Archive for the “Sejarah & Tamadun” Category
Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my
Perselisihan faham sesama insan boleh diselesai menerusi muzakarah dan berdakwah
“KELEMAHAN umat Islam bukan kerana kekuatan orang kafir sebab Allah SWT tidak beri pertolongan kepada orang kafir tetapi kepada kita (umat Islam). Jadi, kekuatan itu sepatutnya pada kita,” kata pendakwah yang juga Ahli Majlis Agama Negeri, Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.
Beliau yang juga Penasihat Yayasan Sofa berkata, sebaliknya, umat Islam lemah dan tidak memiliki kekuatan kerana tiada sebab yang melayakkan mereka untuk mendapat kekuatan.
“Kita tidak ada perpaduan dan perhubungan di antara satu jemaah Islam. Apabila hendak bersalam (sesama umat Islam) kita tolak tetapi orang kafir kita terima. Inilah gambaran sifat ahli bidaah atau kumpulan ajaran sesat zaman dulu.
“Puak Khawarij mengkafirkan orang Islam sewenang-wenangnya. Apabila orang itu buat dosa besar dikafirkan, sedangkan kita ahli Sunnah Wal Jamaah tak nafikan orang itu. Inilah yang jadi sekarang, bersalam dengan orang kafir, orang Islam kita tikam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan pidato pada Malam Apresiasi Generasi Salahuddin al-Ayyubi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, sempena Muktamar Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Hadir sama, Presiden Abim, Yusri Mohamad.
Syeikh Muhammad Fuad berkata, bab kepentingan perpaduan di kalangan umat Islam pernah disebut Nabi Muhammad SAW apabila Baginda sujud terlalu lama ketika solat sehingga sahabat menyangka Baginda sudah wafat.
Katanya, apabila ditanya sahabat selepas bangkit daripada sujud, Rasulullah bersabda Baginda memohon tiga perkara daripada Allah dan antaranya ialah meminta dijauhkan umat Islam daripada binasa disebabkan tangan sendiri.
“Kita binasa sebab kita tidak bersatu. Kita boleh berjabat salam dengan orang kafir tetapi kita tidak pedulikan orang Islam yang mahu bersalam dengan kita. Sebaliknya, kita perangi dan caci orang Islam serta buka keaiban di hadapan musuh Islam.
“Siapa akhirnya yang untung? Siapa yang bertepuk tangan disebabkan perpecahan umat Islam? Sebab itu Salahuddin membersihkan kerajaannya daripada anasir bidaah dan mampu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha membebaskan Baitulmaqdis.
“Hari ini kita mengasaskan jemaah kita di atas asas yang begitu rapuh. Kita kata berdakwah ke jalan Allah tetapi kita tidak kenal siapa Allah. Kita kata kita pendakwah Islam tetapi kita tidak kenal apa itu Islam sebenarnya yang dibawa oleh Rasulullah,” katanya.
Beliau memberikan analogi bagaimana hendak membawa rakannya dari Ampang untuk menghadiri program keagamaan di Shah Alam jika beliau tidak tahu jalan ke bandar raya itu.
Syeikh Muhammad Fuad berkata, keadaan itu akan menyebabkan beliau tersesat jalan dan rakan yang dibawanya bersama turut sesat.
Beliau seterusnya berkata, kepercayaan kepada mazhab tidak menyebabkan umat Islam berpecah-belah, sebaliknya fahaman mazhab menyatukan umat Islam.
Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermaksud wajib bagi umat Islam bermazhab tetapi wajib kepada orang yang tidak ahli dalam agamanya kerana mazhab mengeluarkan hukum kepada al-Quran dan hadis.
“Jadi, kita ikutlah pendapat orang yang lebih faham dan mahir. Kalau kita membiarkan semua orang memegang fahaman sendiri terhadap al-Quran dan hadis dalam keadaan tidak layak, saya khuatir bukan setakat empat mazhab yang ada tetapi lebih 20 juta mazhab di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia hari ini tidak mundur kerana umat Islamnya mempelajari mazhab Shafie yang menganjurkan Sunnah Wal Jamaah sehingga membawa keamanan dan kemajuan.
Katanya, jika tidak, Malaysia hari ini mungkin akan menjadi negara seperti Iraq dan Pakistan.
Beliau seterusnya mengajak pemimpin Islam di negara ini supaya bersatu kerana pada hakikatnya perselisihan itu hanya di luaran saja dan bukan dalaman.
Katanya, ia hanya salah faham di antara pemimpin parti Islam dalam memahami Islam dalam erti kata sebenar dan bukan tidak boleh hidup bersama.
Syeikh Muhammad Fuad berkata, umat Islam disuruh menyelesaikan masalah menerusi muzakarah dan berdakwah, malah Nabi Musa turut disuruh oleh Allah SWT supaya berdakwah kepada Firaun.
“Kalau Nabi Musa disuruh berdakwah, kenapa kita tidak boleh berdakwah kepada pemimpin yang kita kata fasiklah sedangkan yang paling fasik ialah Firaun. Ini kerana tidak ada orang mengaku Tuhan selain Firaun.
