Archive for the “Sejarah & Tamadun” Category
Oleh Lokman Ismail
PERISTIWA hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah menjadi peristiwa penting dalam kalendar Islam. Bagaimanapun, tarikh 1 Muharam yang dijadikan awal Hijrah bukan tarikh sebenar berlaku hijrah atau pergerakan Rasulullah dari Makkah ke Madinah.
Mengikut catatan sejarah, Rasulullah SAW keluar dari Makkah pada Khamis akhir Safar dan bersembunyi di Gua Thur, satu tempat terpencil di luar kota Makkah, untuk mengelak dikesan kafir Quraisy yang berusaha membunuh Baginda.
Baginda keluar dari Gua Thur, seterusnya menuju ke Madinah ialah pada awal Rabiulawal, mengikut perkiraan Masihi, peristiwa itu berlaku pada 622 Masihi, bermakna sudah 1385 tahun berlalu. Namun, mengikut kiraan Hijrah sudah mencecah 1,429 tahun.
Bilangan hari dalam setahun tahun Masihi ialah 365 atau 366 hari (Februari ada 29 hari), manakala Hijrah bilangan harinya ialah 354 hari. Justeru, kita menyambut tahun baru Hijrah awal 10 atau 11 hari setiap tahun (berdasarkan tarikh Masihi).
Contohnya, umat Islam akan menyambut sesuatu perayaan pada musim sama ialah selepas 33 tahun berlalu (satu pusingan lengkap).
Rasulullah SAW berdepan halangan besar melaksanakan hijrah, tetapi hasil perancangan teliti, ia dapat dilakukan dengan jayanya. Kafir Quraisy terpedaya dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW merancang perjalanan supaya tidak dapat dikesan, ia termasuk melakukan transit di Gua Thur.
Baginda SAW tidak menggunakan kekuatan mukjizat atau dipermudahkan dengan pertolongan di luar kekuasaan manusia. Jelas sekali cara itu memberi pengajaran besar yang wajar dicontohi kerana jika menggunakan mukjizat, sudah tentu usaha itu tidak mampu dicontohi atau diikuti orang kebanyakan kerana mukjizat hanya dikhaskan untuk Rasul.
Peristiwa hijrah dijadikan detik permulaan perkiraan Hijrah yang menjadi kalendar umat Islam. Masyarakat Arab ketika itu belum ada pengiraan tahun, walaupun sudah ada nama bulan berdasarkan kepada musim atau peristiwa.
Detik hijrah diingati sebagai garisan permulaan kepada kejayaan gemilang penyebaran dakwah Islamiah dan kerana itu kita dituntut mengulangi kegemilangannya dengan cara menghayati dan melaksanakan hijrah yang banyak tersirat pengertian di sebaliknya.
Selepas hijrah Rasulullah SAW, Islam dapat disebarkan dengan lebih mudah di Madinah berbanding di Makkah, dan bermulalah tamadun Islam yang berjaya menguasai tanah Arab dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia.
Untuk mencapai kejayaan dan mendapat sesuatu yang lebih baik memerlukan kita berhijrah ke arah itu. Perkara ini disebut Rasulullah SAW sebagai menjelaskan perihal hijrah yang dituntut dilakukan setiap umat Islam, selepas peristiwa hijrah Makkah ke Madinah.
Sahabat yang tidak sempat bersama Rasulullah SAW berhijrah berasakan satu kerugian kerana tidak mendapat pahala hijrah. Hakikat sebenar, hijrah tidak hanya perpindahan dari Makkah ke Madinah, tetapi masih banyak konsep hijrah yang perlu dilakukan.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa dilarang Allah ke atasnya.†(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ajaran Islam sentiasa mementingkan usaha menuju kebaikan dan kejayaan. Apa yang dilarang Allah bermakna ia perbuatan mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan hidup. Kita perlu berhijrah meninggalkan semua dilarang dan melakukan apa disuruh.
Justeru, berhijrah adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan. Berhijrah adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa. Sesiapa yang mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat, tidak dapat tidak mesti berhijrah setiap masa.
