Archive for the “Sejarah & Tamadun” Category
Oleh Amran Zakaria
amranzakaria@gmail.com

Umat Islam digalak perbaiki akhlak, contohi perjuangan Rasulullah setiap 1 Muharam
UMUMNYA hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.
Mengenai hijrah ke Yathrib, Rasulullah SAW ada menceritakan dalam hadisnya yang bermaksud:
“Aku melihat dalam tidurku aku berhijrah dari Makkah ke satu tanah yang banyak pokok kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya ia adalah Madinah, iaitu Yathrib.” – (Hadis riwayat Bukhari)
Hijrah mempunyai nilai yang tinggi untuk diletakkan harganya, bukan kerana disambut setiap tahun oleh masyarakat Islam di negara ini melalui pelbagai atur cara, lebih dari itu ialah nilai penghayatan yang tersirat dan dipancarkan melalui pengertian penghijrahan itu sendiri.
Nilai penghijrahan yang mesti dihayati itu mempunyai nilai darjatnya yang tinggi di sisi Allah. Penghijrahan mesti dilakukan kerana Allah seperti mana yang diakui Nabi Allah Ibrahim, yang sedia patuh dan tunduk kepada Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku akan berpindah ke tempat yang diperintahkan oleh Tuhan.” – (Surah al-Ankabut, ayat 26)
Penghijrahan Rasulullah SAW hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif membabitkan perancangan strategik dengan melihat ruang dan peluang di tempat baru. Hijrah dilakukan semestinya kerana Allah, demi mendapatkan keredaan-Nya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Maka orang yang berhijrah, yang diiusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Aku hapuskan kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah, pada sisinya pahala yang baik.” – (Surah Ali-Imran, ayat 195)
Sebenarnya, urutan peristiwa Penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Yathrib ini bermula apabila pemuka-pemuka Quraisy yang diketuai Abu Jahal berasa tercabar dengan penyebaran Islam di Kota Makkah dalam tempoh 13 tahun itu. Sepanjang tempoh tersebut mereka telah melakukan pelbagai bentuk seksaan dan kezaliman terhadap Muslimin untuk menanggalkan Islam dalam tubuh mereka. Anak isteri dipisahkan, harta benda dirampas, nyawa diragut, dipukul dan diseksa dengan seksaan yang begitu dahsyat dan mengerikan, namun tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu tidak berjaya juga menghalang kebangkitan Islam yang semakin luas penyebarannya dari sehari ke sehari.
Pemuka Quraisy yang mewakili kabilah masing-masing telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 26 Safar tahun ke 14 kenabian bertempat di Darul Nadwah bagi membincangkan langkah yang akan diambil untuk memusnahkan Islam. Di dalam persidangan itu iblis turut menghadirinya dengan menyamar sebagai Syeikh An-Najd (seorang tua dari Najd) yang turut memberi cadangan dan usul yang jahat. Persidangan itu akhirnya berakhir dengan menerima cadangan dari Abu Al-Aswad agar Rasulullah SAW dibuang negeri dan kemudian menerima pula cadangan dari Abu Al-Buktari yang mencadangkan agar Rasulullah SAW dipenjarakan.
Allah SWT telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril mengenai pakatan jahat itu dan memerintahkan agar Rasulullah saw berhijrah ke Yathrib. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan ingatlah wahai Muhammad, ketika orang bukan Islam Makkah menjalankan tipu daya ke atasmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka, kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya” – (Surah Al-Anfal, ayat 30).
Rasulullah SAW telah memberitahu sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq mengenai makluman dan perintah dari Allah SWT itu dan membuat persiapan dan perancangan untuk berhijrah dari tanah kelahirannya itu.
Ringkasnya, Rasulullah SAW telah memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib, agar berbaring menggantikannya di tempat pembaringan dan menyampaikan beberapa pesanan dan amanah kepada Ali. Helah yang dilakukan oleh Baginda ini berjaya memperdayakan pengintip Quraisy yang telah mengintai tempat pembaringan Rasulullah SAW dan melihat sekujur tubuh sedang tidur yang disangkakan Rasulullah SAW itu. Rasulullah SAW telah berjaya melarikan diri dari kepungan Quraisy tanpa disedari oleh mereka walaupun seorang pun.
Rasulullah SAW bersama Abu Bakar bertolak ke arah selatan menuju ke Gua Thur dan bermalam di dalamnya selama tiga malam. Dalam tempoh itu, Asma dan Aisyah membawa bekalan makanan manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik bagi mendengar sebarang berita atau perancangan dari pembesar Musyrikin dan Amir bin Fuhaira’ pula mengembala kambing di sepanjang laluan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar bagi menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka berdua itu. Sewaktu Rasulullah SAW dan Abu Bakar berada di Gua Thur ini telah berlaku beberapa mukjizat iaitu wujudnya sarang labah-labah di depan gua dan sebagainya sehingga tidak dapat dikesan oleh pihak musuh.
