Archive for the “Kehidupan Sosial” Category
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.
Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud,
“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Muslim).
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.
Sabda Rasulullah,
“Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Abu Daud).
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah bermaksud,
“Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.
Maka, dia berkata kepada Allah, “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab, “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.
Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.
Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.
Antaranya ialah:
- Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.
- Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.
- Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.
Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:
- Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;
- Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;
- Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
- Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan
- Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.
« Hide it
Share This
2 Comments »
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

AMALAN bersedekah yang amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud,
“Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari).
Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati.
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud,
“Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”. (Hadis Bukhari)
Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah SWT sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka.
Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan. Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata:
“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim)
Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat itu.
Dalam soal memberi sedekah itu, semua orang mampu melakukannya sama ada dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit. Apa yang utama ialah sikap dan niat kita mesti menjuruskan kepada ikhlas kerana Allah SWT. Banyak yang boleh seseorang sumbangkan sebagai sedekah pada bulan Ramadan ini. Antaranya ialah memberikan makan minum kepada orang berpuasa. Dalam masyarakat Melayu, menyediakan juadah untuk berbuka sentiasa diadakan di masjid, surau mahupun di madrasah. Hal itu sangat mulia dan wajar diteruskan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
’ Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa; sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit pun. (Hadis At Tirmidzi)
Hadis ini mendorong kita umat Islam supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain.
Alangkah indahnya tuntutan Islam ke atas umatnya kerana dengan pengamalan bersedekah khususnya ketika bulan Ramadan pasti membibitkan rasa kebersamaan dan semangat ukhwah yang mantap dalam kalangan ummah.
Justeru, ketika kita sedang asyik menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini, segala amalan sunat dan amal makruf seperti bersedekah seharusnya diperbanyakkan dengan satu niat, hanya ingin mendapat reda Allah. Insya-Allah mereka yang pemurah dalam bulan Ramadan itu pasti ‘dekat dengan Allah’ dan Allah SWT meredainya serta diberikan ganjaran pahala yang besar.
« Hide it
Share This
No Comments »
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh
salidasuhaila99@yahoo.com
Ramadan ajak ummah rasai keperitan hidup golongan kurang kemampuan

KESERONOKAN beramal pada Ramadan semakin terasa selepas lebih 10 hari berpuasa. Umat Islam juga mula memahami bahawa bukan berpuasa saja ibadah yang boleh dilakukan pada bulan rahmat ini, tetapi juga amalan lain seperti bersedekah, beriktikaf, bertadarus, menunaikan umrah dan qiyam pada malam sunyi, mudah-mudahan mendapat rahmat lailatul qadar dan sebagainya. Puasa juga mendidik rohani agar menjauhi semua sifat terkeji yang didalangi iblis.
Amalan bersedekah seperti memberi makan orang berbuka puasa, sudah menjadi rutin umat Islam. Dulu, amalan ini dilakukan kepada anak yatim dan golongan miskin, tetapi hari ini ramai dermawan menunaikan hajat dengan bersedekah di surau atau masjid tanpa mengira golongan disasarkan. Anak yatim dan orang miskin sudah mewah dengan juadah berbuka yang diadakan di hotel, bahkan mereka diberikan lagi duit raya walau Ramadan baru sehari dua.
Seperti dimaklumi, salafus salih seperti Abdullah bin Umar, Dawud Ath-Tha’i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal, Hasan Al-Bashri, Ibnul Mubarak dan lain-lain lagi sentiasa berlumba-lumba memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya daripada ibadah lainnya sama ada dengan memberi makan orang lapar atau memberi makan saudara yang salih, bukan semata-mata seseorang fakir saja.
Keadaan ini berlarutan walaupun selepas Ramadan kerana nikmat berkasih sayang dengan membantu sesama mukmin mendekatkan diri mereka dengan Allah SWT. Dalam sebuah hadis diriwayatkan At-Timizi (dengan sanad hasan), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Siapa saja di antara orang mukmin yang memberi makan saudaranya sesama mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan syurga. Siapa saja di antara orang mukmin memberi minum saudaranya sesama mukmin yang dahaga, nescaya Allah memberinya minuman Rahiqul Makhtum.”
