Archive for the “Muamalah” Category
Ulul Albab:
Oleh Abdurahman Haqqi

Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga gambarkan keikhlasan hati
SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan. Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.
Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud: “Daripada Umar ra, katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi. Kemudian ia berkata: “Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam,” maka Rasulullah menjawab: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.
Katanya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?”, Rasulullah menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Kemudian dia bertanya lagi: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?” Rasulullah menjawab: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.
Akhirnya dia berkata meneruskan pertanyaannya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat”. Rasulullah menjawab: “Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya”. “Kalau begitu katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja.” Rasulullah menjawab: “Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.”
Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: “Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?”. Berkata aku: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.” Rasulullah berkata: “Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”
Dalam Kamus Dewan “Ihsan” dijelaskan dengan mengambil kira makna hadis di atas ketika menjelaskan maknanya dengan “beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa melihatnya.”
“Ihsan” juga bererti kebaikan, kebajikan, kemurahan hati (lawan bakhil) seperti dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan atau “Ihsan” juga bererti perbuatan (derma dan sebagainya) yang baik, kebaikan, kemurahan hati, kebajikan, kedermawanan seperti dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara.
Dalam al-Quran perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan: ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan setidaknya ada 12 ayatnya yang mengandungi lafaz ihsan/ihsanan yang menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada yang sepatutnya atau yang sama maksudnya. Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala. (al-Mu’jam al-Mufahras li Alfa al-Quran).
Konteks ihsan kepada sesama makhluk sangat luas dalam al-Quran dan ia sangat jelas dalam ayatnya bermaksud:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”. (Surah al-Baqarah: 83)
Bahkan perbuatan ihsan diperintahkan Allah dengan tegas dalam firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)
Satu daripada bukti wujudnya ihsan dalam diri manusia adalah senyum yang selalu melekat pada bibir seseorang kerana senyuman adalah bunga daripada perbuatan, fikiran dan motivasi yang baik. “Senyummu kala bertemu saudaramu bernilai sedekah“, seperti dalam hadis menunjukkan bahawa senyum berakar daripada ihsan kerana sedekah tidak akan diberikan kecuali oleh orang yang bersih hati dan perbuatan.
Senyum yang tulus bukti kebahagian diri yang dihasilkan oleh kandungan ihsan pada diri manusia. Ahmad Amin dalam Faid al-Kathir menulis:
“Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan saja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat. Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?”
Allah menyukai orang yang berbuat ihsan, dan ia disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran. Jika kesukaan Allah sudah berada pada diri manusia maka senyum adalah tandanya. Di samping itu, rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang sentiasa berbuat ihsan. Allah berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf: 5)
Jika begini adanya dalam al-Quran, tidakkah kita ingin sentiasa dekat dengan rahmat Allah?
« Hide it
Share This
No Comments »
KITA tidak boleh takbur dan mencari nama, tetapi kita tidak dilarang berusaha mencari kehormatan dengan memperbaiki budi sendiri. Gila hormat tidak boleh. Tetapi menjadi orang yang terhormat, haruslah menjadi tujuan hidup.
Lantaran jasa baik dan budi yang tinggi, kita harus beroleh kehormatan daripada sesama manusia. Kehormatan serta pandangan orang kepada kita dapat mendorong hati berusaha membuat yang lebih indah dan bagus.
Bagaimanapun, apabila kita melangkah dan berhasil, akan ada saja orang yang dengki. Ada yang sayang dan tidak kurang membenci. Orang yang benci itu, kerana mengakui kemuliaan dan kehormatan yang kita peroleh serta berusaha menghilangkan rasa hormat itu.
Oleh itu, digalakkan untuk sentiasa berusaha meningkatkan budi pekerti tinggi. Kehalusan dan ketinggian budi pekerti akan membuat lebih ramai orang sayang, begitu juga yang bakal membenci kerana iri hati.
Pepatah Arab berbunyi:
“Agama menjadi sendi hidup, pengaruh menjadi penjaganya. Jika tidak bersendi, runtuhlah hidup dan kalau tidak berpenjaga, binasalah hayat. Kerana orang yang terhormat itu, kehormatannya itulah yang melarangnya berbuat jahat.”
Lantaran menjaga kehormatan dan serangan yang bertubi-tubi timbullah perjuangan sengit, mempertahankan kehormatan sambil menjaga budi pekerti. Perjuangan itu sulit dan hebat, tetapi jika tidak diteruskan, kita akan menyesal kerana bahagia akan terasa dalam perjuangan tadi.
Sumber: Tasauf Moden oleh Prof Dr Hamka
Share This
No Comments »
Oleh Ibrahim Abdullah

SIFAT siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq. Dari Abdullah bin Masud, Baginda bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya siddiq itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan, dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta.” (Hadis Bukhari).
Abu Bakar as-Siddiq, sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai keistimewaan berbanding sahabat yang lain. Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu’abul Iman, dari Umar bin al-Khattab: “Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat maka akan lebih berat keimanan Abu Bakar.”
