Mutiara Hati*

Allah tidak jauh, doa sentiasa mustajab

October 7th, 2007 · 4 Comments

  

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

praymosqueeid.JPGANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah (SWT) kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah (SWT) tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah (SWT) dan hamba-hamba-Nya.

Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.

Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah (SWT). Firman Allah: (maksudnya)

“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah (SWT), yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka.” (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya)

“Allah (SWT) jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah (SWT) Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah (SWT) itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah (SWT) Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya.” (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah (SWT), sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.

Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:

“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah (SWT) dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah (SWT), bahkan (katakan): apa yang hanya Allah (SWT) kehendaki.” (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka. Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan.

Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu. Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya. Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah (SWT), kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah (SWT) itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.

Firman Allah: (maksudnya)

Ingatlah! Hanya untuk Allah (SWT) agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah (SWT) untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah (SWT) sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah (SWT) akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah (SWT) tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (al-Zumar:3).

Setelah Allah (SWT) menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah (SWT) terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah (SWT) untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah (SWT) berfirman (maksudnya):

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah (SWT)) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” (surah al-Baqarah: 186).

Demikian, Allah (SWT) itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah (SWT) kepadanya. Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah (SWT) Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung.

Firman Allah (SWT) (maksudnya):

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah (SWT) sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah (SWT) dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah (SWT), bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah (SWT). Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah (SWT) Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah (SWT) menjadikan dia pasangan kita. Allah (SWT) lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah (SWT) memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah (SWT) memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah (SWT) memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin. Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat.

Sabda Nabi s.a.w.:

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah (SWT) akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya.” (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah (SWT) diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah (SWT) lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga. Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah (SWT). Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga. Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian. Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah (SWT) untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis. Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya. Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa.

Sabda Nabi s.a.w.:

Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud.” (Riwayat Muslim).

Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan.” (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.

Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah (SWT). Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah (SWT) yang Maha Agung?

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.:

Berdoalah kamu kepada Allah (SWT) Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah (SWT) tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Pelajari kitab nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
E-mel: moasriza@yahoo.com
Layari http://drmaza.com/

Tags: Akidah · Motivasi · Tafakur (Muhasabah) · Tazkirah

4 responses so far ↓

  • pearl // Oct 9, 2007 at 10:30 am

    ASSALAMUALAIKUM
    ARTIKEL YANG SANGAT BERMANFAAT SEBAB KADANG-KDANG SAYA PELIK TENGOK ORANG SOLAT TAPI TAK BERDOA LEPAS TU..DAN SAYA YAKIN RAMAI YANG MENAHAN SABAR BILA SESUATU DOA ITU TIDAK DIMAKBULKAN..PERNAH IA TERJADI PADA SAYA ..SAYA MEMINTA TIGA PERKARA SERENTAK PADA SAAT SAYA SANGAT MEMERLUKAN SALAH SATU DARIPADA KETIGANYA..SAYA SELALU BERDOA DAN TAK PUTUS HARAPAN WALAUPUN HAMPIR PUTUS ASA..AKHIRNYA Allah (SWT) ITU MAHA ADIL,PENGASIH,MENGETAHUI DAN SEGALANYA…Allah (SWT) MAKBULKAN PERMINTAAN SAYA YANG SATU YANG SANGAT PENTING ITU DAN PADA HARI ITU JUGA Allah (SWT) KABULKAN 2 LAGI PERMINTAAN SAMPINGAN SAYA..SANGT-SANGT BERSYUKUR,INSAF DAN RASA BERSALAH SEBAB KADANG-KADNG ADA RASA TIDAK SABAR…BETAPA KITA INSAN KERDIL,HINA DAN TERLALU LEMAH…..SAYA JUGA PERNAH PERSOALKAN KENAPA Allah (SWT) X TERIMA DOA SAYA PADA IBU SAYA..DAN JAWAPAN YANG IBU BERIKAN SAMA SEPERTI ARTIKEL DI ATAS..DAN IA BUAT SAYA SEDAR…MEMANG APA YANG TERKANDUNG DALAM AL-QUR’AN TU SANGT BERUNTUNG UNTUK ORANG YANG BERFIKIR,YANG MEMBACA DAN MEMAHAMI…HOPEFULLY WE WILL SHARE OUR OPINION..WASSALAM

