kegigihan dalam berjuang, dan tekun atau tabah. Sabar adalah bukan kata sifat, melainkan kata kerja, bahkan kata kerja kreatif penuh daya imaginasi.
Al-Quran dengan jelas dan nyata memuji dan memberkati orang yang sabar dalam perjuangan mereka demi mencapai matlamat dan mereka dimasukkan dalam golongan orang yang melakukan kebajikan dengan sebenar-benarnya. Dalam perkara ini, al-Quran menyatakan maksudnya:
“…dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang yang bertaqwa.†(Surah al-Baqarah: 177)
Dalam konteks tasauf murni sabar ialah menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau berontak, resah-gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidakselesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini.
Menurut Nashiruddin Al-Thusi pengertian sabar adalah menahan diri untuk tidak tergoncang atau terpengaruh secara negatif apabila menghadapi hal yang tidak diingini. Khwajah Abdullah al-Anshari mengatakan dalam Manazil al-Sa’irin: pengertian sabar adalah menahan diri untuk tidak mengeluh kerana derita terpendam. Atau menurut Abdurrazaq Al-Kasyani, dalam syarah kitab berkenaan
“erti sabar adalah tidak mengeluh, hanya mengeluh kepada Allah SWT saja dan memohon kepada-Nya dan tidak kepada yang lain.”
Sabar ada tiga macam iaitu :
- sabar dalam ketaatan;
- sabar menanggung musibah; dan
- sabar tidak melakukan dosa.
Ketiga-tiga jenis kesabaran ini mesti meliputi empat tindakan, iaitu :
- tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
- menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;
- memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan; dan
- tenang serta teguh hati menghadapi cubaan atau musibah.
Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam agama dan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan.
Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Yang Maha Kuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian. Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala disimpan khas oleh Allah SWT.
Oleh kerana pengertian sabar adalah tabah hati tanpa mengeluh dalam menghadapi dugaan dan rintangan pada jangka masa tertentu demi mencapai tujuan, maka nama sabar berbeza-beza tergantung objeknya.
- Ketabahan menghadapi musibah, disebut sabar, lawannya adalah gelisah (jaza`) dan keluh kesah (hala`)
- Kesabaran menghadapi godaan nikmat hidup disebut mampu menahan diri (dabt al-nafs), lawannya tidak mampu menahan diri (bathar).
- Kesabaran dalam peperangan disebut pemberani (syaja’ah), lawannya disebut pengecut (jubn)
- Kesabaran dalam menahan marah disebut santun (hilm), lawannya disebut pemarah (tazammur)
- Sabar dalam menghadapi bencana yang mencengkam disebut lapang dada (si’ah al-sadr), lawannya disebut sempit dadanya (diq al-sadr)
- Sabar dalam mendengar gosip disebut mampu menyembunyikan rahsia (katum).
- Sabar terhadap kemewahan disebut zuhud, lawannya disebut serakah, loba (al-hirsh).
- Sabar dalam menerima yang sedikit disebut kaya hati (qana`ah), lawannya disebut tamak, rakus.
Mengisi kemerdekaan dengan mengamalkan sabar termasuk kategori qana’ah dalam lapan senarai ini. Kerana kita mesti juga sabar dalam mengharungi kenikmatan hidup yang selesa, makmur dan sejahtera dalam alam merdeka.
Secara psikologi, tingkatan orang sabar dapat dibahagikan menjadi tiga iaitu :
- orang yang sanggup meninggalkan dorongan syahwat. Mereka termasuk kategori orang yang bertaubat (al-taibin);
- orang yang reda menerima apapun yang dia terima daripada Allah, mereka termasuk kategori orang zuhud (al-zahidin); dan
- orang yang mencintai apapun yang diperbuat Allah untuk dirinya, mereka termasuk kategori (al-siddiqin).
Kita mesti saling mengingatkan dalam melaksanakan sabar, tawashau bi al-sabri dalam mengisi kemerdekaan supaya kita tidak menjadi golongan orang yang merugikan. (Surah al-’Ashr) Pemerintah sabar dalam menghadapi, mengatur dan mentadbir rakyatnya dan rakyat pula sabar dalam menghadapi, diatur dan ditadbir pemerintah. Pemerintah bersabar sesama sendiri dan rakyat pula bersabar sesama mereka.