Pihak Quraisy yang kecewa akibat tidak berjaya menangkap mereka berdua telah mengumumkan beberapa tawaran istimewa berupa ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya memberkas dua orang pelarian yang amat dikehendaki itu. Tawaran ini telah berjaya menarik minat Suraqah bin Malik yang berjaya mengesan jejak mereka berdua dan mengejarnya dari belakang. Namun impiannya untuk mendapatkan 100 ekor unta itu berkecai akibat beliau dan kudanya tersungkur rebah ke tanah.
Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq meneruskan perjalanan mereka berdua melalui beberapa perkampungan di antaranya Tihama dan melintasi padang pasir yang luas dalam keadaan panas terik yang membakar padang pasir Sahara. Perjalanan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan dengan melintasi padang pasir, batu kapur, lembah curam, binatang berbisa, kedinginan malam hari dan pelbagai tribulasi yang menguji Rasulullah dan rombongan penganut Islam. Segala bentuk kepayahan itu berjaya diharungi dengan hanya berbekalkan keimanan, ketabahan, kesabaran, kepatuhan yang tinggi kepada Allah SWT.
Akhirnya Rasulullah SAW bersama Abu Bakar tiba di Quba’ pada Isnin 8 Rabiulawal tahun ke-14 Kenabiaan, sebahagian ulama mengatakan hari itu bertepatan dengan 12 Rabiulawal. Baginda menetap di situ selama empat hari dan mendirikan Masjid Quba’.
Maka pada 24 September 622M bergemalah alunan merdu Thola’al Badrul Alaina yang dialunkan sebagai meraikan selamat datang rombongan Rasulullah SAW dengan penuh gembira. Tanpa disangka dan tanpa diduga, golongan Ansar yang dahulunya berperang sesama mereka tetapi akhirnya menerima agama yang menyatukan hati-hati mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Barang siapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka diberinya pengertian ad-din” – (Hadis riwayat Bukhari).
Kehadiran Islam menyatukan hati yang bersengketa bagi membentuk wahdatul qalb. Islam agama sejahtera ini telah menyatukan puak Ansar yang lama bersengketa itu. Suatu rahmat yang tiada bandingannya. Rahmat keamanan yang menenggelamkan persengketaan.
Renunglah kembali pengertian penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah yang memberi nafas baru kepada suatu perubahan yang besar dalam sejarah kebangkitan ummah. Penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah misalnya adalah sekadar penghijrahan biasa saja. bagi melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Makkah dan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib adalah penghijrahan yang dilakukan atas arahan dan perintah Allah bagi meneruskan perjuangan untuk menegak, mengukuh dan mempertahankan Islam. Firman Allah yang bermaksud:
“Maka barang siapa yang mengikut petunjuk ku, maka tiadalah dia akan tersesat dan tiada pula akan sengsara” – (surah Al-Baqarah, ayat 38)
Kalangan ulama bersepakat meletakkan peristiwa hijrah sebagai ‘zaman baru’ yang memberi ‘nafas baru’ kepada misi penyebaran Islam. Selain daripada tahun hijrah diguna pakai sebagai penanda takwim baru umat Islam, hijrah juga menandakan bermulanya method kehidupan baru melalui pembinaan semula sahsiah dan keperibadian Muslim seperti yang dibentuk dan diperkasakan agama. Perpindahan daripada amalan yang memaparkan kejahilan setelah hilang panduan hidup kepada amalan yang berasaskan disiplin agama yang berpandukan al-Quran.
Menghayati penghijrahan Rasulullah SAW bermakna menghayati falsafah kecekapan dan kepintaran strategi, kesabaran dan kecekalan, keyakinan dan ketegasan, kesungguhan dan bermatlamat. Ia membabitkan semua peringkat masyarakat yang terdiri daripada belia yang diwakili oleh Saidina Ali, golongan dewasa yang diwakili oleh Abu Bakar As Siddiq, golongan korporat yang diwakili oleh Abdul Rahman Auf, golongan wanita yang diwakili oleh Asma’ Abu Bakar. Pembabitan kalangan bukan Islam sebagai penunjuk jalan yang diwakili oleh Abdullah Uraiqit juga membantu dalam menjayakan misi penghijrahan ini.