Sekiranya umat Islam menghayati nikmat kehambaan dan merasai manisnya iman kerana berbuat baik sesama Muslim, pasti semuanya tidak melepaskan peluang Ramadan kali ini untuk menunaikan hajat saudara yang kurang berkemampuan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang susah.
Sikap bermurah hati pada Ramadan pula sangat terpuji, seperti Rasulullah SAW yang sangat dermawan, terutama pada Ramadan. Baginda juga menasihati sahabat supaya berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan merasai hidangan yang mereka hajati dan sukai kerana takutkan Allah semata-mata, bukan untuk sebarang balasan atau ucapan terima kasih. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Insaan, yang bermaksud:
“Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka daripada kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera.”
Orang melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain kerana pemberian dan pengorbanannya tentulah lebih gembira daripada orang yang menerima. Kepuasan dirasai apabila melihat orang lain bahagia dengan apa diperoleh.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:
“Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu sedikit pun.”
Tidak perlulah kita memberikan sedekah dalam jumlah besar jika berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain supaya dipuji, atau dikatakan baik hati, sedangkan tiada sedikit pun rasa kehambaan dalam diri. Orang yang ikhlas dalam menunaikan ibadah ialah orang yang seboleh mungkin cuba ingin berkongsi ketakwaannya dengan dirinya sendiri saja, bukan dengan orang lain.
Jika tidak mampu menghulur wang, cukuplah sekadar beberapa butir kurma, jika itu dapat mengurangkan beban orang yang tidak berkemampuan. Jika tidak mampu juga, mungkin tidak salah mengorbankan masa dan keringat, membantu menyediakan juadah dan menghidangkan makanan kepada orang berbuka puasa, moga-moga diterima Allah SWT sebagai amal ibadah dan sedekah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seutama-utama sedekah adalah pada Ramadan.”
- Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia
« Hide it
Share This
No Comments »
Oleh Amran Zakaria

ISNIN ini negara menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan. Hari kebesaran negara selepas bebas daripada belenggu penjajahan. Menandakan kebebasan untuk mentadbir negara sendiri dan menentukan hala tuju dan matlamat sebenar negara.
Secara bandingan ternyata bukan mudah untuk memerdekakan negara daripada dikuasai penjajah. Sama ada menggunakan kebijaksanaan atau kekerasan. Dua kaedah yang menjadi pilihan bagi menuntut sesuatu kemerdekaan. Laluan berliku untuk mencapai kemerdekaan negara banyak menyentuh hati dan perasaan kita. Pengorbanan darah dan air mata menuntut semua itu. Melihat susur galur perjuangan pemimpin negara sebelum merdeka maka tepatlah seruan agar kita menyayangi dan mencintai negara secara berkekalan.
Istilah Arab berkaitan dengan semangat seperti ini disebut sebagai hubb al-watan yang mengaitkan kecintaan seseorang itu kepada negara. Maksudnya, hubb al-watan kalau dihayati akan menjadikan seseorang berjiwa dan bersemangat rela berkorban untuk mempertahankan maruah negara. Rela mempertahankan negara bangsa daripada anasir perosak yang menjahanamkan negara. Kata orang kerja membina bukan kerja mudah dan kerja memusnah bukan kerja payah.
Kecintaan seseorang kepada negaranya sendiri adalah satu fitrah yang tertanam kukuh dalam diri manusia. Ia satu perasaan yang membawa kesan baik dan positif terhadap perkembangan tamadun kemanusiaan. Islam pula sebagai agama yang menepati fitrah manusia sentiasa menyuburkan lagi rasa kasih dan sayang kepada negara. Ini adalah kerana kewujudan sebuah negara Islam adalah satu jaminan untuk melaksanakan secara amalinya negara Baldatun Toibatun Warabulghaffur. Kehilangan sebuah negara pula adalah satu kekalahan yang sangat hina bagi umat Islam kerana ia saat bermulanya berlakunya penindasan dan pelbagai kezaliman terhadap agama Allah. Lihatlah nasib umat Islam di negara Islam yang dijajah semula.
