Archive for the “Al Quran & Tafsir” Category
Oleh Mohd Shukri Hanapi

Iktibar daripada ayat dibaca berbeza antara insan baca tanpa penghayatan dengan fahami makna
AL-QURAN adalah kitab suci diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW sebagai satu rahmat yang tiada bandingnya bagi seluruh alam. Penurunannya adalah semata-mata untuk dijadikan petunjuk, pedoman dan pengajaran bagi semua umat manusia di dunia ini.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Sesungguhnya al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan Allah. Oleh itu, kandungannya merangkumi segala dasar syariat yang ada dalam kitab suci diturunkan sebelumnya. Mereka yang beriman dengan al-Quran akan membaca, memahami, beramal serta mengajarnya kepada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar (membaca) al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Membaca al-Quran adalah amalan mulia. Sesiapa yang membacanya akan dianugerahkan pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang dibaca seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” – (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Oleh itu, jelaslah al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang beriman, sama ada ketika senang atau susah. Selain diberi ganjaran, membaca al-Quran juga menjadi ubat atau penawar bagi mereka yang jiwanya tidak tenteram.
Berkaitan hal ini, seorang lelaki menemui Ibn Mas’ud meminta nasihat untuk dijadikan penawar bagi mengubati jiwanya yang sedang resah-gelisah, fikiran tidak tenteram, tiada selera makan dan sukar tidur.
Ibn Mas’ud menyatakan bahawa untuk mengubatinya lelaki itu perlu melakukan tiga perkara iaitu; pertama, membaca al-Quran atau menghadiri tempat orang membaca al-Quran serta mendengar baik-baik bacaan ayat suci al-Quran.
Kedua, menghadiri majlis ilmu yang boleh mengingatkan hati kepada Allah dan ketiga, memohon ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran serta kemurnian hati. Andai jiwa masih juga tidak terubat dengan cara itu, mintalah daripada Allah supaya diberi hati lain, kerana hati dimiliki bukan hatinya.
Lelaki berkenaan mengamalkan perkara yang dinasihatkan Ibn Mas’ud. Dia pergi mengambil wuduk kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca al-Quran, jiwanya terasa begitu tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.
Perlu dijelaskan, membaca al-Quran sama ada memahami maknanya atau tidak adalah ibadat, amalan salih dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya. Di samping itu, ia juga memberi cahaya yang menyinari hati, keluarga dan tempat al-Quran itu dibaca.
Diriwayatkan daripada Anas, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.” – (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Membaca al-Quran tidak sama dengan membaca buku, majalah atau komik kerana al-Quran adalah wahyu Allah. Jadi, membacanya sudah tentu mempunyai adab tersendiri yang mesti diikuti supaya bacaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sama ada untuk dirinya sendiri atau pendengar.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin memberi garis panduan berkaitan adab membaca al-Quran, iaitu adab batin dan zahir. Dimaksudkan adab batin ialah memahami ayat dibaca, ada rasa penghayatan membesarkan kalam Allah, menghadirkan hati, memperhalusi perasaan dan jiwa.
Dengan adab batin ini, kandungan al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah dapat bersemi dalam jiwa dan meresap ke dalam lubuk hati si pembaca.
Adab zahir pula banyak dan perlu dipatuhi antaranya membaca al-Quran hendaklah dalam keadaan bersih dan berwuduk, sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan dan membaca di tempat bersih seperti di rumah atau masjid.
Bagi mereka yang berupaya memahami makna dan maksud ayat dibaca, hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan. Lidahnya menuturkan bacaan kalam Allah, hatinya turut memerhatikan dan memikirkan erti terkandung dalam ayat dibaca.
Allah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Jika al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.” (Surah al-Nisa’, ayat 82)
Mereka yang dapat memahami kandungan al-Quran, akan berupaya melaksanakan segala ajaran terkandung dalam ayat dibaca. Ketika membaca ayat tasbih maka lidahnya akan memuji Allah. Apabila membaca ayat doa dan istighfar, pembaca akan berdoa dan memohon keampunan Allah.
Membaca al-Quran, sama ada dilakukan oleh orang yang memahami maknanya atau tidak, tetap akan menerima ganjaran pahala daripada Allah. Semuanya itu tetap dianggap sebagai ibadat. Namun, balasan atau ganjaran yang diberi berbeza, bergantung ciri atau adab membacanya.
Pahala orang yang berupaya memahami makna tersirat dalam kalam Allah, menghayati dan berupaya mengambil iktibar, serta patuh pada adab ditetapkan tidak sama dengan pahala mereka yang membacanya tanpa memahami makna dan tidak mematuhi adab.
Namun, dalam apa juga keadaan sekalipun, kesan terhadap pembentukan peribadi orang yang membaca dengan pemahaman makna dan dapat mengambil iktibar daripada ayat yang dibaca tentunya berbeza dengan orang yang membaca al-Quran tanpa penghayatan dan memahami makna.