Dan sebagai bukti kasih Allah kepada umat-Nya adalah Dia menetapkan pemimpin taqwa untuk membimbing mereka. Dia berfirman maksudnya:
â€Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.†(Surah al-Sajdah: 24)
Apabila kita sabar dalam konteks mengisi nikmat kemerdekaan dengan ketaatan dalam erti kata melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya maka kita dijanjikan untuk kehidupan akhirat kita dengan firman-Nya bermaksud:
“Mereka itulah orang yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat yang tinggi di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat kepada Allah), dan mereka dialu-alukan di dalamnya (syurga) dengan penghormatan dan ucapan salam kesejahteraan (oleh para malaikat)”. (Surah al-Furqan: 75)
Sabar adalah satu di antara kedudukan (maqamat) agama, dan satu anak tangga dari tangga seorang hamba dalam mendekatkan diri kepada Allah. Struktur maqamat agama terdiri dari pengetahuan (ma`arif) yang dapat dimisalkan sebagai pohon; sikap (ahwal) yang dapat dimisalkan sebagai cabangnya, dan perbuatan (a’mal) yang dapat dimisalkan sebagai buahnya. Seseorang boleh bersabar jika dalam dirinya sudah teratur maqamat itu.
Dalam usaha menyelesaikan permasalahan menyangkut pelbagai urusan kehidupan, sabar adalah kekuatan yang sangat besar dan efektif. Oleh itu, al-Quran secara jelas mengingatkan supaya dalam upaya memohon pertolongan kepada Allah, jangan lupa membangun infrastruktur psikologinya yang terdiri daripada kesabaran dan solat.
“Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Allah) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.†(Surah al-Baqarah: 153)
Orang sabar disayangi Allah begitu pula bangsa dan negara yang sabar juga disayangi Allah. Allah akan sentiasa bersama orang yang sabar begitu pula Allah akan sentiasa bersama bangsa dan negara yang sabar. Dalam al-Quran disebutkan maksudnya:
â€Dan (ingatlah) Allah berserta orang yang sabar.†(Surah al-Anfal: 66)
Sebagai ucapan terima kasih kepada pejuang kemerdekaan yang berjasa dengan penuh keberanian dan kesabaran sehingga kita mesti bersabar pula dalam menikmati hasil jerih payah mereka, kita pun melaksanakan ajaran al-Quran dengan mendoakan mereka maksudnya:
â€Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.†(Surah al-Hasyr: 10) Amin ya Rabbal ‘Alamin!
« Hide it
Share This
No Comments »
Posted by: nurjeehan in Puisi
Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah
Penawar hati kekasih Allah
Susah dan senang rela bersama…
Dapatkah kudidik jiwa seperti Siti Aishah?
Isteri Rasulullah yang bijaksana
Pendorong kesusahan dan penderitaan
Tiada sukar untuk dilaksanakan…
Mengalir air mataku
Dengan pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah
Akur dalam setiap perintah
Taat dengan abuyanya, yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia
Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga…
Ketika aku marah
Inginku intip serpihan sabar
Dari catatan hidup Siti Sarah….
Tabahlah jiwaku
Setabah ummi Nabi Ismail
Mengendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga
Di terik padang pasir merak
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Pengharapannya hanya pada Allah
Itulah wanita Siti Hajar….
Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman
Bersinar indah, harum tersebar
Bagai wanginya pusara Masyitah….
Share This
7 Comments »
Jendela Hikmah:
Oleh Maryam Jailani
PADA saat rakyat seluruh negara membilang hari menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 pada akhir bulan ini, ramai remaja masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.
Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan kepada kita.
Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting :
- Pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya.
Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.
Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula kepada-Nya.Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.
Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya.
Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.
- Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya.
Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.
Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!
- Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti.
Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh….” (An-Nisa’: 78).
Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.
- Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna.
Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti.
Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah:
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku” (Al-Fajr: 27-30).
Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.
Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya.
Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal.
Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.
- Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi.
Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya.
Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.
Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam yang sedikit terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati.
Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya.
Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang salih dan diredai Allah. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.
- Penulis adalah Pelajar Sarjana Perbandingan Agama, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa dengan kerjasama Wanita JIM
« Hide it
Share This
No Comments »
Bersama:
MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
Soalan :
APAKAH pandangan Islam mengenai ilmu sihir, mempercayai serta menggunakan ilmu sihir untuk menyakiti orang lain?
Â
Jawapan :
Islam menentang keras perbuatan sihir dan tukang sihir. Ini termasuklah menghantar kejahatan serta kerosakan melalui ilmu-ilmu hitam. Perbuatan ini amat dikeji oleh Islam, malahan pengamalnya akan dimurkai Allah. Perbuatan ini juga jelas bertentangan dengan akidah ahlu sunnah wa jamaah.
Tentang orang yang belajar ilmu sihir, al-Quran mengatakan: Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka. (al-Baqarah: 102)
Rasulullah s.a.w. menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh merosakkan dan menghancurkan sesuatu bangsa sebelum terkena kepada peribadi seseorang dan dapat menurunkan darjat pelakunya di dunia dan akhirat. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Jauhilah tujuh perkara besar yang merosak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, 1) menyekutukan Allah; 2) sihir; 3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali kerana hak; 4) makan harta riba 5) makan harta anak yatim, 6) lari dari peperangan; 7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebahagian ahli fiqh mengkategorikan, bahwa sihir itu bererti kufur atau membawa kepada kufur. Sementara itu, ada juga yang berpendapat: ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat daripada bahaya sihir.
Al-Quran juga telah mengajar kita supaya berlindung diri kepada Allah daripada kejahatan tukang sihir, firmanNya:
(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul. (al-Falaq: 4)
Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis baginda menyatakan yang bermaksud:
“Barang siapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barang siapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik.†(Riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya kepercayaan).
Sebagaimana halnya Islam telah mengharamkan pergi ke tempat dukun untuk menanyakan perkara-perkara ghaib, begitu juga Islam mengharamkan perbuatan sihir atau pergi ke tukang sihir untuk mengubati suatu penyakit yang telah dihantar atau dituju kepadanya. Cara-cara semacam ini tidak diakuinya oleh Nabi sebagai umatnya. Sebagaimana sabdanya:
“Tidak termasuk golongan kami (bukan pengikut Rasulullah) , barang siapa yang menganggap sial kerana alamat (tathayyur) atau minta dielak kesialannya dan menenung atau minta ditenungkan, atau menyihir atau minta disihirkan.†(Riwayat Bazzar dengan sanad yang baik)
Ibnu Mas‘ud juga pernah berkata:
“Barang siapa pergi ke tukang ramal, atau ke tukang sihir atau ke tukang tenung, kemudian ia bertanya dan percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka sungguh dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.†(Riwayat Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang baik).
Dan bersabda pula Rasulullah:
“Tidak akan masuk syurga pencandu arak, dan tidak pula orang yang percaya kepada sihir dan tidak pula orang yang memutuskan silaturahim.†(Riwayat Ibnu Hibban)
Haramnya pengamalan sihir di sini tidak hanya terbatas kepada si tukang sihirnya saja, bahkan meliputi setiap orang yang percaya kepada sihir dan percaya kepada apa yang dikatakan oleh si tukang sihir itu.
Lebih hebat lagi haram dan kejahatannya apabila sihir itu dipergunakan untuk tujuan-tujuan yang haram, seperti menceraikan antara suami-isteri, mengganggu seseorang, menjatuhkan seseorang dan sebagainya yang biasa dikenal di kalangan ahli-ahli sihir.
« Hide it
Share This
1 Comment »
Bicara Kalbu:
Oleh Marihah Suhaimi (www.bicarakalbu.blogspot.com)
Soalan :
KETIKA bujang, saya rasa lebih bebas dan merdeka. Apabila berumahtangga, saya rasa terbelenggu kerana suami yang berkuasa atas segala-galanya. Apakah erti kemerdekaan seorang wanita Islam yang bersuami?
Serdang.