“Nabi Musa disuruh memuji dan bercakap lembut dengan Firaun. Itu etika yang diajar oleh Allah SWT. Tetapi kita tidak, kadangkala cara kita menyebabkan orang lari daripada kita. Itu masalahnya,” katanya.
Beliau seterusnya mengajak umat Islam menjadikan kejayaan Salahuddin (1137-1193), antaranya pemimpin Islam membebaskan kota Baitulmaqdis daripada tentera salib, sebagai teladan kerana kecemerlangannya memimpin ummah sehingga kini sukar ditandingi.
Mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurd di Mesir dan Syria, Salahuddin terkenal di kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua serta ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kepahlawanan dan belas kasihannya ketika Perang Salib.
Mengimbas kebangkitan Salahuddin dan tenteranya sebagai watak pejuang agama dan pembebasan wilayah yang dijajah, beliau berkata, siapa yang dekat dengan Salahuddin mengenalinya sebagai seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun.
Katanya, sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin ketika peperangan sangat jauh berbeza daripada kekejaman tentera Kristian, malah ahli sejarah Kristian pun mengakui hal itu.
Mengikut sejarah, khalifah Abasiyyah mengisytiharkan Salahuddin sebagai Sultan Mesir pada Mei 1175 Masihi dan pada tahun itu juga beliau membina kota pertahanan di Kaherah.
Ketika berlaku perang Salib kedua pada 1187 Masihi, yang juga dikenali sebagai Perang Hittin dan dipimpin sendiri oleh Salahuddin hingga membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitulmaqdis.
Dendam dan kekecewaan golongan pembesar Kristian mencetuskan Perang Salib ketiga pada 1192 Masihi apabila mereka berusaha merampas semula Baitulmaqdis daripada orang Islam.
Walaupun perang Salib yang ketiga itu menggabungkan seluruh kekuatan negara Kristian, mereka gagal menggugat kekuatan tentera Salahuddin.
Pihak Kristian mengalami kekalahan apabila ramai tentera terbunuh dan tertawan. Baitulmaqdis yang dikuasai orang Kristian selama 88 tahun, dapat ditakluki semula oleh Salahuddin al-Ayubi.
Salahuddin meninggal dunia ketika berumur 55 tahun di Damsyik, Syria selepas memerintah selama 25 tahun tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwariskan.
Sebaliknya Salahuddin dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas, tidak cukup untuk membeli kain kafan dan mengupah penggali makamnya.
« Hide it
Share This
No Comments »
Tajdid Iman
Bersama SS Dr Juanda Jaya
Umat kurang ilmu, hidup bergelumang maksiat kemungkinan mudah ditewaskan musuh
JENAYAH kemanusiaan dilakukan Zionis Yahudi ke atas kaum Muslimin di Palestin membuka mata dunia Islam dan mendatangkan keinsafan bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan duduk diam sehingga umat ini mengikuti golongan mereka. Terjajah, menyerah, mengikut segala kehendak dan taat setia kepada mereka.
Tabiat dunia sentiasa bergolak oleh perebutan kuasa, pertumpahan darah, kezaliman dan penyelewengan manusia. Selagi mana yang berkuasa adalah orang yang tidak mengenal Allah dan beriman kepada-Nya selagi itu tidak akan aman dunia ini selama-lamanya.
Oleh itu, Allah memberi amanah kepada Rasul-Nya dan orang mukmin untuk menegakkan kalimah Allah sehingga tiada lagi fitnah di atas muka bumi ini menerusi firman-Nya yang bermaksud:
“Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (daripada kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan. Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh), maka ketahuilah bahawa Allah pelindungmu. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.” (Surah an-Anfal, ayat 39)
Mengisytiharkan perang dengan kekuatan senjata umpama menjemput kematian ke kubu umat Islam kerana kekuatan orang kafir begitu jauh mengalahkan lawannya. Tetapi amatlah tidak wajar apabila generasi Islam menyerah bahkan langsung menghapus kalimah jihad dalam kehidupan mereka.
Kerana janji utama setiap mukmin kepada Allah adalah memperjuangkan Islam dan jangan sesekali mengkhianatinya, sebagai mana firman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal, ayat 27)
Perjuangan membela agama adalah tanggungjawab seluruh umat Islam, jika di Palestin kanak-kanak kecil begitu berani melempar batu, dikejar desingan peluru serta dihantui bom Zionis yang menceraikan tangan dan kaki daripada tubuh kanak-kanak tidak berdosa.
Di sini, anak kita sewajibnya belajar bersungguh-sungguh, membina sahsiah diri dan merancang masa depan seraya berjanji dengan ilmu dan kepakarannya nanti mereka akan menolong saudaranya di seluruh bumi Allah.