Rasulullah SAW sendiri juga pernah memuji keislaman Abu Bakar, seperti dinyatakan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wal al-Nihayah:
“Tidak aku mengajak seorang masuk Islam, tanpa ada hambatan, keraguan, tanpa me-ngemukakan pandangan dan alasan, hanyalah Abu Bakar. Ketika aku menyampaikan ajakan itu, dia langsung menerimanya tanpa ragu-ragu sedikitpun. Puncaknya adalah pada peristiwa Israk dan Mikraj, di mana semua manusia mendustai Rasulullah SAW, namun Abu Bakar yang membenarkan kejadian itu.”
Oleh itu, Abu Bakar mendapat jolokan as-Siddiq. Gelaran as-Siddiq ini adalah pemberian Allah melalui lisan Rasulullah SAW, sebagaimana yang dikatakan Ali Abi Talib. Dengan demikian hal ini menunjukkan bahawa siddiq merupakan sifat yang mempunyai nilai tertinggi di sisi Allah SWT.
Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar.” (Surah al-Ahzab: 35).
Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.
Firman Allah bermaksud:
“Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi, golongan siddiqin, syuhada dan salihin, mereka itulah teman sebaik-baiknya.” (Surah al-Imran: 69).
Kedudukan apakah yang paling mulia di akhirat selain nabi dan syuhada serta orang salih. Hal ini menunjukkan betapa siddiq adalah sifat yang sangat disukai Allah SWT. Jika tidak, tentu Allah tidak akan menjanjikan sesuatu yang sangat tinggi kepada mereka.
Orang yang siddiq memiliki beberapa ciri, di antaranya adalah :
- Teguh dan tegar terhadap apa yang diyakininya.
- Tidak ragu untuk berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.
- Memiliki keimanan kepada Allah, Rasulullah SAW, berinfak (sedekah atau sumbangan), mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janji dan sabar.
- Mempunyai komitmen yang kuat terhadap Islam.
Cara meraih sifat siddiq ialah :
- Sentiasa memperbaharui keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Kerana asas dari sifat siddiq ini adalah kuatnya keyakinan kepada Allah.
- Melatih diri untuk bersikap jujur, ikhlas di mana pun berada dan bila-bila masa saja, kerana kejujuran dan keikhlasan adalah karakter mendasar sifat siddiq.
- Melatih diri untuk sentiasa membenarkan sesuatu yang datang dari Allah (al-Quran dan Sunnah), kerana kebenaran mutlak hanya milik Allah. Sementara ijtihad manusia masih sangat memungkinkan adanya kesalahan.
- Sentiasa melatih diri untuk komitmen dengan Islam dalam segala aspeknya, akidah, ibadah, akhlak dan syariah. Kerana salah satu ciri siddiqin adalah memiliki komitmen yang tinggi terhadap Islam.
- Selalu menghayati ayat Allah, hadis Rasulullah SAW mengenai sifat siddiq, kerana menghayati ayat dan hadis juga cara tersendiri yang sangat membekas dalam jiwa manusia.
- Sentiasa membuka kehidupan salafus salih, terutama pada sikap mereka yang menunjukkan jujur dan benar.
- Memperbanyak zikir dan amalan sunnah, kerana ia akan menjadikan hati tenang dan tenteram serta mudah dihiasi sifat siddiq.
Yang dikhuatirkan adalah munculnya sifat kazib (dusta) dari dalam jiwa. Ini kerana tabiat hati, jika tidak dihiasi dengan sifat yang positif, maka ia akan terisi dengan sifat negatif. Oleh kerana itu mengawal hati dengan menjauhi sifat munafik dan pendustaan, boleh menjadi seseorang memiliki sifat siddiq.
« Hide it
Share This
1 Comment »
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.
Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud,
“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Muslim).
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.
Sabda Rasulullah,
“Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Abu Daud).
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah bermaksud,
“Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.
Maka, dia berkata kepada Allah, “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab, “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.
Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.
Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.
Antaranya ialah:
- Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.
- Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.
- Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.
Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:
- Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;
- Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;
- Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
- Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan
- Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.
« Hide it
Share This
2 Comments »
Oleh Amran Zakaria

ISNIN ini negara menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan. Hari kebesaran negara selepas bebas daripada belenggu penjajahan. Menandakan kebebasan untuk mentadbir negara sendiri dan menentukan hala tuju dan matlamat sebenar negara.
Secara bandingan ternyata bukan mudah untuk memerdekakan negara daripada dikuasai penjajah. Sama ada menggunakan kebijaksanaan atau kekerasan. Dua kaedah yang menjadi pilihan bagi menuntut sesuatu kemerdekaan. Laluan berliku untuk mencapai kemerdekaan negara banyak menyentuh hati dan perasaan kita. Pengorbanan darah dan air mata menuntut semua itu. Melihat susur galur perjuangan pemimpin negara sebelum merdeka maka tepatlah seruan agar kita menyayangi dan mencintai negara secara berkekalan.
Istilah Arab berkaitan dengan semangat seperti ini disebut sebagai hubb al-watan yang mengaitkan kecintaan seseorang itu kepada negara. Maksudnya, hubb al-watan kalau dihayati akan menjadikan seseorang berjiwa dan bersemangat rela berkorban untuk mempertahankan maruah negara. Rela mempertahankan negara bangsa daripada anasir perosak yang menjahanamkan negara. Kata orang kerja membina bukan kerja mudah dan kerja memusnah bukan kerja payah.