« Hide it
Share This
2 Comments »
Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya
Juanda@msu.edu.my
FAHAM: Ketika seseorang sudah mencapai kefahaman sempurna mengenai al-Quran, tidak mungkin dia tertawa ketika membaca ayat seksa atau lalai ketika membaca ayat amaran. – Gambar hiasan
Memahami tafsir ayat cengkam hati suntik ilustrasi positif semangat iman
SETIAP kali al-Quran dibaca maka tersingkaplah segala sifat diri orang yang membacanya. Orang itu pun bertafakur menghayati ayat menceritakan mengenai jati dirinya sebagai insan. Apabila dia beriman dengan apa yang dibacanya, maka segala keburukan terpalit dalam diri segera mahu dibaiki.
Namun, ada yang tidak mahu mengakui kelemahan diri yang tersindir oleh ayat al-Quran. Padahal kiasan dan ulasan al-Quran begitu menusuk ke jantung hati orang yang ikhlas. Jika ditanya bilakah agaknya anda tidak berminat lagi dengan apa-apa pun melainkan berfikir mengenai akhirat? Sudah tentu ketika dada anda memeluk al-Quran, hati mengimani dan emosi mengikut petunjuknya.
Umar al-Khatab menceritakan detik bersejarah runtuhnya tembok kekufuran oleh hembusan hidayah yang dihantar al-Quran ke jiwanya. Umar berkata ketika dia masih kafir lagi: “Aku harus pergi ke Kaabah untuk melakukan tawaf tujuh atau 70 kali. Lalu aku pun datang ke sana untuk melakukan tawaf, aku melihat Rasulullah SAW sedang berdiri melakukan sembahyang, saat itu Baginda solat menghadap ke Syam (Baitulmaqdis) dan Baginda menjadikan Kaabah di antara dirinya dan negeri Syam. Baginda berdiri di antara rukun Hajarul Aswad dan rukun Yamani. Aku berkata dalam hati saat aku melihatnya: Demi Allah, jika malam ini aku mendengar apa yang dibaca oleh Muhammad. Jika aku sudah mendekatinya dan mendengarkan apa yang dibaca pasti aku akan mengejutkannya! Aku pun menghampirinya dari balik al-Hajar dan masuk ke dalam kain Kaabah, tidak ada jarak antara diriku dan Muhammad melainkan hanya dibatasi kain Kaabah saja. Saat aku mendengar al-Quran, hatiku mencair sehingga membuat aku menangis, sejak saat itu aku beriman.” (Kata Ata’ dan Mujahid yang dikutip oleh Ibnu Ishaq daripada Abdullah bin Abi Najih)
Mengapa susah sungguh berinteraksi dengan al-Quran? Apakah kerana ayat yang kita baca sekarang berbeza dengan ayat didengar Umar? Bukankah al-Quran tetap sama dan takkan pernah berubah sampai bila-bila? Lalu sebenarnya, di manakah kesilapan kita?
Orang yang mahir membaca belum tentu memahami rahsia ayat dibaca. Terjemahan dan tafsiran yang baik sedikit sebanyak boleh membentuk imaginasi sebenar. Namun usaha menelusuri maksud ayat seharusnya lebih diutama berbanding dengan membaca saja.
Bagaimanapun, di kalangan orang ‘ajam yang tidak memahami bahasa Arab seperti kita, ramai lebih mementingkan lagu dan irama padahal ilmu tafsir al-Quran sepatutnya mestilah lebih diutamakan. Bagaimanakah bacaan itu boleh dinikmati tanpa sebarang penghayatan? Sedangkan penghayatan bergantung kepada tafsiran dan kefahaman. Tak hairan apabila kita membaca tetapi tidak menjiwai bacaan itu. Ia membuat diri kita kehilangan petunjuknya.
Tujuan memahami tafsir al-Quran ialah untuk mencengkam jiwa dengan teguran dan ajarannya, membentuk ilustrasi positif yang menyuntik semangat iman, mendapat inspirasi reda dan sabar ketika diuji. Mendekatkan diri kepada Allah dengan ayat peringatan, suruhan, larangan, pujian dan janji Allah, syurga dan neraka, khabar gembira dan ancaman seksa-Nya.
Ketika seseorang sudah mencapai kefahaman sempurna mengenai tafsir al-Quran, tidak mungkin dia tertawa ketika membaca ayat seksa atau lalai ketika membaca ayat amaran kerana tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk mencengkam jiwa manusia yang lalai. Supaya ingat jalan pulang ke sisi Tuhannya dan jangan tersesat kerana tidak menggenggam petunjuk yang dibekalkan melalui al-Quran.