Anak adalah pemimpin masa depan, merekalah kekuatan umat yang mesti disediakan sebaik-baiknya, seperti mana suruhan Allah yang bermaksud:
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” (Surah al-Anfal, ayat 60)
Dalam merancang kekuatan umat, tidak dinafikan timbul kemelesetan dan penyelewengan dalam perancangan itu. Penyelewengan dalam perjuangan yang menjadi faktor kelemahan umat Islam sudah disenaraikan dalam al-Quran antaranya:
Umat bercerai berai. Mengapa terjadi fitnah ini sehingga melemahkan kekuatan umat ?
Punca perselisihan dan bercakaran sesama sendiri adalah kerana tiada kesatuan matlamat dalam perjuangan. Dunia dan hawa nafsu sudah merosakkan keikhlasan umat, ada golongan yang berjuang kerana hendak mendapat habuan dunia, sementara golongan yang ikhlas terganggu tumpuan mereka yang seharusnya membuat perlawanan ke atas orang kafir, akhirnya mengalihkan serangan itu kepada saudaranya yang berlainan visi dan misi.
Fenomena sebegini sudah dirasai Rasulullah SAW dalam perjuangan Baginda menghadapi golongan munafik. Dengan kecekapan Baginda SAW gangguan kaum munafik dapat diatasi sebaiknya.
Rasulullah SAW menumpukan usaha pembentukan kesatuan dan perpaduan orang yang beriman. Kepentingan membentuk keimanan dalam barisan generasi pejuang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi dan (terhadap) orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah (akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang sudah ada perjanjian antara kamu dengan mereka dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Adapun orang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. jika kamu (hai Muslimin) tidak melaksanakan apa yang diperintahkan Allah itu nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 72-73)
Iman dan hijrah yang memberi semangat perubahan ke arah kecemerlangan serta jihad menjadi tiga elemen penting boleh menyatukan umat ke arah misi dan visi yang satu.
Punca kelemahan umat Islam yang kedua adalah maksiat dan kemungkaran yang menjadi penyakit dalam tubuh umat. Maksiat menyebabkan manusia lupa diri, berpaling dari sisi Allah dan menjadi sebahagian ahli keluarga syaitan yang suka melakukan kerosakan.
Maksiat akan terus hidup dengan subur jika tiada usaha mencegahnya daripada merebak ke dalam tubuh umat. Seperti kisah kaum terdahulu, bagaimana Allah menimpakan azab ke atas mereka kerana kemungkaran yang dibiarkan berleluasa.
Umat Islam menghadapi tentangan sebegini pada hari ini, namun maksiat yang dilakukan orang Islam kadang-kadang lebih teruk dibandingkan kejahatan orang kafir. Begitu cepatnya iman mereka berubah, seperti mana sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir. Atau seseorang yang beriman pada waktu petang kemudian esok harinya dia sudah menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Jika kemungkaran dan maksiat sudah menjangkiti tubuh umat Islam, mereka hidup seperti orang kafir yang tiada bezanya antara mereka maka sedikit demi sedikit nilai Islam itu hilang daripada keperibadian generasinya.
Perasaan, pandangan dan pemikiran mereka sama seperti orang kafir, tiada langsung roh Islam yang masih tinggal dalam hati mereka. Akhirnya mereka tidak mengenal apa erti membela agama, menghayati ajaran Islam, bahkan dicampakkan saja al-Quran dan hadis itu sebagai kitab peninggalan kuno yang disimpan dalam muzium sejarah mereka.
Alangkah mudahnya mengalahkan umat Islam tanpa melakukan serangan fizikal dan persenjataan yang berbilion harganya. Cukup dengan menyebarkan virus maksiat dalam generasi Islam pasti mereka akan menyembah berhala moden bernama hawa nafsu lantas dengan begitu senangnya jiwa mereka mati sebelum jasadnya.
Ketiga yang menyebabkan umat lemah adalah kebodohan. Bangsa maju di dunia ini sudah jauh berlari ke hadapan meneroka hingga ke angkasa lepas semata-mata mahu menakluk bumi di bawah kekuasaan mereka.
Sedangkan umat Islam masih di situ, mengharap kekayaan bangsanya yang terpendam di bawah tanah diambil sedikit demi sedikit untuk menghidupkan anak cucunya dan menjadi negara pengguna paling tinggi daya belinya kepada negara kafir.
Jika berduit pun tetapi tiada ilmu, apa akan jadi dengan generasi akan datang? Sudah pun begitu masih juga bersikap sombong tidak mahu belajar dan hanya berharap daripada kekuatan yang sedikit saja.
Pendidikan belum lagi menjadi agenda pertama dan utama di mana hal ini merangsang tumbuhnya benih kemiskinan di negara Islam. Apabila ketiga-tiga faktor tadi masih membelenggu tubuh umat Islam, tidak mustahil mereka masih terus terjajah dan terpecah menjadi bangsa yang mundur selama-lamanya.
- Penulis ialah Mufti Perlis
« Hide it
Share This
1 Comment »
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
[salidasuhaila99@yahoo.com]
Tabung kemanusiaan tanda prihatin, walau tidak mampu jejak kaki ke bumi bergolak
ISLAM mengajar umatnya mengukuhkan hubungan bersaudara. Pelbagai aliran fikrah, bertikam lidah dan berlainan pandangan adalah perkara biasa, tetapi agama tetap dijunjung dan kekal perkasa kerana itulah yang utama, walau apapun ranjau melanda.