Jawapan :Â
SUDAH menjadi fitrah setiap manusia dilahirkan di dunia ini memerlukan kebebasan. Rasa bebas dan merdeka ini penting demi memelihara maruah dan memupuk keyakinan diri. Sebaliknya, keadaan mengongkong, dijajah dan dikawal berlebihan pula boleh menyebabkan rasa tertindas, terbelenggu dan terhina.
Rakyat ditindas sering bangun menuntut hak kemerdekaan dan kebebasan. Tetapi adakah semua jelas bentuk kemerdekaan dan kebebasan yang dilaungkan itu? Apakah jaminan kebebasan mereka peroleh kelak membawa kebaikan atau mungkinkah ia tiket kepada kemusnahan diri dan bangsa mereka? Menurut Carl Rogers, seseorang itu perlu memaklumkan dirinya erti kebebasan yang sebenar dan pada masa sama, bertanggungjawab terhadap pilihannya itu.
Sebagai umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Allah, kita melihat kemerdekaan dan kebebasan memerlukan takrif lebih tepat dalam konteks manusia sebagai hamba Allah.
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (ketika engkau Muhammad berjaya menguasai Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya sangat menerima taubat” (Surah an-Nasr: 1-4).
Ayat di atas memberikan kita makna kemerdekaan dan kebebasan dalam erti kata yang luas. Kemerdekaan bukan sekadar pembebasan diri daripada belenggu penjajahan (atau suami) secara fizikal tetapi mengangkat diri sebagai manusia atau umat bermaruah dan mempunyai harga diri yang tinggi. Hubungan manusia dengan Allah adalah sumber kemerdekaan sebenar kerana keimanan dan keyakinan kepada Allah membebaskan jiwa daripada rasa perhambaan dan takut kepada sesama manusia.
Sebelum datangnya Islam, wanita dinafikan hak yang lazimnya diterima oleh lelaki. Wanita dianggap hak milik suami boleh diwarisi oleh anak lelaki suami. Suami pula boleh mengambil beberapa isteri tanpa had dan isteri ini hidup di bawah bayang suami tanpa mempunyai hak mewarisi harta pusaka atau menentukan jodoh dan masa depan mereka apabila suami meninggal dunia.
Rasulullah pada kurun ketujuh Masihi membawa perubahan dianggap sungguh radikal pada zaman itu. Buat kali pertama dalam sejarah tamadun dunia, wanita diangkat setaraf dengan lelaki dan diberikan hak asasi. Mereka dibenarkan bercakap untuk mempertahankan hak mereka, diberi hak waris, mereka tidak lagi diwarisi oleh anak lelaki suami apabila suami meninggal dunia, mereka boleh memohon fasakh daripada suami dan lelaki cuma dibenarkan mengambil empat orang isteri maksimum saja pada suatu masa.
Tohmahan yang dilempar Barat terhadap wanita Islam sebagai golongan yang ditindas dan dianiaya semata-mata kerana memakai hijab, menjaga batasan pergaulan dengan lelaki bukan muhrim dan taat setia kepada suami adalah tidak tepat sama sekali.
Malahan sekarang pun, wanita Barat yang digembar gemburkan sebagai liberated, sebenarnya adalah hamba media massa yang menentukan saiz dan bentuk badan mereka, fesyen pakaian mereka dan sering diambil kesempatan oleh syarikat pengiklanan.
Bandingkan dengan wanita Islam yang cuma perlu berhias untuk suami, wanita Barat terdesak dengan keadaan perlu sentiasa berhias di dalam dan di luar rumah dan menjadi hamba fesyen.
Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu neraka dan terbuka pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab. Itulah keistimewaan wanita Islam.
Islam mengubah segala kezaliman dan kekejaman terhadap wanita Islam memberi wanita hak mewarisi harta pusaka. Islam memberi mereka pilihan untuk memilih pasangan suami mereka. Islam memberi wanita hak untuk mengundi. Kebebasan wanita Islam yang bergantung kepada keterikatan dan taat kepada Allah dan suami bukan bererti tiada kebebasan malah inilah kebebasan yang sebenar.
- Jawapan disediakan Aktivis Wanita, Marihah Suhaimi, dengan kerjasama Wanita JIM. Soalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
« Hide it
Share This
1 Comment »
|