Imam Al-Ghazali menegaskan hakikat kepentingan sesebuah negara Islam dan umatnya di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin dengan katanya:
“Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang”.
Di dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita, betapa Baginda seorang negarawan yang sangat sayang kepada tanah air. Hinggakan ketika hendak melangkah meninggalkan bumi Makkah berhijrah ke Madinah pun baginda sempat melahirkan perasaan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Alangkah indahnya engkau, betapa aku sangat menyayangimu, kalaulah tidak kerana kaumku mengeluarkan aku darimu, nescaya tiada bumi yang akan aku diami melainkan engkau”. Manakala selepas sampai ke Madinah al-Munauwarah (ke negeri barunya) , baginda pun berdoa: “Wahai Tuhan, baikkanlah rasa cinta kami pada negara Madinah ini seperti mana cintanya kami pada Makkah atau lebih dari itu”.( Riwayat Al-Bahaqi)
Sewajarnya kita perlu kepada daya upaya yang kental dan bersemangat tinggi dalam mempertahankan negara daripada sebarang anasir sama ada nyata atau tidak nyata. Setiap orang hanya cenderung memikirkan kepentingannya sendiri. Setiap individu berfikir dan bertindak berdasarkan apa yang bakal diperoleh saja. Individu yang bijak adalah kalangan mereka yang memikirkan masa depan negara dan bersedia untuk mempertahankannya.
Justeru itu, dalam membangunkan kemerdekaan negara aspek kesedaran mengenai mempertahankan maruah bernegara dan kesedaran membela negara dibangunkan secara berterusan sebagai warisan dari satu generasi ke satu generasi. Dengan kata lain, bukan hanya aspek pendidikan dan keintelektualan berserta keterampilan yang perlu dibangunkan, bahkan dibangun juga aspek daya budi dan program cinta kasih pada negara yang membabitkan kesedaran bernegara dan membela negara bangsa.
Akibatnya, rasa cinta kepada negara semakin hari semakin menipis di jiwa warga negara. Apa lagi melihat betapa derasnya pengaruh globalisasi yang menyerang warga kita sehingga menipiskan rasa kecintaan kepada negara yang menjadi tanah air yang menyediakan tempat untuk kita berlindung dan meneruskan kelangsungan hidup.
Ketika perjuangan pemimpin negara menuntut kemerdekaan sebelum 1957, semangat yang berkobar-kobar terus menyala dalam diri mereka. Pemimpin rela mengorbankan jiwa dan raganya kerana memiliki kebanggaan dan kecintaan demi memerdekakan negara ketika itu.
Persoalan sekarang apakah idealisme perjuangan mereka boleh dihidupkan dalam suasana dan dimensi masa yang berbeza. Apakah akan ada pertanyaan seperti ‘Mengapa saya harus mencintai negara ini? dan ‘Mengapa saya mesti berkorban untuk negara ini? yang menggambarkan tahap sebenar yang menjadi garis piawaian bagi mengukur idealisme kebangsaan melalui pengucapan lisan dan pancaran pengisian ruangan kemerdekaan untuk diisi. Sukar untuk kita menjawab apa yang difikirkan oleh generasi baru di dalam ruang legar pemikiran mereka.
Mencintai negara hasil imbasan daripada cinta kepada Allah dan Rasulnya adalah sesuatu yang dituntut. Sebaliknya, mencintai negara kerana cintakan dunia menjadi punca segala kesalahan dan kesilapan. Bagi orang mukmin cinta negara ialah satu pengorbanan dalam hidup atau satu perjuangan yang tidak dapat diukir dalam perkataan.