Sudah selayaknya orang ‘ajam bukan Arab yang tidak memahami bahasa al-Quran bertungkus-lumus menjejaki rahsia Allah melalui kalam-Nya yang mulia dengan mempelajari tafsir al-Quran. Siapa kata usaha belajar tafsir hanyalah membazir masa dan wang ringgit? Orang yang berkata sebegini sememangnya tidak memahami betapa agungnya getaran jiwa pernah dirasai Saidina Umar bin al-Khattab.
Kesilapan dilakukan manusia dalam interaksi dengan al-Quran ialah memilih ajaran lain dan meninggalkan ajaran al-Quran. Banyak benda boleh menarik perhatian manusia, terutama yang sesuai dengan kehendak nafsu melampau. Duit, kuasa, kedudukan, pangkat, perhiasan dan hiburan adalah keperluan manusia untuk tetap bertahan di belantara kehidupan akhir zaman ini.
Allah tidak pernah melarang manusia menikmati kurniaan dianugerahkan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Hanya manusia seharusnya ingat tabiat mereka yang mudah dijangkiti kelalaian apabila dibukakan pintu dunia seluas-luasnya. Ayat Allah semakin dipinggirkan, dijual pada harga murah bahkan disembunyikan untuk kepentingan diri dan golongan tertentu.
Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang Kami berikan kepadanya ayat Kami (pengetahuan mengenai isi al-Quran), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang yang sesat. Dan jika Kami menghendaki, sesungguhnya kami tinggikan darjatnya dengan ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah. Maka perumpamaan seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya (juga). Yang demikian itu adalah perumpamaan orang yang mendustakan ayat kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah itu supaya mereka berfikir.” (Surah al-A’raf, ayat 175-176)
Sikap orang Yahudi membaca Kitab Taurat tetapi tergamak mencari hukum lain yang lebih sesuai dengan kemahuan nafsu mereka untuk dijadikan landasan hidup. Inilah sikap dimurkai Allah.
Suatu hari seorang Yahudi meminta Rasulullah SAW menghukum ahli keluarganya yang berzina mengikut hukuman al-Quran. Dia sengaja melakukan perkara itu dengan harapan hukum al-Quran lebih ringan daripada hukum Taurat. Selepas Rasulullah SAW menegaskan bahawa al-Quran juga menjatuhkan hukuman rejam sama seperti dalam Taurat, bangsawan Yahudi itu langsung berpaling dengan bongkak, nyata sekali mereka tidak akan pernah mengikuti mana-mana kitab Allah.
Begitu juga mereka yang memperguna al-Quran demi kepentingan diri. Contoh paling mudah, dalam bab poligami bukan main beriman tetapi bab perintah Allah yang lain tidak dipatuhi. Mengapa mahu dipisahkan elemen penting dalam al-Quran.
Sistem akidah, ibadah, jenayah dan muamalat tidak mungkin dipisah, semua sistem buatan manusia seperti sistem ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan kenegaraan sudah tersusun rapi dalam al-Quran sejak berabad lamanya.
Alangkah sedihnya apabila orang Islam hanya tahu beriman dengan al-Quran setakat malam Jumaat pada majlis membaca Yasin, ketika kematian ahli keluarga atau ketika membuka kedai barunya (menggantung ayat al-Quran sebagai azimat dan tangkal).
Sementara itu akhlaknya tidak mengikuti petunjuk al-Quran, ibadahnya menyalahi aturan al-Quran, perniagaannya mengamalkan riba dan penipuan, imej dan tutur katanya tidak mewakili kesopanan tatacara al-Quran, pemikirannya diracuni fahaman orang kafir yang bertentangan dengan al-Quran. Seolah-olah dengan bangga mereka berkata: “Ambillah al-Quran jika ia menguntungkan kamu, jika tidak tinggalkan saja.”
Padahal Rasulullah SAW diberi gelaran sebagai ‘al-Quran yang berjalan’. Mereka ini sepatutnya diberi gelaran juga iaitu ‘pemanipulasi al-Quran’. Ya Allah tundukkanlah hati kami dengan al-Quran.
- Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my
« Hide it
Share This
1 Comment »
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
FIRMAN Allah SWT:
Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan). (al-Baqarah: 281)
AL-MARAGHI berkata: Kemudian Allah SWT mengakhiri ayat-ayat riba dengan nasihat yang tepat. Bahawa jika hal ini diambil berat oleh seseorang mukmin, maka dengan ringan, hatinya akan berlapang dada dalam soal harta kekayaan dan dirinya bahkan segala yang dimilikinya di dunia ini.
Firman Allah SWT: Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah.
Al-Mawardi berkata: Maksud dikembalikan kepada Allah SWT ialah:
- Pertama: Balasan Allah SWT.
- Kedua: Kepada milik Allah SWT.