Adalah berdosa, jika kita terus bertelagah, apatah lagi sengaja mencari salah, sedangkan agama terus diperlekeh oleh orang yang sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan Islam di bumi Allah ini. Apatah lagi membiarkan saudara kita di Palestin terus menderita, tanpa melakukan apa-apa.
Usaha dilakukan semua golongan daripada pelbagai peringkat menunjukkan betapa kita menyedari bahawa kita bukan saja ingin menyelamatkan nyawa saudara seagama di Palestin, tetapi mempertahankan kesucian kiblat pertama umat Islam, iaitu Baitulmaqdis.
Tindakan segera rakyat Malaysia yang prihatin dengan menubuhkan tabung kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin adalah salah satu cara menghulurkan sikap kebersamaan, walau tidak mampu menjejak kaki ke sana untuk membantu seberapa terdaya.
Cadangan memulaukan semua produk dan perkhidmatan yang mempunyai kepentingan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), serta tidak menggunakan mata wang dolar dalam sebarang urusan perdagangan disambut baik.
Ia sepatutnya bukan seperti pepatah ’sekali air bah, sekali pantai berubah’, sedangkan Israel, AS dan sekutunya tidak pernah puas menyeksa kaum Muslimin dengan pelbagai bentuk atau cara. Sejak dulu lagi bangsa Yahudi tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita, Nabi dan Rasul atau orang biasa. Mereka akan membunuh tanpa rasa belas kasihan dan simpati.
Allah merakamkan kalam-Nya yang bermaksud:
“Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur akan ayat keterangan Allah dan mereka membunuh Nabi dengan tiada suatu alasan yang benar dan mereka berkata: hati kami tertutup. Bahkan Allah telah memeterai hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit saja di antaranya.” (Surah an-Nisa’, ayat 157)
Wilayah Palestin yang hari ini semakin terhimpit di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat bagaikan menanti masa untuk dihapuskan sepenuhnya daripada peta dunia. Negara Israel yang kuat memusuhi Islam dan Arab itu bukan sekadar ingin menguasai Palestin yang juga tempat lahir dan tempat tinggal sebahagian besar Rasul dan Nabi.
Bukan saja tempat terletaknya Masjid al-Aqsa, di mana berlakunya Israk dan Mikraj yang sehingga kini terus dikenang umat Islam tetapi juga ingin berkuasa di negara Arab lainnya termasuklah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, Semenanjung Sinai dan Madinah al-Munawwarah.
Sifat keji Bani Israel dinyatakan Allah dalam sabda yang bermaksud:
“Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.” (Surah al-Maidah, ayat 78)
Memang sukar untuk mengalahkan Israel dan sekutunya kerana mereka memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear yang hebat kecuali dengan kuasa Allah. Justeru, kesepakatan dan persaudaraan umat Islam adalah senjata paling kuat untuk melawan mereka dengan tidak terus menyanjung dan bergantung kepada kuasa manusiawinya sedangkan kita mempunyai Dia Yang Maha Berkuasa.
Oleh kerana itulah Allah memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan umatnya. Firman Allah yang bermaksud:
“Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)
Tidaklah menghairankan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempelopori hak asasi manusia dihasilkan daripada pemikiran Barat dan dipersetujui dalam Persetujuan Antarabangsa Tentang Hak Sivil dan Politik yang dikuatkuasakan pada 23 Mac 1976, kononnya tiada sempadan agama dan negara dalam mempertahankan kebebasan manusia untuk hidup tidak pula memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk hidup dengan aman sehingga 22 hari Wilayah Palestin dicabul dan rakyatnya dibunuh kejam.
Itulah sikap negara kuasa besar lainnya yang sentiasa berdiam diri apabila membabitkan kepentingan umat Islam dan begitu proaktif mengenai isu menyentuh kepentingan masyarakat bukan Islam.
Tentulah kita sedar bahawa daripada apa yang berlaku, maruah umat Islam tidak sekali-kali akan terbela jika kita terus mengharapkan bantuan orang bukan Islam sama ada melalui undang-undang dunia atau simpati mereka.
Umat Islam mestilah membuang sikap tidak peduli terhadap kekuatan akidah, syariat, ibadah dan akhlak iaitu syarat utama kekuatan dan keperkasaan ummah seperti mana digerakkan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda sewaktu menghadapi musuh Islam tidak lama dulu.
Umat Islam juga perlu sensitif terhadap pemerkosaan hak, sama ada nyawa mahupun harta benda kerana ia adalah hak milik setiap insan di dunia. Janganlah sekali-kali umat Islam pasrah dengan golongan kuffar, sehingga menjadikan mereka sekutu untuk melawan saudara seagama, sedangkan umat Islam adalah bersaudara, sampai bila pun kita mesti terus bersama.
- Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (Usim)
« Hide it
Share This
No Comments »
Tajdid Iman:
Dr Juanda Jaya
MEMANDANG wajah bayi dan kanak-kanak yang terkorban di Gaza menimbulkan perasaan amat bersalah dalam hati kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan saudara yang ditindas.
Soalan datang menerjah nurani keimanan, apakah bentuk bantuan paling relevan disumbangkan kepada mereka supaya kita terlepas daripada tanggungjawab sebagai Muslim di hadapan Allah SWT nanti?
Mengapa kamu membiarkan agamamu diperangi? Mengapa kamu berdiam diri menonton keganasan dan kekejaman menumpahkan darah Muslimin di atas tanah suci yang melahirkan para nabi? Apakah sumbanganmu untuk agama Allah SWT, apakah perananmu memastikan kalimah Allah SWT tertegak di atas bumi tanpa penghinaan?
Tidak mampu rasanya menjawab soalan tajam umpama peluru yang mengoyak jantung hati kita. Betapa selama ini keselesaan hidup sudah melayukan semangat Islam dalam diri yang lena. Seluruh bumi Allah SWT ini adalah tanggungjawab kita, di mana seorang Muslim lahir di situlah tanah air kita.
Amat menyedihkan, ramai di kalangan umat Islam yang jahil terhadap isu Palestin. Padahal, mereka cukup bijak dalam menempa kejayaan peribadi, kerjaya dan kedudukan selesa yang seharusnya mencelikkan hati nurani untuk memandang dengan serius isu kemanusiaan sejagat.
Bermula daripada kesedaran memahami bahawa peperangan di Palestin adalah isu agama dan keimanan. Walaupun media sentiasa memaparkan perbalahan yang terjadi antara dua kubu Fatah dan Hamas yang seolah-olah mahu menunjukkan perebutan kuasa politik, ketamakan dan kotornya peperangan sesama umat Islam sendiri.
Tujuan media Barat memaparkan isu itu supaya umat Islam yang melihat daripada kaca televisyen berputus asa terhadap masa depan Palestin dan tidak mahu lagi campur tangan kerana letih melihat pertumpahan darah sesama Muslim yang mencalarkan imej perjuangan mereka.
Padahal, isu perebutan kuasa di Gaza sebenarnya sudah selesai dengan keputusan pilihan raya yang dimenangi Hamas. Yang membangkitkan peperangan lagi adalah Israel dan sekutu kuatnya Amerika yang mahu Fatah memerintah supaya terjadi konflik berlanjutan.
Sengketa Fatah dan Hamas adalah tipu daya dan rancangan busuk Israel serta sekutunya untuk menciptakan ketidakstabilan politik dalam Palestin. Juga, menipu dunia Islam supaya mereka mempersoalkan keikhlasan pejuang Palestin itu.
Akhirnya, umat Islam seluruh dunia melupakan Palestin. Jika seorang Muslim yang mengikuti dari jauh kisah perjuangan Palestin sudah rasa bosan, tidak terdetik hati untuk berniat memberi sokongan dan pertolongan, maka dikhuatiri keadaan itu akan mencabut keimanan dalam hatinya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan membela saudara muslimnya dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Tidak ada seorang Muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika maruahnya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah SWT akan membiarkannya (tidak menolong) ketika dia memerlukan pertolongan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)
Kelemahan umat Islam dalam menyampaikan maklumat sahih mengenai isu Palestin dimanfaatkan Zionis yang mampu memutarbelitkan fakta dalam berita yang mereka sebar luaskan melalui media masa. Mereka menyatakan tanah Palestin adalah milik nenek moyang mereka, sedangkan jika diteliti, sejarah dunia sudah mencatatkan pembohongan mereka itu.
Asal bangsa Palestin dikenali sebagai bangsa Kan’an dan keturunannya sudah mendiami tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel menetap di sana. Islam pula datang dan memerdekakan Palestin daripada cengkaman penjajahan dan berkuasa selama 1200 tahun.
Sejarah tamadun Islam merekodkan pembebasan Palestin daripada cengkaman Rom pada zaman Umar bin al-Khattab. Islam memberi kedamaian selama 500 tahun di mana Kristian dan Yahudi dilindungi status kerakyatan mereka sebagai kafir Zimmi yang diberi hak sebagai warga negara.
Berdasarkan fakta penyelidikan seorang ahli akademik Yahudi sendiri bernama Arthur Koestler, lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan Palestin. Majoriti Yahudi sekarang sebenarnya berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno yang asalnya bukanlah Yahudi. Mereka mendiami bahagian utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang sudah memeluk agama Yahudi pada kurun ke-8 Masihi, mereka sepatutnya pulang ke selatan Russia bukannya Palestin.
Jadi, mengapa Zionis amat berminat dengan bumi Palestin? Zionis Antarabangsa sudah merangka dengan teliti tanah jajahan yang paling strategik dan berharga dengan menciptakan negara Yahudi. Suatu ketika mereka pernah merancang memilih Uganda sebagai jajahannya tetapi di situ tidak ada nilai sentimental seperti di Baitulmaqdis yang menyimpan sejarah Bani Israel bertapak suatu ketika dulu.