Kita mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah. Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah disebut dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat dari-Nya.†(Surah al-Baqarah, ayat 218)
Mencapai apa juga kejayaan memerlukan pengorbanan dan sesuatu pengorbanan tidak semestinya membuahkan kejayaan dalam tempoh masa singkat. Adakalanya pengorbanan itu perlu dilakukan berulang selepas menempuh kegagalan sebelum mencapai apa diimpikan.
Bahkan, ada usaha dan pengorbanan tidak berhasil mendapat seperti apa diharapkan di dunia ini, tetapi ia bukan sesuatu yang sia-sia selagi seseorang itu reda apa yang berlaku dan menerima ketentuan Allah.
Sesungguhnya apa juga perkara baik yang dilakukan akan mendapat pembalasan pahala. Mungkin kejayaan yang diharapkan tidak dapat dikecapi di dunia ini, balasan pahala tetap diterima di akhirat. Kegagalan ditanggung itu adalah sebahagian daripada ujian Allah.
Berusaha berubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna sudah mensia-siakan peluang hidup semalam. Peluang itu tidak akan datang lagi, kerana sudah berlalu menjadi sejarah.
Ketika masih ada peluang meneruskan kehidupan ini hendaklah direbut peluang untuk mengangkat darjat di sisi Allah. Peluang kelebihan dinikmati hendaklah digunakan sebaiknya sebelum ia berlalu atau hilang. Masa hidup di dunia ini terlalu singkat berbanding kehidupan yang kekal di akhirat.
Rasulullah SAW memberi peringatan supaya merebut kesempatan yang masih ada sebelum datang masa atau keadaan sebaliknya. Sikap bertangguh menyebabkan peluang yang ada sebelumnya akan tertutup, dan kematian adalah pengakhiran kepada semua peluang di dunia ini.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; masa muda mu sebelum datang masa tuamu, masa sihat mu sebelum datang masa sakit mu, masa kaya mu sebelum datang masa fakir mu, masa lapang mu sebelum datang masa sibuk mu dan masa hidup mu sebelum datang kematian mu.†(Hadis riwayat Tarmizi)
Hijrah membolehkan seseorang melakukan lebih banyak kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, agama dan bangsa. Allah melipatgandakan kejayaan dan keberkatan kepada mereka yang sanggup bersusah payah melakukan usaha hijrah. Semakin sukar laluan yang perlu ditempuh, lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.
Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang yang berjaya.†(Surah at-Taubah, ayat 20)
Sesiapa yang berusaha mencapai sesuatu lebih baik dalam kehidupannya sudah melakukan sebahagian daripada maksud hijrah dan mendapat pahala hijrah jika ia diniatkan untuk memperoleh keredaan Allah. Setiap usaha perlu dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niatnya. Maka sesiapa yang berhijrah semata-mata kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya diterima Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan duniawi, ia mendapat apa dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya terhenti pada apa yang diniatkannya.†(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadikan semangat sempena tahun baru hijrah ini untuk mencipta lebih banyak kebaikan dalam hidup. Dalam Islam tidak ada istilah pencen atau berhenti melakukan kebaikan selagi keupayaan dan peluang masih ada.
« Hide it
Share This
No Comments »
Bersama Tabung Haji:

TETAMU ALLAH: Umat Islam berdoa dan berwirid di Masjid Nabi, kelmarin. Madinah adalah kota suci kedua umat Islam selepas Makkah yang menjadi tumpuan jemaah haji seluruh dunia setiap tahun.
Kota suci tempat Nabi Muhammad, sahabat rangka strategi daulat agama
MADINAH al-Munawwarah adalah kota suci kedua bagi umat Islam selepas Makkah al-Mukarramah. Bumi itu menyaksikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah pada 622 Masihi. Madinah al-Munawwarah turut dikenali dengan pelbagai nama seperti Darul Hijrah, Toybah, Tobah, Al-Dar, Haramu Rasulillah dan Ma’zarul Iman. Sebelum berlaku peristiwa Hijrah, bumi itu dikenali sebagai Yathrib.