Hari ini dan ketika ini, cerita penghijrahan Rasulullah SAW hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita sejarah yang lain, cabaran penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menjadi rakaman sejarah sekadar untuk dibaca sebagai bekalan bagi menjawab soalan peperiksaan. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi agama. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Kehadiran tahun Hijrah 1430 yang bakal hadir nanti diharapkan dapat mengubah persepsi Muslim berkaitan isu itu melalui iltizam yang penuh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
- Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI).
« Hide it
Share This
3 Comments »
Tajdid Iman:
Oleh Dr Juanda Jaya
PERJUANGAN: Islam janjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak dan menentang kezaliman.
Sejarah buktikan perjuangan tegak kedaulatan agama, bangsa dipelopori ulama’
KETIKA memperingati Hari Kebangsaan, kita perlu merenung sambil cuba menjelajah sejarah yang menumpahkan darah syuhada bangsa. Apakah yang menguatkan azam dan keberanian jiwa mereka menentang penjajah.
Agaknya ada sesuatu yang amat besar mampu melahirkan semangat kepahlawanan dalam diri syuhada. Roh Islamlah sebenarnya berperanan menghidupkan jiwa mereka menentang kolonialisme. Islam yang menjanjikan kemuliaan kepada sesiapa berjuang menegakkan yang hak.
Data sejarah merakamkan gerakan antipenjajahan British yang dipelopori ulama sama ada di Sarawak, Melaka, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Catatan sejarah menyatakan pada 17 Ogos 1844, Sharif Sahab, Sharif Mashor, Datu Patinggi Ali, Datu Patinggi Imam Abdul Gafur, Imam Masjid Besar Sarawak yang pertama bersama penduduk tempatan dari kalangan Dayak melakukan penentangan bersenjata secara serentak terhadap penjajahan Brooke di Sarawak.
Akibat pertempuran itu, Datu Patinggi Ali gugur dalam Pertempuran Beting Maru, manakala Sharif Mashor yang gigih menentang penjajah akhirnya dibuang negeri ke Singapura. (Zaini Ahmad, Rakis 1978)
Pada 1895, di Pahang muncul Datuk Bahaman yang disokong Tok Ku Paloh dari Terengganu mengisytiharkan perang jihad menentang British. Pada awal abad ke-20, muncul pula Tok Janggut Mat Hasan di Kelantan.
Pada 1922, Abdul Rahman Limbong memimpin gerakan Islam menentang British di Terengganu bersama rakan beliau seperti Musa Abdul Ghani. Hasil daripada kesedaran serta semangat kebangsaan dan keIslaman orang Melayu, maka lahirlah parti politik seperti Hizbul Muslimin, Umno dan Pas pada pertengahan abad ke-20.
Walaupun antara parti politik ini ada perbezaan dari segi strategi dan taktik perjuangan, matlamat yang dituju adalah satu iaitu membela kedaulatan agama Islam dan Melayu. (Mahayudin Haji Yahya, Islam di Alam Melayu 1998)
Prof Dr Hamka yang mengkaji gerakan ulama di Nusantara mengabadikan nama besar pahlawan Islam di serata Kepulauan Indonesia. Antara yang beliau sebutkan ialah Sultan Iskandar Muda di Acheh, Sultan Agung Tirtayasa di Banten, Sultan Agung Hanyotokusumo di Mataram, Sultan Hasanudin di Makasar, Raja Haji di Bugis, Raja Muda di Riau, Diponegoro memimpin tanah Jawa, Teuku Imam Bonjol, Pattimura di Ambon dan gurunya Said Partintah dari Saparua, seorang berketurunan Arab. (Hamka, Dari hati ke hati, tentang Agama, Sosial, Budaya dan Politik 2002)
Semua pahlawan negara itu menjadikan ajaran Islam sebagai pedoman dalam gerakan dan perjuangannya. Patutkah kita melupakan jasa ulama di Alam Melayu Nusantara ini? Alangkah lemahnya pandangan mata hati yang tidak mahu mengakui bahawa roh Islamlah sebenarnya yang menggerakkan perjuangan mereka.
Menerusi semangat al-Quran mereka menggenggam semangat jihad hingga mencapai kemerdekaan. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya seperti mana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah berserta orang yang bertakwa.” (Surah Al-Taubah, ayat 36)
Kerana iman kepada Allah mereka memperjuangkan agama dan bangsa, seperti maksud firman-Nya:
“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (Surah Al-Taubah, ayat 41)
Mereka percaya dengan janji Allah bagi sesiapa memperjuangkan agamanya adalah nikmat syurga yang kekal abadi seperti dimaktubkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
“Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya) dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman.” (Surah Al-Saf, ayat 10-13)
Jelas terpancar semangat Islam itulah yang membangkitkan pahlawan bangsa kita. Begitu pula sebaliknya, penjajah yang datang dari barat dipengaruhi semangat salibiyyah di samping faktor politik dan ekonomi.