Al-Maraghi: Pengertian ayat di atas ialah berhati-hatilah kamu menghadapi hari yang begitu dahsyat, dan kamu tidak lagi disibukkan oleh urusan-urusan keduniaan yang kamu perolehi daripada Tuhan kamu dalam kehidupan ini.
Ini disebabkan pada saat itu kamu mempunyai kepentingan dan keperluan asas yang wajib kamu sediakan dengan baik, dengan mengumpulkan harta atau simpanan yang banyak, bagi menghadapi hari tersebut dengan jayanya.
Kesimpulannya, jika kamu mahu mengingati dan memikirkan pembalasan dan ganjaran terhadap amal perbuatan mereka yang Allah SWT sediakan pada hari huru-hara itu, pasti kamu akan berasa ringan untuk menjauhi sikap berlebihan dalam mencari harta, sementara hati kamu menjadi tenteram untuk menemui Tuhan kamu. Kamu akan memperoleh ketenangan dan keselamatan disebabkan sikap baik dalam pergaulan.
Sayyid Qutub berkata: “Iaitu hari kepulangan mereka kepada Allah SWT dan hari setiap orang mendapat balasannya yang sempurna adalah hari yang amat sukar dan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang beriman. Pemandangan hari ini terbentang jelas di hadapan hati nuraninya, kedahsyatan hari ini menggegarkan hati nuraninya, kerana berdiri di hadapan Allah SWT pada hari ini adalah satu kenangan yang menjadikan seluruh dirinya gementar dan menggigil”.
Kenyataan ini sesuai dengan suasana muamalah-muamalah, suasana mengambil dan memberi, suasana kerja dan ganjaran. Itulah hari penyelesaian agung untuk seluruh amalan yang telah lepas dan itulah hari pengadilan terakhir terhadap seluruh kes yang telah lalu antara semua orang yang terlibat di dalamnya. Alangkah wajarnya bagi hati yang mukmin merasa takut dan menjauhinya.
Takwa itulah pengawal yang berjaga di pendalaman hati nurani. Ia telah ditugaskan oleh Islam mengawal di sana dan hati manusia tidak dapat melarikan diri darinya kerana ia mengawal di pendalaman hati itu sendiri.
Itulah Islam. Satu sistem yang kuat, sabar, lemah-lembut dan tegak dalam realiti bumi. Itulah rahmat Allah SWT kepada umat manusia dan itulah penghormatan Ilahi kepada manusia. Itulah kebajikan yang dihindari oleh manusia dan dihalangi darinya oleh musuh-musuh Allah SWT dan musuh-musuh manusia.
Firman Allah SWT: Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).
Muhammad Quraish Syihab berkata: Di sisi sungguh wajar ayat ini menjadi ayat terakhir yang diterima Rasulullah SAW, kerana penghujung kehidupan duniawi adalah kematian, sehingga penghujung tuntunan yang diingatkan juga menyangkut kematian.
Hindarilah seksa yang terjadi pada hari yang sangat dahsyat pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah SWT, iaitu meninggal dunia.
Ayat ini memberi kesan, bahawa ketika itu tidak ada daya untuk mengelak, seperti keadaan manusia ketika dilahirkan. Semua itu berada dalam kekuasaan Allah SWT.
Kata (thumma) yang bererti kemudian, mengisyaratkan adanya waktu yang relatif lama antara kematian dan pembalasan, waktu tersebut adalah ketika berada di alam barzakh, dan waktu itu dirasakan panjang, khususnya bagi mereka yang bergelumang dengan dosa. Lalu masing-masing diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dilakukannya, bahkan yang beramal sangat beruntung dengan kemurahan Allah SWT.
Al-Maraghi berkata: Ertinya ialah setiap orang akan memperoleh balasan daripada perbuatannya sama ada yang baik atau yang buruk. Pahala mereka tidak akan dikurangi sementara hukuman mereka tidak pula ditambah.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. dikatakan ayat ini merupakan yang terakhir dibawa turun oleh Jibril a.s. Jibril berkata: “Letakkanlah ayat ini dihujung ayat 280 al-Baqarah”. Dan sesudah ayat terakhir ini, Rasulullah SAW hidup selama 21 hari, tetapi ada pendapat yang mengatakan 81 hari.
« Hide it
Share This
No Comments »
Ufuk Minda:
Bersama Prof Dr Sidek Baba
PENDIDIKAN bersepadu adalah wadah terbaik menentukan generasi dilahirkan. Pendidikan bersepadu bermaksud bagaimana ilmu pengetahuan berkembang dan subur bersama nilai murni.
Dalam konteks masyarakat Islam, ilmu mengurus diri (fardu ain) dan mengurus sistem (fardu kifayah) dapat menyatu diri atau diharmonikan supaya mempunyai kekuatan pemikiran serta nilai murni.