Mereka juga beriman bahawa di Al-Quds akan muncul Messiah (penyelamat) dan akan mengasaskan kerajaan Yahudi yang besar seperti yang dibina oleh Sulaiman, menurut dakwaan dongeng mereka.
Sikap umat Islam terhadap penjajahan Israel ke atas Palestin tidak akan berubah sehingga hari kiamat. Kita wajib menentang sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan ke atas kaum Muslimin. Ulama sedunia sudah memfatwakan haram mengakui kedaulatan Israel di bumi Palestin yang terjajah.
Pada 1947, fatwa Al-Azhar menyatakan haram membahagikan tanah antara Arab dan Yahudi di Palestin dan haram mengiktiraf kewujudan negara Israel di Palestin. Pada 1956 fatwa Syaikhul Azhar dan Mufti Mesir ketika itu, al-Imam al-Akbar al-Syaikh Hassan Makmum menyatakan menjadi fardu ain ke atas Muslimin semua untuk membebaskan bumi Palestin kerana Islam tidak mengenal persempadanan antara negara.
Perdamaian dengan Israel untuk merelakan mereka menindas dan membunuh kaum muslimin, perdamaian sebegini adalah haram. Fatwa Syaikhul Azhar terkini, Syaikh Muhammad Tantawi, ulama ulung sedunia, al-Syaikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Mesir Syaikh Nasr Farid Wasil pula menyatakan aksi serangan berani mati ke atas Yahudi penjajah adalah satu aksi jihad dan pelakunya adalah mati syahid.
Antara tindakan minimum yang wajib dilakukan umat Islam di seluruh dunia adalah memboikot barangan Israel dan sekutu. Mereka juga haram menjalankan hubungan dagang dan memberi apa-apa bekalan musuh, termasuk memboikot Amerika yang juga sekutu utama Israel.
Dr Yusuf Al-Qaradawi menyatakan: “Satu riyal yang digunakan untuk membeli barangan Amerika bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera Zionis untuk membunuh anak kecil di Palestin.” Inilah jihad minimum yang wajib dilakukan.
Apakah fatwa itu mampu menggerakkan umat Islam untuk menyokong perjuangan Palestin? Setiap kali kita membaca surah al-Isra dan mengingati peristiwa Israk dan Mikraj, muncul satu pertanyaan mengenai pembabitan kita dalam isu Baitulmaqdis, adakah cukup sokongan yang diberi untuk melayakkan kita sebaris dengan mereka yang berjihad di sana?
Terdetik ketakutan atas kelalaian, memandangkan Palestin adalah tanah air kita juga kerana Rasulullah SAW sudah memberi amaran dalam hadis Baginda yang bermaksud:
“Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Palestin adalah sejarah kita, perjuangan dan impian umat Islam seluruh dunia. Sudahkah kita memastikan generasi selepas kita nanti masih menjaga nilai sejarah dan kedaulatan Islam di sana? Atau anak kita akan menjadi pemuda-pemudi yang buta maklumat mengenainya? Bahkan akan melupakan cita-cita tertinggi dalam kehidupan seorang Muslim iaitu berjihad di jalan Allah SWT.
Apabila sudah terhakis semangat menegakkan agama Allah SWT dalam diri generasi Islam, tidak mustahil mereka akan mengikut jejak tali barut kuffar memerangi umat Islam sendiri. Tidak peduli dengan agama, mencampakkan al-Quran dari dada mereka dan mengejek kemuliaan hadis Rasulullah SAW kerana terlalu taksub dengan kitab dari Amerika, Eropah dan bangsa lain.
Dan menjadi kewajipan umat Islam untuk menyokong Palestin dengan harta, jiwa, ilmu dan kepakaran yang diperlukan bagi sebuah negara Islam merdeka. Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)
- Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my
« Hide it
Share This
5 Comments »
Tajdid Iman:
Oleh Dr Juanda Jaya
Juanda@msu.edu.my

Semangat hijrah seru Muslim bangun, bela, lindung negeri daripada sebarang anasir jahat
ALLAH menjadikan hijrah Rasulullah SAW sebagai mercu sejarah yang amat bermakna untuk dijadikan panduan bagi umat Islam hingga akhir zaman. Hijrah bukan hanya bermakna menghindar daripada seksaan, fitnah, caci maki dan ancaman bunuh semata-mata, malah ia satu strategi mendirikan masyarakat baru dalam negeri yang aman.
Oleh itu, menerusi semangat hijrah, setiap Muslim wajib berperanan membangun negerinya, melindungi dan membela daripada sebarang anasir jahat. Umat Islam kini sewajarnya mempelajari strategi pembangunan umat di Madinah pasca hijrah dengan meneladani perjuangan Rasulullah SAW.
Mula-mula Baginda SAW melakukan penjenamaan semula terhadap nama negeri yang menjadi asas pembentukan negara Islam pertama iaitu Yathrib diganti dengan al-Madinah al-Munawwarah. Hal itu menunjukkan kebijaksanaan politik yang terserlah daripada keperibadian Rasulullah SAW.