Hal ini dibongkar oleh Hamka melalui buku sejarah yang ditulis K M Panikkar bertajuk Asia and Western Dominant. Ketika Panglima Perang Portugis Alfonso d’Albuquerque mahu menyerang Melaka yang menjadi pertahanan Islam kuat ketika itu, dia mengobarkan semangat juang tenteranya dengan pidatonya yang terkenal: “Adalah suatu pemujaan dan persembahan ibadat yang amat suci dari kita untuk Tuhan dengan mengusir dan menghakis habis orang Arab dari negeri ini, dan dengan menghembus padam pelita pengikut Muhammad sehingga tidak ada lagi cahayanya di sini buat selama-lamanya. Apabila perniagaan di Melaka ini kita rampas daripada tangan orang Islam, maka habislah masa depan Kaherah dan Makkah, dan Vanesia tidak akan dapat lagi berniaga rempah kalau tidak berhubungan dengan Portugis.”
Sejarah Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan selama-lamanya. Orientalis dan negarawan pelopor imperialisme terkenal akhir abad ke-19, Gladstone (1809-1898) pernah mengungkapkan kesulitan penjajah menguasai negeri Islam.
Sambil memegang al-Quran dalam House of Common, beliau berkata: “Selama kitab ini masih dibaca orang Islam, selama itu mereka masih melawan kita.”
Betapa dekatnya Islam dan bangsa Melayu, abadi selama-lamanya menjadi kekuatan yang terbukti boleh menentang sesiapa yang mahu mempermainkan ketinggian maruah mereka. Perkataan Gladstone menjadi bukti bahawa kekuatan Melayu berpunca daripada keyakinan mereka terhadap agamanya, Islam.
Kita sudah merdeka dan kekal dengan semangat ‘Islam dan Melayu’ yang takkan hilang ditelan zaman. Namun akhir-akhir ini kita dikejutkan oleh usaha pengkhianat bangsa yang mahu meruntuhkan jiwa bangsa, menghisap kasih sayang dan toleransi dari darah daging generasi baru.
Mereka berusaha meracuni pemikiran generasi baru dengan sentimen ras dan warna kulit berbeza padahal gerakan ini nyata membawa agenda politik tertentu. Perlu difahami bahawa kolonialisme zaman sekarang tidak jauh beza dengan nenek moyang mereka dulu.
Hanya yang sekarang menggunakan taktik membonceng di belakang tali barut berasal dari negara yang dijajah. Mencipta suasana tegang antara suku kaum adalah siasat dan muslihat basi yang agaknya mahu diguna pakai kembali saat ini.
Bukankah penjajah dulu menggunakan taktik pecah dan perintah? Yang menjadi mangsa bukan hanya umat Islam dan orang Melayu, bahkan kaum minoriti lain ikut terbabit kerana kemajuan ekonomi dan pembangunan boleh terjejas dengan isu keselamatan negara. Akhirnya kita akur, kesan penjajahan itu tak boleh dihapuskan, taktik dan muslihat mereka lebih canggih daripada dulu.
Transformasi budaya berunsur negatif sedikit sebanyak menghilangkan jatidiri generasi baru bangsa ini. Bukankah ramai anak muda yang malu mengaku Melayu dan Muslim dalam bergaya, berekspresi dan bergerak dalam percaturan dunia?
Nenek moyang kita amat kuat pegangan agamanya, merekalah yang memperjuangkan kemerdekaan ini. Jangan dilupa, Islamlah yang menggerakkan perjuangan merebut kemerdekaan. Mengapa mahu dihapuskan kemuliaan Islam dalam perjuangan kita hari ini? Hamka pernah mencoretkan pesanan:
“Melayu tanpa Islam, hilang ‘me’-nya, tinggal layu saja”
« Hide it
Share This
2 Comments »
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
“MAHA Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Isra’:1)
Peristiwa Israk dan Mikraj biarpun di luar pencapaian pancaindera manusia biasa, tetap diabadikan dalam al-Quran, dengan hikmah yang amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini dan membenarkan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
Justeru, umat Islam berkewajipan mempercayai, malah mengimani peristiwa itu. Ulama mencapai kata sepakat orang Islam yang meragui atau tidak mempercayai peristiwa itu dihukum kafir.
Daripada riwayat, menceritakan beberapa liku kejadian dialami Rasulullah s.a.w, tidak kurang dengan kejadian aneh yang bermula dari awal.