Madinah adalah ibu kota negara Islam pertama, pusat pentadbiran dan perkembangan tamadun Islam yang unggul serta tempat bermulanya penyebaran dakwah Islamiah secara lebih sistematik dan terbuka.
Di sini Baginda Rasulullah SAW dan sahabat berganding bahu merangka pelbagai strategi demi mendaulatkan agama Islam sehingga tersebar ke seluruh Semenanjung Tanah Arab. Selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW pada 632 Masihi iaitu 10 tahun selepas peristiwa Hijrah, amanah itu dipikul khalifah sehingga Islam terus tersebar ke Eropah dan Asia, seterusnya menerangi alam dari Timur hingga ke Barat.
Madinah terletak di sebelah utara Makkah. Ia berada di garisan latitud 24º – 28ºU Khatulistiwa dan garisan longitud 36º – 39ºT. Ia berada pada ketinggian 625 meter dari paras laut. Sebagai sebuah oasis yang subur, Madinah dikelilingi Jabal Thur dan Jabal Uhud di Utara, Jabal ‘Iyr di selatan, Harrah Waqim al-Sharqiyyah di timur dan Harrah Wabrah al-Gharbiyyah di barat. Manakala di bahagian barat lautnya, ia dilingkungi oleh Jabal Sila’.
Panjang bumi Madinah diukur dari utara hingga ke selatan adalah sejauh 16 kilometer. Jarak dari Madinah ke Makkah melalui lebuh raya (Tariq al-Hijrah) adalah sejauh 425 kilometer, manakala jaraknya dari Jeddah adalah sejauh 400 kilometer.
Zulhulaifah (Bir Ali) iaitu Miqat Makani bagi penduduk Madinah pula terletak kira-kira 10 kilometer dari bumi Rasulullah SAW ini. Di Madinah terdapat tiga Wadi ‘Aqiq dengan keluasan kira-kira 50 kilometer persegi. Jumlah penduduk tetap Madinah kini melebihi 300,000 orang.
Bumi penuh berkat itu awalnya dipanggil Yathrib bersempena nama orang pertama menjejak kaki di sana iaitu Yathrib ibn ‘Ubayl ibn ‘Iwadh. Beliau keturunan Nabi Nuh daripada anaknya Sam ibn Nuh. Selepas itu, ‘Amalek Bani ‘Imlak membuka penempatan dan ladang serta kebun sehingga bumi Yathrib terkenal dengan hasil pertanian terutama buah tamar.
Daripada sebuah penempatan kecil, Yathrib berkembang menjadi sebuah kota yang didiami dua bangsa utama iaitu Yahudi dan Arab. Bangsa Yahudi adalah penduduk majoriti Yathrib dan pemegang kuasa ekonominya terdiri daripada tiga puak iaitu Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Qurayzah. Manakala bangsa Arab pula terdiri daripada Qabilah Aus dan Qabilah Khazraj dari Bani Qaylah.
Kehidupan mereka sering dalam pertelagahan dan peperangan sehinggalah peristiwa Hijrah Rasulullah SAW apabila keamanan dapat dicapai hasil proses persaudaraan dan ukhuwah sesama umat Islam dan termeterainya perjanjian antara Islam dan Yahudi seperti tercatat dalam mithaq (piagam) Madinah. Nama Yathrib juga diubah Baginda Rasulullah SAW kepada Madinah.
Madinah adalah tempat tinggal Baginda Rasulullah SAW sehingga Baginda wafat dan mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri. Bersesuaian status Tanah Haram seperti diisytiharkan Rasulullah SAW, Madinah mempunyai beberapa kelebihan dan larangannya.
Antara kelebihan terdapat di Madinah ialah:
- Solat berjemaah yang dilaksanakan dalam Masjid Nabawi mendapat ganjaran pahala 1,000 kali ganda.
- Rasulullah SAW mendoakan keberkatan dalam urusan kehidupan penduduk Madinah.