  • reyza // Oct 10, 2007 at 1:07 pm

    Asslmkum…
    Bahan ilmiah yang banyak memberi manfaat dan buat saya berfikir sejenak,saya bangun tgh malam di 10 malam terakhir ramadhan,solat hajat dan istiqorah memohon petunjuk dan berhajat supaya kekasih saya di masukkan islam dan iman serta dapat menilai kasih sayang saya curahkan selama ini kerana dia sudah meniggalkan saya alasannyer saya terlalu curiga dan mendesak,sedangkan perubahan yang makin saya rasakan hari demi hari…ntahla dulu kami pernah berjanji untuk membina masjid dan hidup bersama tapi sekarang keadaan sudah berubah,tapi saya tetap percaya pada doa yang iklas akan dimakbul oleh Allah (SWT),setelah saya berdoa selepas selesai membuat istiqorah,saya bermimpi kami berdua berpakaian serba putih dan dia memegang Al-quran dan kami sama2 melangkah masuk kedalam masjid…dan saya terjaga,saya yakin itu petunjuk dari Allah (SWT),dan saya akan terus berdoa dengan ikhlas supaya Allah (SWT) mempertemukan hati kami kembali INSYAALLAH..DIA lebih mengetahui akan nasib hambanyer cuma..perasaan sedih selalu mnyelubungi hati saya..

  • nurjeehan // Oct 10, 2007 at 10:12 pm

    Petikan ini adalah satu renungan bagi kita semua. Terutama bagi pecinta, perindu kekasih manusia. Ia sangat terkesan, penuh dengan hikmah & melambangkan ketinggian ilmu yang telah Allah (SWT) kurniakan pada ulama’ ini. Di tulis Ibn Qayyim Al-Jauziyah dlm Risalah Fi Amrad Al-Qulub, Bab 6.

    Di antara seksa dunia yang paling menyakitkan ialah pemecahbelahan persatuan, perpecahan hati, dan kemiskinan diletakkan di pelupuk matanya dan tidak meninggalkannya sedetik pun.

    Di sebutkan dalam Jami’ At-Tirmizi hadith dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad saw bersabda:

    Allah (SWT) Tabarak wata’ala berfirman: ‘Hai anak Adam, berilah tumpuan beribadah kepada-Ku, nescaya Aku memenuhi dadamu dengan kekayaan, dan menutup kemiskinanku. Jika engkau tidak melakukannya, Aku memenuhi kedua tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kemiskinanmu.” (Diriwayatkan At-Tirmizi, Ibnu Majah, dan Ibnu Hibban)

    Termasuk seksa dunia yakni kesibukan hati dan badan menanggung seksa dunia, bersaing dengan manusia dalam memperebutkan dunia, dan memusuhi mereka, seperti generasi dikatakan salah seorang dari generasi salaf, “Barangsiapa mencintai dunia, hendaklah ia menyiapkan dirinya untuk menanggung banyak musibah.

    Pecinta dunia tidak pernah terlepas dari tiga perkara:

    1) Galau yang selalu berlaku,
    2) kelelahan yang berkepanjangan,
    3) kerugian yang tidak berakhir.

    Ini berlaku disebabkan setiap kali para pecinta dunia mendapatkan sesuatu, pasti jiwanya berhasrat mendapatkan sesuatu yang lebih besar lagi seperti disebutkan dalam hadith sahih dari Nabi Muhammad saw yang bersabda:

    Jika anak Adam memiliki dua lembah berisi harta, pasti menginginkan lembah ketiga.” (Diriwayatkan Bukhari, Muslim, At Tirmizi dan Ahmad)

    Jika anda ingin tahu penderitaan pemilik dunia, cubalah renungkan keadaan seorang penduduk yang lama dalam mencintai kekasih idaman hatinya. Setiap kali ia bermaksud mendekat kepada kekasihnya, justeru kekasihnya menjauh daripadanya, tidak menetapi cintanya, mendiamkannya dan musuh datang kepadanya.

    Bersama kekasihnya, ia merasakan kehidupan yang sangat memenatkan. Ia memilih mati demi kekasihnya, padahal kekasihnya jarang sekali menetapi janji, tidak peduli, memiliki kekasih-kekasih idaman yang lain, cepat berubah, sedang berkhianat, dan seringkali berganti haluan seperti serigala. Bersamanya, ia mendapatkan keamanan dalam dirinya dan hartanya.

    Meskipun begitu, ia tidak memiliki kesabaran darinya, tidak mendapatkan jalan kepada hiburan yang menghiburnya, dan ikatan yang ia selalu boleh bersama dengannya.