Nabi s.a.w mengalami pembedahan dada, hati baginda dicuci dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam (‘alaqah), kemudian dadanya dijahit kembali dan dimeterikan dengan ‘khatimin nubuwwah’.
Selesai pembedahan, didatangkan haiwan iaitu buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan ‘israk’ dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.
Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.
Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan ruang cahaya, iaitu perdetik dapat menempuh jarak kira-kira 300,000 kilometer. Oleh itu, kecepatan buraq sekejap mata di antara Makkah sampai ke Palestin.
Tiba di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan bersolat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s. dilahirkan).
Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bertanam, terus menuaikan hasil tanaman.
Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.
Ketika Mikraj (ke Hadhratul Qudus menemui Allah) baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Baginda dinaikkan ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim sedang bersandar di Baitul Ma’mur dihadapi beberapa kaumnya.
Nabi s.a.w juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja.
Kini selepas kewafatan Rasulullah s.a.w peristiwa Israk dan Mikraj dikenang umat Islam, malah pada penghujung Rejab sempena tarikh peristiwa terbabit diadakan acara mem peringati melalui ceramah berkaitan peristiwa itu.
Di sesetengah negeri diadakan cuti umum Israk dan Mikraj sebagai penghormatan kepada peristiwa bersejarah yang berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Usaha itu memberi kebaikan kerana mengingatkan umat Islam, terutama generasi muda sejarah Islam seperti Israk dan Mikraj.
Sekurang-kurangnya ia membangkitkan roh dan syiar keislaman, apatah lagi manusia mudah alpa mutakhir ini.
Tetapi bagaimana, jika ada pihak yang tampil mendakwa meraikan peristiwa bersejarah seperti Israk dan Mikraj adalah suatu bentuk baru yang diada-adakan (bidaah) yang ber tentangan seperti juga sambutan Maulid Nabi?
Timbalan Rektor Unit Antarabangsa dan Inovasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Sano Koutoub Moustapha dipetik berkata: “Saya percaya menyambut peristiwa bersejarah seperti Maulid Nabi dan Israk Mikraj sepatutnya tidak dihukum secara keseluruhan bidaah yang dilarang.
“Betul sambutan ini adalah benda baru, tetapi bukan semua benda baru dilarang. Banyak benda baru berlaku selepas kewafatan Nabi s.a.w, seperti pengumpulan al-Quran dan azan kedua solat Jumaat,” katanya, yang juga ahli tetap Majlis Akademi Feqah Antarabangsa, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pengumpulan al-Quran adalah satu benda baru, berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, iaitu ketika ramai huffaz mati dalam peperangan Yamamah, lalu Saidina Umar mencadangkan kepada beliau menghimpunkan al-Quran kerana bimbang akan kehilangannya dengan sebab kematian huffaz dan qurra’.
Tetapi Saidina Abu Bakar pada mulanya ragu-ragu kerana Nabi s.a.w tidak pernah melakukannya dan takut seandainya berlaku perubahan ayat atau pertukaran ayat al-Quran.
Selepas dibincang dengan teliti, atas alasan maslahah dan menyedari ia adalah satu wasilah yang paling agung untuk memudahkan menghafaznya serta mengelakkan daripada hilang dan luput, Saidina Abu Bakar bersetuju dengan usaha pengumpulan ayat al-Quran itu.
Dipanggil beberapa huffaz dan penulis wahyu zaman Nabi s.a.w yang masih hidup antaranya Zaid bin Thabit bagi meneruskan usaha penulisan al-Quran.
Al-Quran kemudian ditulis Zaid hasil pengumpulan da ripada lembaran yang ada dan akhirnya diikat kemas, tersusun turutan ayatnya sebagaimana ditetapkan Rasulullah s.a.w.
Mashaf ini kemudian diserahkan kepada Saidina Abu Bakar. Selepas kewafatannya, diserahkan pula kepada Saidina Umar al-Khattab.
Selepas beliau wafat, mashaf itu dipindahkan ke rumah Hafsah, isteri Rasulullah s.a.w yang juga anak Saidina Umar sehingga ke saat pengumpulan dan penyusunan al-Quran pada zaman Khalifah Uthman.
Apabila berlaku pertentangan dari sudut bacaan ayat al-Quran, ia akhirnya memaksa kepada tindakan Khalifah Uthman untuk membukukan al-Quran. Jadi dibentuk satu jawatankuasa penyelaras dalam usaha membukukannya, sehingga akhirnya terhasil apa yang dinamakan Mashaf Uthmani dan mashaf itu bertebaran ke seluruh dunia menjadi panduan umat Islam hingga hari ini.