Nama negara Islam yang baru seolah-olah mahu menunjukkan satu kedaulatan baru sudah terbentuk di Madinah, sebuah negara baru yang mahu diiktiraf oleh seluruh kabilah di sekitarnya.
Rasulullah SAW sudah memerdekakan umat Islam dengan terbentuknya negara Madinah yang menjadi milik semua kaum tanpa memilih apakah bangsa dan agama mereka, adakah dia pendatang atau orang asli suatu negeri.
Bukankah puak Aus dan Khazraj, kaum Nasrani dan Yahudi juga diiktiraf sebagai warga negara yang dilindungi undang-undang di bawah kedaulatan negara Islam Madinah? Bahkan Rasulullah SAW melarang sesiapapun menyakiti kafir zimmi.
Selepas berdirinya kedaulatan baru, maka kekuatan politik Madinah diperkuat dengan terbentuknya persefahaman antara semua pemimpin kaum di Madinah dengan menyetujui butir-butir perjanjian yang dinamakan ‘Piagam Madinah’.
Kematangan politik sahabat yang dipimpin Rasulullah SAW semakin terserlah apabila mereka menjaga kepentingan semua kaum, salah satu terma perjanjian dalam Piagam Madinah itu bahkan menyebut bahawa: “Semua warga negara memiliki persamaan hak dan kewajipan, hubungan mereka didasari dengan semangat persaudaraan dan keadilan.”
Kemudian piagam ini juga menyetujui mengenai hak kaum Yahudi secara terperinci, ia berbunyi: “Orang Yahudi yang menyatakan kesetiaan kepada umat Islam harus dilindungi, mereka tidak boleh dianiaya dan diperangi.”
Piagam Madinah pada tahun pertama hijrah (bersamaan 622 masihi) adalah dokumen politik Islam pertama yang dipersetujui oleh pemimpin kaum sejak 14 abad silam. Mereka boleh bersatu dan jujur dalam perhubungan antara kaum itu.
Persaudaraan adalah konsep asasi dalam tamadun Islam kerana semangat persaudaraan yang diperkenalkan Islam tidak pernah membeza-bezakan bangsa dan kepercayaan semua kaum. Mereka boleh bersatu dalam satu perjanjian yang jujur dengan menjunjung nilai akhlak tinggi.
Islam sudah memulakan persamaan dan keadilan dalam menyatukan manusia jauh lebih awal sebelum terjadinya Revolusi Perancis yang pernah menyuarakan ungkapan ‘Liberte, Eligate, Fraternite’ (kebebasan, persamaan dan persaudaraan).
Tetapi, sejarah merakamkan perbuatan khianat orang munafik dan puak Yahudi yang melanggar perjanjian itu. Mereka melakukan tipu daya jahat hendak menghancurkan Islam dengan pelbagai cara. Konflik yang terjadi akibat pengkhianatan mereka semakin membesar sehingga mencetuskan tiga peperangan yang terkenal iaitu perang Badar (tahun kedua Hijrah/623 Masihi), perang Uhud (tahun ketiga Hijrah/625 Masihi) dan perang Khandak (tahun kelima Hijrah/627 Masihi).
Pada peperangan Badar, 70 tawanan berhasil ditangkap dan mereka boleh membebaskan diri dengan syarat setiap orang mengajar 10 orang Islam, akhirnya 700 orang Islam dapat dibebaskan daripada buta huruf.
Hal ini menunjukkan bahawa negara Islam Madinah juga menumpukan urusan pendidikan di samping kekuatan ekonomi juga diberi perhatian. Orang Ansar terkenal dengan sistem pertanian yang menonjol dan kaum Muhajirin pula adalah peniaga yang berjaya hingga melakukan transaksi jual beli hingga ke luar negara.
Sumber pendapatan negara pula bergantung dengan pengutipan dan pembahagian harta rampasan perang, jizyah, pajak sewa tanah ke atas orang Yahudi yang kalah dalam peperangan dan sedekah, pendapatan daripada hasil pembayaran tawanan perang dan kutipan zakat. Pada tahun kedua Hijrah diwajibkan pengambilan zakat oleh negara untuk dibahagikan kepada yang berhak menerimanya.
Sekali lagi, kekuatan politik baru negara Islam Madinah semakin menakutkan musuhnya ketika Rasulullah SAW melakukan satu lagi kebijaksanaan politik yang memaksa kaum Quraisy mengakui kedaulatan Islam di Madinah.
Pada tahun keenam Hijrah, selepas kekuatan Islam terbina dengan kukuh, Rasulullah SAW mengumpulkan sebanyak-banyaknya kaum Muslimin bukan hanya penduduk Madinah bahkan seluruh kaum dan puak lain di sekitarnya yang memeluk Islam melakukan umrah ke Makkah.
Rasulullah SAW datang bukan untuk berperang, Baginda hanya mahu menunjukkan kekuatan Islam. Hal itu menakutkan orang Quraisy dan mereka akhirnya mahu melakukan perundingan damai, maka terjadilah perundingan Hudaibiyah yang terkenal itu.