    Jika seorang perindu tidak memiliki penderitaan lain selain penderitaan di atas, maka penderitaan di atas sudah cukup. Bagaimana jika ia dijauhkan dari semua kelazatannya dan ia terseksa oleh kesenangannya yang menyibukkannya dari berusaha mencari bekal dan kemaslahatan masa depannya di akhirat?

    Bahawa barangsiapa mencintai sesuatu selain Allah (SWT), cintanya bukan untuk Allah (SWT), dan ia tidak menggunakan sesuatu tersebut untuk taat kepada Allah (SWT) Ta’ala, maka Allah (SWT) menyeksanya dengannya di dunia sebelum hari kiamat, seperti dikatakan dalam syair:

    Engkau menjadi korban oleh apa sahaja yang engkau cintai. Oleh kerana itu, pilih untuk dirimu siapa yang engkau pilih di udara.

    Pada hari kiamat, Hakim Yang Maha Adil menghakimi semua orang yang mencintai sesuatu di dunia; dengan memberinya nikmat atau seksa. Oleh kerana itu, Allah (SWT) berfirman:

    Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kemalangan besarlah bagiku, kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu kawan akrab. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, ketika al-Quran itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia.” (Al-Furqan: 27-29)

    Bahawa barangsiapa mencintai sesuatu selain Allah (SWT) swt, ia akan mendapatkan kerugian dan apa yang dicintainya baik yang dicintai masih ada atau hilang. Jika apa yang dicintai sudah tidak ada lagi, ia diseksa dengan tidak adanya sesuatu yang dicintai tersebut. Ia menderita sesuai dengan besar kecilnya ketergantungan hatinya dengannya.

    Jika yang dicintainya masih ada, sebelum ia mendapatkannya ia sudah menderita, ia lelah setelah mendapatkannya dan rugi ketika hal tersebut hilang dari dirinya. Itu semua lebih besar daripada kenikmatan yang ia rasakan. Dikatakan dalam syair:

    Di dunia ini tidak ada orang yang lebih malang daripada seorang pecinta
    Meskipun ia mendapatkan hawa nafsu sebagai sesuatu yang sangat manis rasanya
    Anda lihat ia menangis dalam semua keadaan kerana takut berpisah atau kerana rindu
    Ia menangis jika mereka yang dicintainya jauh kerana rindu kepada mereka
    Ia menangis jika mereka dekat, kerana khuatir berpisah dengan mereka
    Matanya memerah ketika berjumpa
    Dan matanya memerah ketika berpisah

    Kenyataan ini boleh dilihat dengan renungan dan pengalaman. Oleh kerana itu Rasulullah saw bersabda dalam hadith yang diriwayatkan at-Tirmizi dan lain-lainnya:

    Dunia itu terkutuk dan terkutuk pula apa sahaja yang ada didalamnya kecuali zikir kepada Allah (SWT) dan apa sahaja yang berpihak kepada Allah (SWT).” (Diriwayatkan At-Tirmizi)

    Zikir kepada Allah (SWT) swt adalah semua bentuk ketaatan kepada-Nya. Jadi jika seseorang taat kepada Allah (SWT) swt ia dalam keadaan zikir kepada-Nya, meskipun mulutnya tidak bergerak dengan zikir. Barangsiapa berpihak kepada Allah (SWT) swt, ia dicintai Allah (SWT) dan didekatkan kepada-Nya.

  • Ade Sudrajat // Sep 4, 2008 at 1:18 pm

    Assalamu’alaikum Wr. Wb.

    Setelah saya membaca beberapa artiket yang berhubungan dengan do’a, saya bertanya pada diri saya sendiri “APAKAH KITA BERDO’A HANYA KARENA ADA SESUATU YANG KITA INGINKAN? BUKANKAH BERDO’A ITU ADALAH KEWAJIBAN KITA SEBAGAI HAMBA Allah (SWT).

    KARENA MENGHARAPKAN KEBAIKAN DARI SANG PENGUASA ALAM KAH KITA BERDO’A?
    BAHKAN KARENA MENGHARAPKAN SURGA KITA SELALU BERSUJUD DAN BERDO’A?

    JIKA ITU SEMUA YANG KITA HARAPKAN, APAKAH KITA BERIBADAH DAN BERDO’A SEMATA-MATA KARENA Allah (SWT)….?? BUKAN KARENA SURGA……………..??

    Wassalam,

Leave a Comment

Close
E-mail It