Demi kesetiaan kita kepada negara yang tercinta, marilah sama-sama kita mengusahakan program yang dapat menyuburkan nilai cinta dan kasih sayang kita kepada negara. Leka dan cuai seminit boleh menghancurkan negara dalam masa sesaat. Tingkatkan iman sebagai prasyarat utama kejayaan umat di dunia dan di akhirat dalam kehidupan dalam sebuah masyarakat yang bernegara.
- Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islami (Damai)
« Hide it
Share This
No Comments »
Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my
Perselisihan faham sesama insan boleh diselesai menerusi muzakarah dan berdakwah
“KELEMAHAN umat Islam bukan kerana kekuatan orang kafir sebab Allah SWT tidak beri pertolongan kepada orang kafir tetapi kepada kita (umat Islam). Jadi, kekuatan itu sepatutnya pada kita,” kata pendakwah yang juga Ahli Majlis Agama Negeri, Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.
Beliau yang juga Penasihat Yayasan Sofa berkata, sebaliknya, umat Islam lemah dan tidak memiliki kekuatan kerana tiada sebab yang melayakkan mereka untuk mendapat kekuatan.
“Kita tidak ada perpaduan dan perhubungan di antara satu jemaah Islam. Apabila hendak bersalam (sesama umat Islam) kita tolak tetapi orang kafir kita terima. Inilah gambaran sifat ahli bidaah atau kumpulan ajaran sesat zaman dulu.
“Puak Khawarij mengkafirkan orang Islam sewenang-wenangnya. Apabila orang itu buat dosa besar dikafirkan, sedangkan kita ahli Sunnah Wal Jamaah tak nafikan orang itu. Inilah yang jadi sekarang, bersalam dengan orang kafir, orang Islam kita tikam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pidato pada Malam Apresiasi Generasi Salahuddin al-Ayyubi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, sempena Muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Hadir sama, Presiden Abim, Yusri Mohamad.
Syeikh Muhammad Fuad berkata, bab kepentingan perpaduan di kalangan umat Islam pernah disebut Nabi Muhammad SAW apabila Baginda sujud terlalu lama ketika solat sehingga sahabat menyangka Baginda sudah wafat.
Katanya, apabila ditanya sahabat selepas bangkit daripada sujud, Rasulullah bersabda Baginda memohon tiga perkara daripada Allah dan antaranya ialah meminta dijauhkan umat Islam daripada binasa disebabkan tangan sendiri.
“Kita binasa sebab kita tidak bersatu. Kita boleh berjabat salam dengan orang kafir tetapi kita tidak pedulikan orang Islam yang mahu bersalam dengan kita. Sebaliknya, kita perangi dan caci orang Islam serta buka keaiban di hadapan musuh Islam.
“Siapa akhirnya yang untung? Siapa yang bertepuk tangan disebabkan perpecahan umat Islam? Sebab itu Salahuddin membersihkan kerajaannya daripada anasir bidaah dan mampu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha membebaskan Baitulmaqdis.
“Hari ini kita mengasaskan jemaah kita di atas asas yang begitu rapuh. Kita kata berdakwah ke jalan Allah tetapi kita tidak kenal siapa Allah. Kita kata kita pendakwah Islam tetapi kita tidak kenal apa itu Islam sebenarnya yang dibawa oleh Rasulullah,” katanya.
Beliau memberikan analogi bagaimana hendak membawa rakannya dari Ampang untuk menghadiri program keagamaan di Shah Alam jika beliau tidak tahu jalan ke bandar raya itu.
Syeikh Muhammad Fuad berkata, keadaan itu akan menyebabkan beliau tersesat jalan dan rakan yang dibawanya bersama turut sesat.
Beliau seterusnya berkata, kepercayaan kepada mazhab tidak menyebabkan umat Islam berpecah-belah, sebaliknya fahaman mazhab menyatukan umat Islam.
Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermaksud wajib bagi umat Islam bermazhab tetapi wajib kepada orang yang tidak ahli dalam agamanya kerana mazhab mengeluarkan hukum kepada al-Quran dan hadis.