Kejayaan diplomasi itu memperkukuh politik negara Islam Madinah, walaupun pada permulaannya sahabat ramai yang tidak bersetuju dengan isi perjanjian itu. Akhirnya mereka melihat bahawa ketajaman dan kehalusan perancangan Rasulullah SAW tidak dapat difahami oleh akal fikiran mereka.
Hal itu menunjukkan bahawa kebijaksanaan Rasulullah SAW dikawal oleh wahyu, arahan dari langit. Keuntungan diperoleh daripada perjanjian Hudaibiyah ini dapat disenaraikan sebagai berikut:
- Kedua belah pihak mengadakan gencatan senjata selama 10 tahun. Sahabat yang berkekuatan melebihi kekuatan orang kafir waktu itu tentu berasa dirugikan. Tetapi akhirnya mereka boleh membuka mata dengan perjanjian pertama itu kerana Rasulullah SAW tidak mahu pertumpahan darah berlaku serta merugikan kedua-dua pihak.
Di samping itu, dengan perdamaian berkenaan Rasulullah SAW boleh menumpukan perhatian kepada pembangunan Madinah dan dakwah ke luar negara, di mana diadakan hubungan dua hala antara Madinah dengan sejumlah kuasa besar ketika itu seperti penguasa Najasyi, penguasa Rom, Kaisar Hercules dan Mauqaqis yang pernah menghadiahkan Mariah Qibtiyah kepada Rasulullah SAW.
Ketiga-tiganya menyambut baik hubungan dua hala dengan Madinah. Umat Islam juga tidak berasa khuatir dengan gangguan kaum Quraisy lagi kerana mereka terikat oleh perjanjian gencatan senjata berkenaan.
- Sesiapa dari golongan Quraisy yang lari kepada Muhammad SAW harus dikembalikan dan sesiapa pengikut Muhammad SAW yang lari tidak boleh dikembalikan.
Melihat isi perjanjian yang kedua itu seakan-akan berat sebelah, tetapi Rasulullah SAW sudah pun memikirkannya dengan begitu cermat. Tidak akan ada orang Islam Madinah yang murtad dan lari kerana iman mereka sudah teruji, bahkan jika ada yang murtad, maka mereka itu adalah pengkhianat kepada Islam dan Islam tidak memerlukan mereka.
Orang yang murtad pun jika dikekalkan hidup dalam masyarakat Muslim akan membahayakan orang Islam kerana boleh jadi mereka akan jadi musuh dalam selimut. Jadi, adalah lebih baik jika mereka dibiarkan lari daripada kuasa Islam.
Bagi orang yang mahu bergabung dengan Islam tetapi dikembalikan kepada kaum Quraisy memang menimbulkan kesedihan di hati keluarga mereka yang lebih dulu berhijrah. Mereka tidak boleh menolong ahli keluarga yang mahu berhijrah selepas itu.
Tetapi, orang Islam yang terikat di Makkah tanpa dapat melarikan diri ini akhirnya berkumpul dalam satu kumpulan di suatu tempat dan melakukan gangguan kepada kafilah dagang kaum Quraisy yang Muhammad SAW bebas mengadakan hubungan dua hala dengan kuasa besar di mana saja dan begitu juga Quraisy boleh melakukan hubungan sebegitu. Hal ini jelas menguntungkan Islam kerana Rasulullah SAW bebas melakukan dakwah kepada siapapun tanpa gangguan Quraisy.
Pada waktu itu ada beberapa kerajaan yang melakukan hubungan diplomatik dengan Madinah. Rasulullah SAW pula mengirim utusannya ke Rom, Persia, Ghassan, Yaman, Mesir dan Habsyah. Ada yang menerima baik hubungan itu dan masuk Islam tetapi ada juga yang menolak dan melancarkan permusuhan hingga memerangi umat Islam.
Akhirnya, sebelum genap 10 tahun lagi orang kafir Quraisy berasakan kerugian daripada persetujuan mereka dalam perjanjian itu. Banyak keuntungan yang diperoleh kaum Muslimin dengan perancangan politik begitu teliti dan bijak itu.
Ini semua bermula daripada hijrah yang membawa sinar cerah bagi masa depan Islam. Hijrah bukan bermakna mahu menumpang hidup dan menyusahkan orang lain, tetapi Rasulullah SAW dan sahabat menjadi orang yang memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat baru, membina kematangan politik dan berperanan dalam menyampaikan dakwah Islam ke merata dunia.
Adakah perjuangan kita hari ini adalah satu mata rantai yang sama dengan mereka? Itu bergantung sikap dan sifat perjuangan yang kita jalani, adakah mengikut sunnah Rasulullah SAW demi mendaulatkan agama Allah di mata dunia? Atau ramai yang sudah silau dengan godaan dunia?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Beribadah pada saat-saat huru-hara (dunia kacau-bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Beribadahlah dengan cara berjuang memartabatkan Islam di mata dunia, inilah hijrah sebenar umat Islam hari ini.
- Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my
« Hide it
Share This
No Comments »
|