Nurjeehan : Pls, do read this.Â
Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya
Empat penanda aras kembalikan kecemerlangan, kekuatan umat Islam
JIKA menilai di antara dua insan berlainan imej, anda akan tertanya siapakah antara keduanya yang mewakili nilai Islam sebenar? Sungguh ramai keliru manakah yang Islamik dan tidak Islamik.
Antara seorang yang rajin solat duha ketika dalam keadaan bertugas dan bekerja, atau yang meninggalkannya kerana tidak mahu membuat pelanggan menunggu hingga menjejaskan kerja dan khidmatnya.
Antara orang yang mengantuk ketika mesyuarat kerana semalaman bertahajud atau orang yang cergas lagi amanah tetapi tidak sembahyang. Ada pula yang kaki masjid tetapi pemalas dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Sedangkan yang berjaya dalam perniagaan selamba saja lupakan Tuhan.
Yang bertudung kadang-kadang sama perangai dengan yang bertelanjang, bahkan lebih teruk lagi. Hingga mereka yang membenci tudung dan hijab beralasan dan membuat hukum sendiri, “Baik tudungkan hati sebelum kepala.”
Ajaran Islam menjadi begitu kabur dan luntur dalam pemikiran mereka. Disebabkan seseorang yang mencemarkan imej Islam maka ramai terlalu emosi hingga menidakkan syariat. Begitulah keadaannya ketika menilai paras keislaman seseorang, kadang-kadang kita tertipu oleh pandangan mata zahir.
Yang lemah-lembut kita kata baik budi walaupun jiwanya terlalu lembut hingga takut menyatakan mana yang hak dan batil sehingga ramai orang berpeluang menzaliminya. Sedangkan yang tegas dan rasional dipandang masyarakat sebagai biadab, walaupun dengan cara itu dia boleh menegakkan makruf dan membela maruahnya.
Bagaimanakah seharusnya seseorang menegakkan jati dirinya sebagai Muslim sebenar yang mengikut cara dan Sunnah Rasulullah SAW?
Umar bin al-Khattab pernah dicadangkan dengan seorang pemuda yang akan dipilih sebagai pekerja dalam pemerintahan beliau. Mereka yang memilih pemuda itu berkata: “Dia seorang Muslim yang amanah, dia sentiasa berada di masjid untuk beribadah.”
Umar berkata: “Adakah kamu semua pernah bersama dengannya untuk waktu yang lama? Adakah sesiapa yang pernah bermusafir dengannya? Sesungguhnya kamu semua belum lagi mengenali pemuda itu.”
Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadat dilakukannya tanpa melihat dari segenap aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi Muslim padanya. Di sinilah Islam meletakkan sistem akhlak sebagai penanda aras kecemerlangan peribadi Muslim.
Tiga penanda aras lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadat dan muamalah. Setiap Muslim cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan itu. Sewajarnya seorang Muslim menyempurnakan peribadinya dengan hanya mengambil contoh teladan seorang insan agung, Rasulullah SAW. Tiada yang lain menjadi sandaran dan kekuatan melainkan peribadi Baginda SAW.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai pengikut dan sahabat yang mengikut sunnahnya dan meneladaninya. Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Barang siapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain dari itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi.” - (Hadis riwayat Muslim)
Jika begitu, setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati, saat dia bermaksud melakukan apa juga perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang yang meninggalkan sunnah.
Seorang Muslim juga amat teliti menyaring unsur asing yang mempengaruhi peri lakunya. Dengan ilmu dan kajian, dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hari ini, di luar sana kita melihat pemandangan mengelirukan mengenai imej Islam. Tidak nampak perbezaan antara Muslim dengan bukan Muslim daripada segi penampilan, pertuturan dan perwatakan mereka.
Akhlak Islam terlalu kabur dalam pemikiran generasi muda yang sudah berkiblat kepada nafsu dan kebendaan. Peranan pembawa mesej Islam juga terlalu kolot dan menakutkan sehingga umat semakin lari daripada agama.
Islam tidak dihantar ke hati mereka dengan rahmat dan keindahan Islam. Mereka yang kolot ini suka menggambarkan Islam dengan pelbagai aneka kesusahan dan kesempitan. Segalanya haram dan dosa, sehingga seolah-olah sukar mencari yang halal dan berpahala.
Sedangkan bilangan perkara haram disebut al-Quran dan al-Hadis terhad bilangannya berbanding yang halal. Bagaimana mungkin seseorang baru berjinak dengan Islam dibebankan dengan amaran siksa dan azab padahal sepatutnya mereka diberi khabar gembira dengan luasnya ampunan dan kasih sayang Allah
.
Mesej akhlak Islam yang mesra dan mudah sepatutnya diamalkan pendakwah untuk menarik minat masyarakat kepada ajaran Islam. Begitu pula ahli korporat Muslim, seharusnya menampakkan imej cekap dan profesional dalam menepati nilai ihsan dalam bekerja.