Minda generasi muda penting diperkasa dan pada masa sama kemahiran berfikir perlu diberi. Antara kekuatan minda dan kemahiran berfikir, ia perlu dipandu oleh nilai. Tanpa nilai, apa yang difikir boleh menjadikan pemikiran hampa dan kosong.
Pemikiran tidak mendukung sesuatu bermakna dan memberi erti kepada kehidupan manusia sehingga nilai memberi pedoman dan jalan membangun hidup yang maju serta bermanfaat.
Nilai adalah ukur tara yang memberikan manusia pedoman mengenai buruk baik sesuatu.
Bercakap benar umpamanya adalah nilai dan amalan baik. Jika kebenaran yang disampaikan, maka kebenaran juga diterima. Apabila kita berdusta, maka ia akan memudaratkan diri dan orang lain.
Sama ada nilai itu diambil daripada sumber agama atau falsafah, ia memberi manusia pedoman dan batasan mengenai sesuatu yang serasi dengan fitrah insan. Bagi orang Islam umpamanya, nilai Islamik menjadi sumber ukur tara dijadikan pedoman dan jalan.
Percakapan tidak membolehkan pembohongan berlaku kerana ia satu dosa. Perbuatan Islamik sentiasa mengarah kepada nilai adil, bijaksana dan mensejahterakan. Ia selari dengan fitrah insani.
Pendidikan bersepadu menjadikan nilai al-Quran sebagai sumber berdirinya ilmu dan akhlak manusia. Mempelajari akidah ialah mempelajari mengenai faktor ghaib, iaitu Allah dan menghubungkannya dengan benda nyata.
Dalam pengurusan umpamanya, kekuatan akidah menjadi landasan bahawa, ‘Pengurusan kerana Allah membawa hikmah kepada manusia.’ Maksudnya kekuatan akidah memberikan manusia landasan mengenai keperkasaan Allah mengetahui apa yang zahir dan batin.
Melakukan pengurusan atas asas keikhlasan dan amanah (kerana Allah) akan memberi manfaat kepada orang lain kerana keikhlasan dan amanah adalah kekuatan tiada tolok bandingnya.
Isu berbangkit kini ialah bagaimana nilai Islam dapat dijadikan landasan berdirinya ilmu dan kemahiran kerana tanpa nilai, ilmu tidak memberi makna. Ilmu diajarkan mendekatkan manusia kepada pencipta dan ilmu mendukung kebenaran memanfaatkan manusia.
Ilmu dikembangkan tetapi putus hubungannya dengan pencipta akan mendorong manusia menjadikan akal segala-gala, sedangkan sifatnya terbatas. Bagi bukan Islam, nilai fitrah menjadi asas keperluan mereka.
Nilai murni yang dijadikan asas membangun kurikulum dan kokurikulum dalam pengajaran serta pembelajaran penting kerana interaksi mereka dengan orang Islam memerlukan nilai bersama yang dikongsi.
Nilai jujur, ikhlas, amanah, adil, bijaksana umpamanya terkandung maksud diperlukan oleh fitrah manusia. Kasih sayang dan percaya antara satu dengan lain terbina atas asas ini.
Sama ada pelajar Islam dan bukan Islam, pemupukan nilai murni penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Cara paling berkesan, bagaimana nilai dapat dijadikan sumber contoh ialah menerusi proses amali dan penghayatan ditunjukkan ibu bapa, guru dan masyarakat. Teladan boleh memberi kesan positif terhadap pembangunan akhlak murid dan pelajar.
Pendidikan bersepadu menghubungkan faktor akademik dan bukan akademik secara seimbang.
Pendidikan sains dan teknologi tidak mengetepikan kepentingan nilai supaya manfaatnya kepada manusia tinggi.
Membangun pengetahuan mengenai teknologi tinggi tidak melupakan kepentingan sentuhan kemanusiaan supaya asas keinsanan dilihat sebagai yang utama. Pembangunan minda generasi muda umpamanya memerlukan acuan seimbang.
Pendidikan yang memberi fokus kepada akademik semata-mata tidak memadai untuk menjadikan mereka berwatak menyeluruh. Tumpuan hanya kepada pendidikan nilai dan rohaniah tidak diimbangi dengan kepentingan ilmu serta kemahiran boleh menyebabkan kecacatan menterjemahkan maksud kehidupan itu sendiri.
Bagi pelajar Islam, memperkasa minda perlu diikuti zikir. Kepentingan zikir membawa hikmah yang tinggi terhadap Allah dan kebesaran-Nya. Memahami kebesaran Allah secara rohaniah, kajian dan ketelitian membangun jiwa tadabbur yang tinggi dan mampu mencetuskan pemahaman seimbang terhadap diri, alam dan Pencipta.