“Jadi, kita ikutlah pendapat orang yang lebih faham dan mahir. Kalau kita membiarkan semua orang memegang fahaman sendiri terhadap al-Quran dan hadis dalam keadaan tidak layak, saya khuatir bukan setakat empat mazhab yang ada tetapi lebih 20 juta mazhab di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia hari ini tidak mundur kerana umat Islamnya mempelajari mazhab Shafie yang menganjurkan Sunnah Wal Jamaah sehingga membawa keamanan dan kemajuan.
Katanya, jika tidak, Malaysia hari ini mungkin akan menjadi negara seperti Iraq dan Pakistan.
Beliau seterusnya mengajak pemimpin Islam di negara ini supaya bersatu kerana pada hakikatnya perselisihan itu hanya di luaran saja dan bukan dalaman.
Katanya, ia hanya salah faham di antara pemimpin parti Islam dalam memahami Islam dalam erti kata sebenar dan bukan tidak boleh hidup bersama.
Syeikh Muhammad Fuad berkata, umat Islam disuruh menyelesaikan masalah menerusi muzakarah dan berdakwah, malah Nabi Musa turut disuruh oleh Allah SWT supaya berdakwah kepada Firaun.
“Kalau Nabi Musa disuruh berdakwah, kenapa kita tidak boleh berdakwah kepada pemimpin yang kita kata fasiklah sedangkan yang paling fasik ialah Firaun. Ini kerana tidak ada orang mengaku Tuhan selain Firaun.
“Nabi Musa disuruh memuji dan bercakap lembut dengan Firaun. Itu etika yang diajar oleh Allah SWT. Tetapi kita tidak, kadangkala cara kita menyebabkan orang lari daripada kita. Itu masalahnya,” katanya.
Beliau seterusnya mengajak umat Islam menjadikan kejayaan Salahuddin (1137-1193), antaranya pemimpin Islam membebaskan kota Baitulmaqdis daripada tentera salib, sebagai teladan kerana kecemerlangannya memimpin ummah sehingga kini sukar ditandingi.
Mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurd di Mesir dan Syria, Salahuddin terkenal di kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua serta ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kepahlawanan dan belas kasihannya ketika Perang Salib.
Mengimbas kebangkitan Salahuddin dan tenteranya sebagai watak pejuang agama dan pembebasan wilayah yang dijajah, beliau berkata, siapa yang dekat dengan Salahuddin mengenalinya sebagai seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun.
Katanya, sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin ketika peperangan sangat jauh berbeza daripada kekejaman tentera Kristian, malah ahli sejarah Kristian pun mengakui hal itu.
Mengikut sejarah, khalifah Abasiyyah mengisytiharkan Salahuddin sebagai Sultan Mesir pada Mei 1175 Masihi dan pada tahun itu juga beliau membina kota pertahanan di Kaherah.
Ketika berlaku perang Salib kedua pada 1187 Masihi, yang juga dikenali sebagai Perang Hittin dan dipimpin sendiri oleh Salahuddin hingga membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitulmaqdis.
Dendam dan kekecewaan golongan pembesar Kristian mencetuskan Perang Salib ketiga pada 1192 Masihi apabila mereka berusaha merampas semula Baitulmaqdis daripada orang Islam.
Walaupun perang Salib yang ketiga itu menggabungkan seluruh kekuatan negara Kristian, mereka gagal menggugat kekuatan tentera Salahuddin.
Pihak Kristian mengalami kekalahan apabila ramai tentera terbunuh dan tertawan. Baitulmaqdis yang dikuasai orang Kristian selama 88 tahun, dapat ditakluki semula oleh Salahuddin al-Ayubi.
Salahuddin meninggal dunia ketika berumur 55 tahun di Damsyik, Syria selepas memerintah selama 25 tahun tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwariskan.
Sebaliknya Salahuddin dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas, tidak cukup untuk membeli kain kafan dan mengupah penggali makamnya.
« Hide it
Share This
No Comments »
|