Malangnya, ramai memilih berurusan dengan bukan Islam disebabkan mereka lebih terkehadapan dan amanah dibandingkan orang Islam. Di sinilah kita melihat betapa akhlak amat berpengaruh dalam membina umat.
Sebenarnya kecekapan, amanah, profesionalisme, dinamik, progresif dan istilah seumpama ini berasal daripada sistem akhlak Islam yang sudah diterapkan Baginda Rasulullah SAW dan diamalkan secara berterusan oleh umat Islam ketika membina empayar Islam yang ulung pada masa lalu.
Untuk memperoleh kejayaan itu semula, umat Islam mestilah menemukan kembali kekuatan umat dengan berniat dalam hati bahawa apa saja pekerjaan dilakukan hendaklah semata-mata untuk Islam dan anda wajib menjaga nama baik agama supaya tidak tercemar pada perbuatan seharian.
Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembap, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang yang mengaku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular yang tempang, yang memisahkan Islam daripada inti pati asalnya.
INTI PATI
- Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadat dilakukannya tanpa melihat daripada segenap aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi Muslim padanya.
- Tiga penanda aras lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadat dan muamalah. Setiap Muslim cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan itu.
- Setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati, saat dia bermaksud melakukan apa juga perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan sunnah Rasul-Nya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang yang meninggalkan sunnah.
- Seorang Muslim juga amat teliti menyaring unsur asing yang mempengaruhi peri lakunya. Dengan ilmu dan kajian, dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak
- Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembap, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang yang mengaku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular yang tempang, yang memisahkan Islam daripada inti pati asalnya.

4 responses so far ↓
non-ustaz // Dec 3, 2007 at 2:34 am
Assalamua’alaikum.
Saya ni, kalau nak dibandingkan ilmu saya dgn mana2 Ustaz atau Ustaz memang tak setanding, apatah lagi kalau timbalan Mufti. Tapi saya nak utarakan sedikit pandangan saya mengenai tulisan di atas berdasarkan sedikit pemerhatian sayalah. Saya faham, pemilik blog ni sekadar mengambil artikel ini dari tempat lain.
Kadang2 dlm kuliah agama, memang para ustaz/ustazah ni sibuk cakap itu haram, ini tak boleh. Tapi pernah tak kita cuba tengok orang2 yg datang ke kuliah agama ni orang yg macam mana ? Pernah tak kita cuba kenali org2 yg datang ke kuliah agama ni ?
Beberapa bulan dulu, saya selalu gak rajin pi kuliah di beberapa masjid dan surau dan saya tengok orang yg sama datang setiap kali. Orang yg macam mana ? Iaitu org yg mmg suka belajar ilmu agama. Org2 macam ni biasanya org yg suka muhasabah diri, suka memperbaiki diri. Dan yg paling penting sekali, bukannya “mualaf”. Jadi rasa saya takde salahnya utk para Ustaz/Ustazah ni bercakap soal halal/haram. Lain lah kalau audiencenya mualaf, baru nak belajar tentang agama. Yg dok dtg kuliah agama kat mana2 masjid/surau pun, selalunya org yg dah tua2 dah pi haji atau umrah, atau org yg baru bertaubat atau org yg mmg suka mengaji agama. Apa salahnya mereka di ajar halal/haram.
Di akhirat esok, perkara pertama yg akan ditanya ialah solat fardhu. Jika kita “pass” solat fardhu” ibadah lain akan dihisab dgn mudah. Kalau tak “pass” maka ibadah lain jadi tak berguna. Ini termasuklah ibadah “kerja” kita. Jadi, dlm melaksanakan solat fardhu ini, antara yg paling penting ialah kekhusyukkan di dlm solat. Tapi nak kusyuk dlm solat ni memerlukan ilmu. Nak ilmu nilah maka perlulah pergi ke kuliah2 agama. Bukan sekadar nak pergi haji sahaja perlu pi kuliah, lepas tu balik haji, tak payah dah.
Saya nak cerita, ada sebuah asrama anak yatim/mualaf di KL, dekat Jln Semarak sana. Asrama ni baru je ditubuhkan. Kalau tak silap saya, warden tu bagitau tahun lepas. Anak yg paling kecil umur 9 tahun, mula masuk umur 8 tahun lah. Jadi sejak mula lagi asrama ni, dia org dah di ajar utk bangun jam 4.30 pagi utk solat sunat taubat, tahajud, witir, mengaji dsb. Warden tu yg imamkan sambil berdo’a bermunajat. Saya tanya bebudak tu, dia org tak ngantuk ke waktu siang. Dia org kata masa memula ngantuk tapi lepas tu tak ngantuk dah. Lepas tu warden tu ada bagitau, sejak pelajar2 ni solat mlm dia org makin pandai dan rezeki asrama tersebut mmg banyak. Itulah kelebihan solat mlm.