Bagi pelajar bukan Islam, pemahaman falsafah dan nilai boleh memberikan makna tersendiri mengenai ilmu dipelajari serta kaitannya dengan kemajuan dan perubahan.
Kemajuan dan perubahan hidup menuntut nilai murni diaplikasikan supaya akhirnya sebagai manusia terdidik.
anak perempuanku berjalan di tengah padang pasir. Kami bergurau dan dia amat manja denganku. Kami berkejaran hingga debu pasir berterbangan dan ketika kami berhenti di satu lurah yang agak terlindung aku berkata kepada anakku. Mari nak, kita main pasir, kita buat benteng lalu jari jemari anakku dalam keriangan membantuku mengaut pasir hingga dia keletihan dan peluh mengalir di dahinya. Ketika dia keletihan itulah aku tolak dan kutimbus anakku walaupun teriak dan tangisnya yang hiba itu menyucuk ke jantung hati. Detik itu terlalu hitam bagiku. Aku kejam.”
Kejam bagaikan suatu permainan. Zaman jahiliah memungkinkan manusia melakukan apa saja dan hanya mengikut hukum nafsu.
Mereka tidak mempunyai undang-undang dan peraturan hidup. Manusia berlumba mengaut harta walau terpaksa membiarkan si miskin terseksa. Wanita dipandang rendah dan siapa kuat dia berkuasa.
Namun, sejarah manusia membunuh anak berulang lagi, malah lebih kejam dan tragik, kadangkala dibuang di tepi longkang, dalam tong sampah dan ada kalanya cukup hanya dengan menelan pil atau suntikan hingga anak dalam kandungan gugur tanda belas kasihan.
Ibarat penyakit berjangkit, setiap hari ada saja laporan mengenai bayi yang ditinggalkan sama ada masih hidup atau tidak bernyawa.
Perbuatan berkenaan seolah-olah menjadi kebiasaan dan tidak menyalahi undang-undang.
Malah, pihak melakukan dosa melanggar syariat agama itu dilihat tidak sedikit pun menyesali perbuatan mereka, malah dengan berani menambah lagi kemaksiatan sambil melakukan jenayah penganiayaan kepada anak tidak berdosa.
Kebelakangan ini kemungkaran seakan menjadi budaya, pergaulan bebas dan maksiat menjadi-jadi.
Manusia bagaikan mabuk dan lupa pintu neraka sedang terbuka luas ternganga menunggu isinya.
Firman Allah bermaksud: “Hai orang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, kayu bakarnya ialah manusia dan batu-batu. Di situ ada malaikat yang kasar dan keras, mereka tiada menderhakai Tuhan mengenai apa yang diperintahkan kepada mereka dan mereka melaksanakan apa yang diperintahkan.” (Surah at-Tahirn, ayat 6)
Lagi firman Allah bermaksud: “Muka Aku memperingatkan kamu api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang jahat yang mendustakan kebenaran dan yang membelakangkannya.” (Surah al-Lail, ayat 14-16)
Demikian seruan dan peringatan Allah untuk membebaskan manusia daripada status rendah ke martabat lebih tinggi dan mulia demi membebaskan manusia daripada lembah neraka yang menyeksa, kejahilan dan kegawatan iman.
Justeru, kegawatan dan kejahilan perlu dirawat bukan sekadar melihat dengan mata keinsafan setiap kepincangan dan noda sebaliknya, setiap hati perlu ada keazaman membetulkan keadaan supaya dapat menjadi amaran kepada yang jahil supaya kembali ke jalan diredai Allah SWT.
« Hide it
Share This
1 Comment »
Ulul Albab: Oleh Abdurrahman Haqqi
Menghayatinya mendatangkan ketenangan, hilangkan keresahan tanpa dikesan
SAMBIL santap pada pagi Jumaat lalu, penulis terbaca satu laporan AFP dari Jepun yang menyatakan sebuah syarikat penerbitan di negara itu memohon maaf kerana keterlanjuran memaparkan al-Quran dalam siri kartun terbitan mereka, Jojo’s Bizarre Adventure.
Dalam filem siri kartun yang diilhamkan daripada cerita komik kanak-kanak yang sudah dicetak sebanyak 70 juta naskhah di Jepun, dipaparkan bagaimana seorang penduduk kampung membawa imej al-Quran dan juga satu pertempuran di dalam masjid.
Komik ini sudah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia kecuali Bahasa Arab dan diedarkan ke merata tempat termasuk Amerika Utara, Eropah dan Asia.
Syarikat penerbitnya, Shueisha, pada satu sidang akhbar memohon maaf di atas kesilapan mereka itu yang boleh mengguris hati umat Islam. Permohonan maaf ini, menurut mereka, didasarkan kepada suatu fakta bahawa al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang tidak boleh dipersenda apatah lagi sampai ke tahap penghinaan.