Dr Sano menegaskan, Nabi s.a.w dilaporkan bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baik, dia akan diberikan ganjaran kerananya dan ganjarannya berdasarkan apa yang diadakannya. Demikian juga kepada sesiapa yang mengadakan sesuatu yang buruk dia akan dibalas dengan dosa dan dosanya bergantung pada perkara terbabit.”
Oleh itu, katanya, seseorang tidak sepatutnya menghukumkan kenyataan umum dalam hadis lain yang mengatakan semua perkara baru (bidaah) adalah sesat.
“Jika sambutan ini membawa kebaikan kepada umat Islam, ia sepatutnya dianggap benda baru yang baik,” katanya.
« Hide it
Share This
No Comments »
Oleh ZUARIDA MOHYIN
Tahun baru Masihi yang baru sahaja berlalu disambut dengan begitu meriah, persembahan konsert diadakan di sana sini sebelum disusuli percikan bunga api apabila jam tepat 12 malam pada 31 Disember lalu.
Suasana sebegini seolah-olah menunjukkan bahawa tidak akan sah sambutan tahun baru tanpa penganjuran dua acara hiburan ini.

Hakikatnya, itulah suasananya acap kali sambutan Tahun Baru Masihi. Bagaimana pula dengan sambutan Tahun Baru Islam iaitu 1 Muharam yang diraikan hari ini?
Paling biasa dilakukan ialah membacakan doa akhir tahun dan doa awal tahun sehari sebelumnya. Malah sesuatu yang tidak pelik dan menyedihkan boleh berlaku, apabila ada di kalangan umat Islam kita yang hanya menyedari ketibaan bulan ini yang dikenali juga sebagai Maal Hijrah hanya kerana ia adalah hari cuti umum.
Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamed berkata, seharusnya, peristiwa hijrah yang diambil sempena permulaan Tahun Baru Islam ini dikenang oleh umat Islam setiap tahun.
Apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharam, pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam perlu dihayati.
“Ketulenan iman para sahabat itulah yang perlu dipelajari serta dijadikan penghayatan untuk memastikan kesuburan iman. Yang pasti, pengajaran yang paling besar dari peristiwa hijrah ini ialah kekuatan iman yang perlu dijadikan benteng dalam kehidupan seorang Muslim,†katanya kepada Mega.
Menurut Zahazan, kita tentu tertanya-tanya apakah rahsia kejelasan matlamat dan kesungguhan generasi al-Quran yang unik ini?
Jawapannya terkandung di dalam buku karya seorang sasterawan Arab bertajuk, Lelaki-lelaki di sekeliling Nabi Muhammad s.a.w (Rijal haula al-Rasul s.a.w.).
“Beliau membuat kesimpulan penting tentang generasi salaf yang hebat itu dengan kata-katanya: Kelebihan yang mereka miliki selain daripada iman yang menggunung ialah himmah (tekad) yang kuat, pantang menyerah, tidak kalah dalam menghadapi kesulitan, tidak mudah puas sebelum mendapatkan yang dituju dan istiqamah,†jelas Zahazan.
Mengulas beberapa peristiwa penting dalam lipatan peristiwa hijrah yang wajar menjadi renungan kita bersama, kata Zahazan, ia dimulai dengan perancangan rapi Nabi Muhammad s.a.w. dan Abu Bakar.
Baginda yang memiliki peribadi unggul serta mendapat wahyu telah menyusun perjalanan untuk berhijrah dengan panduan wahyu dengan melalui perjalanan yang mencabar.
Kecerdikan Abu Bakar menyediakan kenderaan untuk perjalanannya dengan Rasulullah dan keprihatinannya melindungi Baginda sepanjang perjalanan juga wajar menjadi pengajaran buat umat Islam bahawa kecintaan terhadap Nabi tidak seharusnya memadai setakat ungkapan dan slogan semata-mata. Ia memerlukan pengorbanan yang sejati.
Selain itu, peristiwa terjerumusnya kuda Suraqah sewaktu memburu Nabi dan Abu Bakar juga mengandungi bukti jaminan kesinambungan dakwah Nabi dan umat Baginda walaupun diperangi musuh.
Firman-Nya:
Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (al-Saff: 8)
Sambutan hangat kepada rombongan Baginda di Madinah juga menampakkan kesungguhan golongan Ansar dan Muhajirin mentaati Baginda dalam segenap urusan dari yang kecil melibatkan makanan yang dihidangkan keluarga Abu Ayyub al-Ansariy hinggalah kepada pertelingkahan dalam urusan pemerintahan. Ini dijelaskan dalam firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 65.