Jadi pikirlah sendiri mengenai solat malam ni yg sememangnya ada disebut di dalam beberapa surah di dlm Al-Quran. Maknanya Allah
sendiri suruh kita solat mlm sampai para Ulama menetapkan solat malam sebagai sunat Mua’akad iaitu yg dituntut. Itu tak kira lagi solat jemaah di masjid/surau, mengaji ilmu agama, dsb. Jadi org yg solat malam, solat berjemaah ni, dia org dpt 2, iaitu duniawi dan ukhrawi. Kenapa duniawi, sbb dgn solat mlm, rezeki pelajar2 agama bertambah, belajar makin pandai dan sebenarnya ia menjadikan hati seseorang itu bertambah keikhlasannya dan hidupnya semakin tenang. Kenapa bertambah keikhlasannya ? Sebab nak bangun mlm ni bukannya mudah. Org lain semua tido kita sensorang nak bangun. Hidup dia, kerja dia pun semakin tenang. Ada financial problem, office problem, “mo man thai”.
Tapi semua ni, hanya org yg dah istiqamah solat mlm je dpt merasakan, di samping ada anugerah2 “khas” yg Allah
kurniakan kpd org yg istiqamah solat mlm ni dan ikhlas berdiri di 1/3 mlm hanya keranaNya. Tapi jgn ingat bahawa anugerah itu bermakna utk menjadi wali Allah
. Itu dah salah konsep. Kita buat apa2 pun lillah hi Ta’ala. Ikhlas itu adalah salah satu dari rahsia2 Allah
yg diberikan kpd org2 tertentu shj. Sbb itu dlm hal agama ini, kita kena gunakan mata hati, bukan logik akal shj.
Wallah hu ‘alam. Allahlah yg lebih mengetahui.
W’salam,
Kesimpulan yg saya dpt pula agak berbeza sedikit.
Pada pandangan saya, penulis tidak bermaksud merendahkan keutamaan mana2 ibadat seperti solat tahajud dsb. Penulis juga saya berhemat, tidak membincangkan tentang kelebihan atau fadhilat ibadat tertentu. Perkara yg ditekankan adalah, amalan yg tidak sempurna bakal membawa byk kerosakan.
Cth: Memakai hijab, tapi pergi ke disko. Solat tapi minum arak. Solat tapi pemalas, tidak amanah. Baca al-quran, tapi menzalimi org yg lemah dsb.
Saya berasa, penulis menentang imej Islam yg keliru - Islam separuh-separuh.
Perkara pokok - umat Islam harus beramal secara menyeluruh (akidah, ibadah, akhlak, mua’malah) dan bijak mengatur prioriti sehingga mampu mencapai maslahat yg membawa lebih byk kebaikan, kemajuan. Selagi umat Islam tidak berusaha utk mengekalkan (meningkatkan) amalan agama secara sahih, selagi itu cabaran tidak akan dpt diatasi utk kita bangkit semula menjadi umat yg ‘outstanding’ dari semua aspek kehidupan.
Syabas utk adik-adik kita di asrama itu, krn berjaya mencontohi cara hidup para tabi’in. Semoga membesar menjadi pemimpin umat & org2 yg bertakwa.
Marilah kita menjadi umat yg beramal dgn ilmu penuh didada. Istiqamah bermunajat pd Tuhannya di malam pekat, tapi meneraju dunia di siang hari.
fakhrulrazi // Aug 16, 2008 at 6:04 pm
Assalamualaikum…
Disini saya ingin menyoalkan tentang kesempuraan akidah di dalam sinar addin??
Bolehkah nyatakan dari sudut sosial ekonomi dan politik.
Daniel // Oct 13, 2008 at 2:36 pm
Assalammualaikum.w.r.t.h
Alhamdulillah, banyak yang saya dapat daripada apa yang penulis sampaikan, Islam hari ini tidak pernah berubah dari zaman Nabi Muhammad s.aw sehinggalah sekarang, cuma yang terlalu banyak berubah dan jauh bezanya adalah orang yang beraga ma Islam itu sendiri.. Ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w orang islam dan orang bukan Islam dapat dibezakan berdasarkan banyak perkara antaranya ialah akhlak, penampilan, amalan dsb. tapi orang islam hari ini sukar untuk kita bezakan dengan orang yang bukan Islam, bukan kerana orang bukan Islam sama dengan orang Islam tapi orang islam hari ini yang kebanyakannya menyerupai orang bukan Islam.. mana perginya peranan Khalifah yang sememangnya perlu diamalkan dalam diri setiap orang Islam??? kenapa orang Islam, hari ini tidak lagi suka kepada teguran yang di berikan untuk kebaikan dirinya??? dan kenapa dengan mudah orang Islam sekarang melupakan kasih sayang yang telah Nabi Muhammad s.aw tunjukkan, sehingga ketika Baginda wafat, Baginda masih lagi menyebut UMMATI, UMMATI, UMMATI..
Leave a Comment