Pada 20 Mei lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush juga sudah meminta maaf kepada Perdana Menteri Iraq atas tindakan seorang askar AS menjadikan naskhah al-Quran sebagai sasaran latihan menembak di Iraq. Permohonan maaf itu datang selepas Perdana Menteri Iraq itu memaklumkan kepada Bush mengenai kekesalan dan kemarahan rakyat serta kerajaan Iraq atas tindakan keji askar AS terbabit dan Kabinet Iraq menuntut askar berkenaan dikenakan tindakan keras dan memberi amaran ‘tindakan keras’ akan diambil jika insiden serupa berulang lagi.
Kadangkala kita tidak habis fikir bagaimana manusia boleh melakukan perbuatan demikian yakni menjadikan mushaf al-Quran sebagai sasaran menembak? Apa ada pada sebuah buku? Mengapa mereka sampai hilang akal sehingga sebuah kitab yang sememangnya tidak boleh buat apa-apa pun secara fizikal dijadikan tempat melampiaskan kemarahan, ketidaksukaan dan kebencian mereka kepada ajaran yang dibawanya iaitu Islam? Sungguh, kita sememangnya tidak pernah akan mengerti kecuali dengan memahami firman Allah yang bermaksud:
“(Selepas diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran?” (Surah Muhammad: 24)
Memahami serta memikirkan isi al-Quran adalah syarat keselamatan hidup di dunia dan akhirat bagi setiap insan tidak kira agama, bangsa, puak dan kedudukannya. Dan dalam syarat kedamaian dan keamanan dunia secara mikro adalah manusia mesti memahami umat Islam.
Akhbar ini, Khamis lalu menurunkan laporan yang menyatakan bahawa Menahem Froman, Pendeta Yahudi Ortodok paling terkenal Israel percaya satu-satunya cara untuk merapatkan jurang antara Islam dan Barat serta mencapai keamanan di Asia Barat ialah dengan menghormati dan memahami Dunia Islam. Katanya, keamanan tidak wujud di Tanah Suci kerana Barat tidak menghormati Dunia Timur dan Islam. Kesombongan, keangkuhan, tidak berakhlak yang ditonjolkan penduduk AS dan Yahudi memang tidak boleh diterima olehnya dan umat Islam.
Beliau mencadangkan sebagai satu daripada jalan penyelesaian masalah di atas supaya wakil pentadbiran AS di negara asing mengambil cuti selama setahun dan mengkaji al-Quran serta Hadis.
Dengan berbuat demikian, orang Barat akan menemui banyak keistimewaan dalam proses memahami agama dan budaya Dunia Islam. Beliau berkata: “Islam adalah empayar kerohanian dan ada perkara perlu dipelajari darinya.” Sebuah kesaksian daripada seorang pendeta Yahudi yang mengharukan.
Al-Quran adalah kitab petunjuk yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. Firman Allah tafsirnya:
“Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin Tuhan mereka) ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1)
Al-Quran diturunkan Yang Maha Mencipta, Allah untuk menjadi penengah dalam menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan manusia. Al-Quran menyatakan maksudnya:
“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisih), maka Allah mengutuskan nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama nabi itu kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan.” (Surah al-Baqarah: 213)
Orang yang membenci al-Quran seperti Geert Wilder dengan filem dokumentarinya, Fitna di Belanda dan askar Amerika di Iraq itu mempunyai sebab tertentu mengapa mereka berbuat demikian. Malangnya, sebab itu tidak masuk akal selain ia hanya ilusi kebencian yang telah ditanamkan pihak tertentu selama ini sehingga al-Quran tidak mempunyai nilai apa-apa di mata mereka. Padahal al-Quran adalah kalam Ilahi Yang Maha Agung.
Mereka menyalah tafsir al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menetapkan wujudnya Allah yang mencipta seluruh alam sedangkan mereka menginginkan bahawa Allah tidak wujud dan semua alam adalah terjadi dengan sendirinya.
Mereka menyalah tafsir al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menyebutkan kesimpulan sifat kebesaran dan sifat kesempurnaan Allah sedangkan bagi mereka Allah tidak mempunyai sifat sedemikian agar mereka boleh melakukan apa saja yang mereka ingin lakukan.
Mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak mereka akan menerima balasan amalnya sedangkan mereka menginginkan kebebasan sepenuhnya tidak ada pahala dan dosa yang ada adalah hidup di dunia saja.
Mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan Allah iaitu untuk beribadat kepada-Nya sedangkan mereka menginginkan tidak dibebani dengan apa-apa beban di dunia ini. Yang mereka inginkan tidak ada ibadat yang mengekang kebebasan mereka pada hal ibadat dengan segala jenisnya tidak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak dan menyucikan jiwa.
Mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran memperkatakan kelemahan manusia, bahawa dia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah dan izin-Nya sedangkan mereka menganggap bahawa mereka dapat melakukan apa saja kerana kekuasaan akal fikiran mereka.
Mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran menerangkan bahawa perkara utama dihajati dan dimohon dari Allah ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan dan cara melaluinya sedangkan mereka dengan bangga dan sombong mengisytiharkan bahawa mereka tidak memerlukan apa-apa daripada yang dinamakan Tuhan kerana mereka boleh menempuh jalan yang mereka suka dan mencorak peribadi mereka seperti yang mereka inginkan.
Dan, mereka menyalah fahami al-Quran dan membencinya mungkin kerana al-Quran mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah umat manusia yang lalu dan hal ehwalnya supaya dia memilih akan apa yang menyebabkan kebahagiaan mereka, dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri daripada apa yang menyebabkan kecelakaan mereka sehingga dapatlah dihidu di dunia ini dalam keadaan yang selamat, dan berjaya mendapat nikmat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga, sedangkan mereka mendakwa bahawa mereka tidak perlu mengambil iktibar daripada kisah lalu kerana ia hanya akan merugikan mereka dan mereka berasa kuasa untuk melakukan apa jua dengan tidak perlu menoleh ke belakang.
Inilah, mungkin beberapa sebab mengapa al-Quran disalah faham seperti yang kita simpulkan daripada kandungan ajaran dalam surah al-Fatihah, (Pembuka) yang mempunyai tujuh ayat.
Al-Quran pernah berjaya mencorak dan membina sebuah generasi cemerlang yang dilahirkan dalam sejarah tamadun manusia di mana menerusi keberhasilan itu umat manusia yang lain membencinya. Al-Quran menegaskan maksudnya:
“Pada hari ini, orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) daripada agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku.” (Surah al-Maidah: 3)
Pada suatu ketika datanglah seseorang kepada Ibn Mas’ud, seorang sahabat Nabi yang faham benar mengenai al-Quran, meminta nasihat kepada beliau seraya berkata: “Wahai Ibn Mas’ud, berilah nasihat yang dapat aku jadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku berasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; makan tak enak tidur pun tak nyenyak.”
Maka Ibn Mas’ud pun menasihatinya dengan katanya: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu ke tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya; atau engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hati kepada Allah; atau engkau mencari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat menyembah Allah seperti pada waktu tengah malam di mana manusia sedang nyenyak tidur, engkau bangun solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati.
Seandainya jiwamu belum juga terubat dengan cara ini maka engkau minta kepada Allah agar diberikan-Nya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu, bukan lagi hatimu.”
Selepas orang itu kembali ke rumahnya, diamalkannya nasihat Ibn Mas’ud itu. Dia mengambil air sembahyang kemudian diambilnya al-Quran terus dia baca dengan hati yang khusyuk. Selesai membaca al-Quran, berubahlah kembali jiwanya menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang, kegelisahannya hilang tanpa kesan.
Nampaknya, kelebihan al-Quran inilah yang orang membenci al-Quran tidak menyedarinya. Seandainya mereka dengan jiwa yang tenang dan bersih mahu merujuk al-Quran seperti cadangan Froman jika mereka tidak mahu dengar seruan al-Quran, sudah tentu hati, jiwa, dan fikiran mereka akan tenteram, damai dan sejahtera. Dan pada akhirnya, mereka tidak akan membuat Fitna atau menjadikan al-Quran sasaran tembak lagi. Ini bagi bukan Islam, bagaimana orang Islamnya? Wallahu a’lam.
Intipati:
Mengapa al-Quran disalah tafsir
- Kerana al-Quran menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak mereka akan menerima balasan amalnya sedangkan mereka menginginkan kebebasan sepenuhnya tidak ada pahala dan dosa.
- Kerana al-Quran menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan Allah iaitu untuk beribadat kepada-Nya sedangkan mereka menginginkan tidak dibebani apa-apa beban di dunia ini. Yang mereka inginkan tidak ada ibadat yang mengekang kebebasan mereka pada hal ibadat dengan segala jenisnya tidak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak dan menyucikan jiwa.
- Kerana al-Quran memperkatakan kelemahan manusia, bahawa dia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah dan izin-Nya sedangkan mereka menganggap mereka dapat melakukan apa saja kerana kekuasaan akal fikiran mereka.
- Kerana al-Quran menerangkan bahawa perkara utama dihajati dan dimohon daripada Allah ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan membawa kebahagiaan dan cara melaluinya sedangkan mereka dengan bangga dan sombong mengisytiharkan mereka tidak memerlukan apa-apa daripada yang dinamakan Tuhan kerana mereka boleh menempuh jalan yang mereka suka dan mencorak peribadi seperti yang mereka inginkan.
« Hide it
Share This
No Comments »
|