Menjelaskan makna hakikat hijrah bagi mereka yang menuju Allah (salikin), kata Zahazan, apabila manusia memikirkan objektif hidup adalah untuk memenuhi sasarannya, dia sebenarnya tersasar dari misi hidupnya sebagai khalifah Allah. Pandangan sedemikian menandakan bahawa dia belum berhijrah atau dalam konteks hakiki dia masih jalan di satu tempat tanpa ada perubahan.
Syeikh Ibn Athoillah menjelaskan hakikat ini dalam Syarah Hikamnya, “Jangan kamu hijrah dari suatu keadaan kepada keadaan lain, kerana yang demikian, menyebabkan keadaan kamu seperti keldai mengisar gandum, dia terus berjalan, padahal sebenarnya ia jalan di tempat yang sama!â€
Kata Zahazan, hamba yang baik tidak boleh merasa dirinya mampu melakukan ibadah dengan kekuatan yang ada pada dirinya, tanpa menyandarkan kepada Allah. Kerana hakikatnya, seseorang itu tidak mempunyai daya dan kekuatan apa pun. Hanya Allah yang Maha Kuat dan Maha Perkasa. Puncak perasaan ibadah seorang hamba apabila sampai ke makam al-Ihsan menyebabkan dia merasai dengan yakin bahawa Allah memerhatikannya.
“Pelaksanaan ibadah yang menepati kualiti ini menyebabkan seseorang mengerjakan ibadah di atas rasa tanggungjawab kehambaan.
Ini bertepatan dengan hadis Nabi yang bermaksud:
Barang siapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa hijrahnya untuk mendapatkan dunia atau menikahi seorang wanita maka hijrahnya itu akan dinilai sesuai dengan tujuan hijrahnya. (riwayat Bukhari dan Muslim).
“Hasil perasaan murabatullah (rasa kebersamaan Allah) yang mengekorinya menuntutnya mengerjakan ibadah dalam bentuk yang paling menepati kehendak-Nya dengan panduan daripada ibadah Rasulullah dan golongan salafussoleh. Semua itu cukup menjadi panduan komprehensif untuknya dalam kehidupan,†kata Zahazan.
Lantaran itu, tambahnya, perlu usaha terus menerus untuk meningkatkan kualiti amal dan ibadah. Daripada am menjadi khusus, dari khusus menjadi khususul khusus seperti yang dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam tingkatan Mukmin yang berpuasa. Walaupun perbincangan difokuskan kepada puasa, namun ibadah yang lain juga wajar ditimbang dengan neraca yang sama.
Syarat bagi orang yang berhijrah menuju Allah ialah harus mengalihkan pandangannya daripada makhluk dan matlamat yang berkaitan dengan keduniaan kepada Allah s.w.t dan kepentingan akhiratnya.
Perlu diingat, perjalanan menuju Allah memang penuh dengan ujian dan cubaan. Maka sesiapapun harus sabar, tabah dan tawakal dalam menghadapinya. Terkadang Allah sengaja menguji hamba-Nya dengan pelbagai macam cubaan dan ujian hanya kerana Ia ingin tahu sejauhmana kesungguhan niat hamba-Nya.
Hal ini dijelaskan dalam surah al-Ankabut ayat kedua yang bermaksud:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman,†sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.
Dalam surah yang sama pada penghujungnya Allah s.w.t. berjanji dengan firman-Nya:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al-Ankabut: 69)
Menurut Zahazan, maka beruntunglah golongan yang berjaya menghadapi segala ujian sejak awal hingga akhir sebelum dikurniakan Allah buatnya hidayah, agar dia kuat menghadapi ujian dunia dengan aneka ragamnya itu.
Di samping itu, dalam berhijrah menuju Allah janganlah kita mudah tertipu. Baik oleh hebatnya duniawi dan hiasannya. Ini kerana semua itu dapat menyebabkan terhentinya perjalanan.
Jadikanlah Allah sebagai tujuan akhir daripada hijrah yang hakiki, sehingga akan memperoleh yang hakiki pula. Jadikanlah Allah sebagai puncak tujuan akhir hijrah bagi orang-orang yang rindu perjumpaan dengan-Nya, kerana Dia yang awal, Dia pula yang paling akhir. Dan bahawasanya kepada Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu). (an-Najm: 42)
« Hide it
Share This
No Comments »
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
HIJRAH bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.
Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.†(Hadis riwayat Abu Dawud)
Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi turut dilakukan nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Selepas Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah juga yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.†(Surah al-Ankabut, ayat 26)
Selain Nabi Ibrahim, Nabi Musa juga diarahkan berhijrah kerana ancaman pembunuhan terhadap baginda. Selain itu, banyak ayat al-Quran yang menerangkan peristiwa hijrah Nabi Musa ke tempat Madyan, atas cadangan seorang lelaki yang mengetahui ada pakatan bunuh terhadap Nabi Musa. Begitu juga Nabi Noh yang diperintahkan berhijrah kerana akan berlaku banjir besar.