Kecintaan seseorang kepada negaranya sendiri adalah satu fitrah yang tertanam kukuh dalam diri manusia. Ia satu perasaan yang membawa kesan baik dan positif terhadap perkembangan tamadun kemanusiaan. Islam pula sebagai agama yang menepati fitrah manusia sentiasa menyuburkan lagi rasa kasih dan sayang kepada negara. Ini adalah kerana kewujudan sebuah negara Islam adalah satu jaminan untuk melaksanakan secara amalinya negara Baldatun Toibatun Warabulghaffur. Kehilangan sebuah negara pula adalah satu kekalahan yang sangat hina bagi umat Islam kerana ia saat bermulanya berlakunya penindasan dan pelbagai kezaliman terhadap agama Allah. Lihatlah nasib umat Islam di negara Islam yang dijajah semula.
Imam Al-Ghazali menegaskan hakikat kepentingan sesebuah negara Islam dan umatnya di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin dengan katanya:
“Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang”.
Di dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita, betapa Baginda seorang negarawan yang sangat sayang kepada tanah air. Hinggakan ketika hendak melangkah meninggalkan bumi Makkah berhijrah ke Madinah pun baginda sempat melahirkan perasaan dengan sabdanya yang bermaksud:
“Alangkah indahnya engkau, betapa aku sangat menyayangimu, kalaulah tidak kerana kaumku mengeluarkan aku darimu, nescaya tiada bumi yang akan aku diami melainkan engkau”. Manakala selepas sampai ke Madinah al-Munauwarah (ke negeri barunya) , baginda pun berdoa: “Wahai Tuhan, baikkanlah rasa cinta kami pada negara Madinah ini seperti mana cintanya kami pada Makkah atau lebih dari itu”.( Riwayat Al-Bahaqi)
Sewajarnya kita perlu kepada daya upaya yang kental dan bersemangat tinggi dalam mempertahankan negara daripada sebarang anasir sama ada nyata atau tidak nyata. Setiap orang hanya cenderung memikirkan kepentingannya sendiri. Setiap individu berfikir dan bertindak berdasarkan apa yang bakal diperoleh saja. Individu yang bijak adalah kalangan mereka yang memikirkan masa depan negara dan bersedia untuk mempertahankannya.
Justeru itu, dalam membangunkan kemerdekaan negara aspek kesedaran mengenai mempertahankan maruah bernegara dan kesedaran membela negara dibangunkan secara berterusan sebagai warisan dari satu generasi ke satu generasi. Dengan kata lain, bukan hanya aspek pendidikan dan keintelektualan berserta keterampilan yang perlu dibangunkan, bahkan dibangun juga aspek daya budi dan program cinta kasih pada negara yang membabitkan kesedaran bernegara dan membela negara bangsa.
Akibatnya, rasa cinta kepada negara semakin hari semakin menipis di jiwa warga negara. Apa lagi melihat betapa derasnya pengaruh globalisasi yang menyerang warga kita sehingga menipiskan rasa kecintaan kepada negara yang menjadi tanah air yang menyediakan tempat untuk kita berlindung dan meneruskan kelangsungan hidup.
Ketika perjuangan pemimpin negara menuntut kemerdekaan sebelum 1957, semangat yang berkobar-kobar terus menyala dalam diri mereka. Pemimpin rela mengorbankan jiwa dan raganya kerana memiliki kebanggaan dan kecintaan demi memerdekakan negara ketika itu.
Persoalan sekarang apakah idealisme perjuangan mereka boleh dihidupkan dalam suasana dan dimensi masa yang berbeza. Apakah akan ada pertanyaan seperti ‘Mengapa saya harus mencintai negara ini? dan ‘Mengapa saya mesti berkorban untuk negara ini? yang menggambarkan tahap sebenar yang menjadi garis piawaian bagi mengukur idealisme kebangsaan melalui pengucapan lisan dan pancaran pengisian ruangan kemerdekaan untuk diisi. Sukar untuk kita menjawab apa yang difikirkan oleh generasi baru di dalam ruang legar pemikiran mereka.
Mencintai negara hasil imbasan daripada cinta kepada Allah dan Rasulnya adalah sesuatu yang dituntut. Sebaliknya, mencintai negara kerana cintakan dunia menjadi punca segala kesalahan dan kesilapan. Bagi orang mukmin cinta negara ialah satu pengorbanan dalam hidup atau satu perjuangan yang tidak dapat diukir dalam perkataan.
Demi kesetiaan kita kepada negara yang tercinta, marilah sama-sama kita mengusahakan program yang dapat menyuburkan nilai cinta dan kasih sayang kita kepada negara. Leka dan cuai seminit boleh menghancurkan negara dalam masa sesaat. Tingkatkan iman sebagai prasyarat utama kejayaan umat di dunia dan di akhirat dalam kehidupan dalam sebuah masyarakat yang bernegara.
- Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islami (Damai)
« Hide it
Share This
No Comments »
|