- Rasulullah SAW menjanjikan syafaat dan kesaksian Baginda di akhirat kelak bagi mereka yang sabar dengan kesusahan dan kesulitan dihadapi di Madinah.
- Rasulullah SAW akan memberikan syafaat buat mereka yang meninggal dunia di Madinah.
- Mereka yang masuk dalam Masjid Nabawi untuk belajar atau mengajar sesuatu ilmu (kebaikan) adalah umpama mujahid fi sabilillah (pejuang di jalan Allah).
- Bumi Madinah terpelihara daripada fitnah Dajal dan ancaman wabak taun.
- Madinah adalah ma’razul iman iaitu tapak dan tempat perlindungan iman ketika terjadi zaman fitnah.
- Terdapat pelbagai kesan Sirah Nabawiah dan sejarah sahabat yang boleh dijadikan sebagai iktibar serta mekanisme peningkatan iman dan takwa.
Larangan Tanah Haram Madinah pula:
- Orang bukan Islam ditegah daripada berada di bumi Madinah atau melalui jalannya.
- Haram membunuh atau memburu binatang buruan.
- Haram mencabut, mematah atau membinasakan pokok dan pohon yang hidup.
- Haram mengeluarkan batu, tanah, pasir termasuk yang sudah diubah fizikalnya.
- Tidak boleh berniat untuk melakukan kejahatan kepada penduduk Madinah.
- Dilarang mengerjakan solat sunat mutlak pada waktu tahrim (waktu yang dilarang melakukan solat sunat).
Demikianlah beberapa kelebihan dan larangan di bumi Madinah yang perlu diketahui jemaah haji apabila berpeluang menjejakkan kaki dan berziarah ke Madinah al-Munawwarah. Semoga kedatangan kita disambut dengan penuh keberkatan dan rahmat daripada-Nya.
Disediakan oleh Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji
« Hide it
Share This
No Comments »
Oleh Mohd Shukri Hanapi
ALLAH SWT memuliakan Ramadan melebihi bulan lain dengan memilih satu malam penuh keberkatan daripada malam Ramadan sebagai masa paling sesuai untuk diturunkan kitab suci al-Quran.
Selain al-Quran, Allah menurunkan beberapa kitab suci lain pada bulan mulia ini seperti suhuf Nabi Ibrahim diturunkan pada permulaan Ramadan, Taurat hari keenam dan Injil pada hari ketiga Ramadan.
Berdasarkan peristiwa penurunan kitab suci (al-Samawi) pada bulan Ramadan, jelaslah betapa agung dan mulianya bulan ini.
Sesungguhnya, penurunan (nuzul) al-Quran adalah peristiwa besar dan agung. Ia cukup hebat jika dibandingkan dengan peristiwa lain pernah berlaku di alam ini.
Justeru, setiap umat Islam seharusnya mengingati dan merenungi peristiwa nuzul al-Quran ini kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah.
Selain itu, ia adalah asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad serta keyakinan bahawa Islam itu adalah agama benar, malah satu-satunya agama diredai Allah.
Sebelum al-Quran diturunkan manusia hidup dalam kesesatan bertuhankan hawa nafsu dan menyekutukan Allah. Selepas al-Quran diturunkan, kesesatan disinari kebenaran dan hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada hidup bertuhankan Allah.
Dalam erti kata lain, penurunan al-Quran membawa rahmat perubahan kepada kehidupan dan ketamadunan manusia.
Firman Allah bermaksud,
“Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil).†(Surah al-Baqarah, ayat 185)
Berdasarkan ayat di atas, wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara langsung mengangkat martabat Baginda sebagai rasul Allah dan menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Petunjuk (al-Quran) dibawa Baginda SAW ini membawa perubahan besar kepada kehidupan umat manusia, khususnya masyarakat Arab jahiliah dan perubahan itu mencakupi pelbagai bidang dan aspek:
- Aspek keagamaan. Bangsa Arab Jahiliah menyembah patung dan batu berhala serta menyembelih binatang ternakan di hadapan patung itu sebagai korban untuk memuliakannya.