Bagaimanapun, dalam konteks hari ini, hijrah yang disambut setiap tahun lebih kepada memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat dari Kota Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah.
Peristiwa hijrah itu menyingkap satu perjuangan yang ‘pantang menyerah atau mengaku kalah’ di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Ia juga diibaratkan satu jambatan yang menghubungkan antara dua tahap masa perjuangan Rasulullah SAW iaitu, di Makkah selama 13 tahun dan kedua, di Madinah selama 10 tahun.
Ia bermakna Rasulullah SAW berhijrah bukan untuk lari atau meninggalkan medan perjuangan, sebaliknya meneruskan perjuangan. Malah, hijrah memberikan harapan dan membayangkan keberhasilan perjuangan pada masa depan.
Justeru, hijrah adalah tonggak perjuangan sangat bermakna. Hijrah juga fajar kemenangan yang menentukan kemenangan demi kemenangan perjuangan Nabi SAW dan sahabat yang berhijrah menyahut panggilan dan keimanan.
Hijrah itu berlaku atas dorongan iman yang kuat dan suci. Tanpa iman, pasti mereka akan berasa berat untuk meninggalkan keluarga, sanak saudara, kampung halaman dan kota kelahiran. Namun, demi mempertahankan cita-cita luhur yang lahir daripada iman kepada Allah dan Rasul-Nya, ia menguatkan semangat mereka untuk berhijrah.
Mereka juga menyedari tanpa pengorbanan dan perjuangan kental, hasrat atau cita-cita murni itu pasti terkubur. Justeru, mereka bersiap sedia untuk berjihad dengan ikhlas kerana Allah. Mereka berhijrah demi memenuhi panggilan iman, mempertahan dan mencapai cita-cita murni itu.
Mereka menghadapi apa saja rintangan, tekanan dan pelbagai kesulitan dalam perjalanan jihad itu dengan penuh sabar, tabah dan hati yang teguh. Hijrah Nabi SAW dan sahabatnya bukan bererti menjadi orang yang kalah atau tersingkir. Hijrah yang penuh tentangan dan halangan itu memberi mereka peluang untuk meraih kemenangan.
Peristiwa hijrah juga memperlihatkan banyak kebijaksanaan Rasulullah SAW, bagaimana baginda mengutamakan pembinaan masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Quba’. Ia juga memperlihatkan fungsi kepentingan masjid dalam Islam. Masjid kedua yang didirikan Nabi ialah Masjid Nabawi.
Seterusnya, kebijaksanaan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin (sahabat Nabi SAW yang sama-sama berhijrah dari Makkah ke Madinah) dan kaum Ansar, yang bersedia menerima kedatangan mereka di Madinah.
Baginda juga berusaha mengadakan beberapa kesepakatan dengan golongan Yahudi dan Nasrani di Madinah untuk mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.
Melihat kepada perancangan baginda, marilah kita sama-sama mencontohi semangat hijrah yang terkandung padanya banyak hikmah dan iktibar. Antara teladan yang boleh dipelajari daripada hijrah Nabi ialah komitmen baginda memperbaiki dan membangunkan ummah, yakni membangun ummah beriman, bertakwa, bersaudara, bergotong-royong, saling membantu dan hidup dalam damai dan harmoni dengan umat agama lain.
Hijrah baginda bukan untuk kerehatan, tetapi meneruskan perjuangan dakwah, kerja keras dan berkorban demi kebaikan ummah. Inilah masanya untuk umat Islam di Malaysia menghayati roh hijrah ini untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam.
Tamadun Islam tidak dapat dibina dengan slogan indah atau retorik manis semata-mata, sebaliknya ia menuntut satu jihad, pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang jitu untuk menjulang panji Islam ke persada dunia.
Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah SAW menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu yang saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan itu akhirnya dapat disatukan.
Dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, wajar umat Islam mempamerkan semangat toleransi dan rahmah sejajar dengan Islam sebagai al-Din yang amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.
Justeru, Islam dari awal lagi menganjurkan umat Islam supaya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini. Bumi Allah adalah milik semua makhluk diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu kaum atau bangsa tertentu.
Malah, semuanya diberikan hak dan keistimewaan sama rata untuk bersama mendiami alam ini di samping memakmurkannya ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat.
Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya kerana Islam adalah al-Din yang bersifat rahmat kepada sekalian alam.
Firman Allah yang bermaksud:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.†(Surah al-Anbia, ayat 107)
« Hide it
Share This
No Comments »
|