Apabila datang agama Islam (al-Quran) membawa petunjuk dan pedoman daripada Allah, maka kehidupan jahiliah terus lenyap kerana al-Quran mengatur kehidupan seperti percaya kepada keesaan Allah, hari akhirat, syurga, neraka, mengenai ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Jelaslah, ajaran al-Quran melarang keras amalan penyembahan patung, berhala, matahari, bulan atau makhluk lain selain Allah. Sebaliknya mereka diajar bahawa yang berhak disembah hanyalah Allah.
- Aspek kemasyarakatan. Bangsa Arab sebelum Islam tidak berdisiplin dan tidak taat kepada pemimpin tetapi diturunkan al-Quran, keadaan itu berubah. Islam menyedarkan mereka erti dan pentingnya disiplin serta ketaatan dalam kehidupan.
Bagi membentuk sebuah masyarakat yang aman dan harmoni, al-Quran memberi petunjuk dan garis pemisah mengenai kriteria antara akhlak terpuji dengan akhlak tercela.
Selain itu banyak lagi dasar umum masyarakat dibawa oleh Islam seperti hubungan antara individu dengan individu, antara individu dengan masyarakat, antara suatu kelompok masyarakat dengan kelompok lainnya, undang-undang kekeluargaan sehinggalah kepada soal kenegaraan.
Islamlah juga yang mula mengangkat kedudukan kaum wanita dengan memberikan hak kepada mereka sesuai dengan kewanitaannya. Di samping itu, Islam menegakkan pula ajaran persamaan antara manusia dan membanteras perhambaan.
- Aspek siasah (politik). Bangsa Arab sebelum Islam berada dalam keadaan berpecah-belah, ‘asabiyyah (kesukuan), berpuak dan kabilah yang sempit. Yang wujud ketika itu kaum Arab, Parsi, Tauran dan kaum lain.
Keadaan itu berubah apabila turunnya al-Quran membawa ajaran sebenar. Semua umat manusia diseru supaya meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disaran supaya bersatu membentuk satu ummah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.†(Surah al-Anbiya’, ayat 92).
Begitulah Islam berjaya mengatasi sikap taksub bangsa dan warna kulit, malah menyeru semua bangsa supaya bersatu menjadi satu ummah bersaudara dan tidak lagi mengenal kelebihan kecuali berdasarkan kekuatan iman serta takwa kepada Allah.
- Aspek ekonomi. Al-Quran memberikan batasan pemilikan bagi individu, masyarakat dan negara. Telah ditentukan perkara yang boleh dimiliki oleh individu dan dilarang.
Peraturan yang terdapat dalam al-Quran memberikan petunjuk pelaksanaan mengenai jaminan pemenuhan keperluan asas setiap individu menurut kadar dan dalam keadaan seadil-adilnya.
Berdasarkan penjelasan di atas, penurunan al-Quran adalah peristiwa agung dan terbesar pada Ramadan. Penurunannya telah membawa perubahan besar kepada alam ini dan berperanan mengubah kehidupan umat manusia pada masa lampau, kini dan hadapan.
Jelaslah, melalui peristiwa besar dan agung ini, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan teratur dengan berpandukan petunjuk serta pedoman yang diwahyukan Allah.
« Hide it
Share This
No Comments »
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Jumaat lalu kita menyambut ulang-tahun kemerdekaan negara yang ke-50. Kemerdekaan yang dikecapi daripada tangan penjajah pastilah cukup besar maknanya kepada seluruh warga Malaysia. Rakyat yang pernah dibelenggu dan dipaksa bertuankan penjajah seperti Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris selama lebih 450 tahun di tanah air sendiri kini sudah mampu mengukir senyuman megah dan berbangga kerana bebas sebagai bangsa merdeka dan berdaulat.
Namun dalam kemeriahan dan keriuhan sorak-sorai sambutan ulang-tahun ke-50 negara ini, amat wajar untuk setiap warga berdaulat turut melakukan muhasabah bagi menilai secara objektif dan penuh keinsafan akan makna kemerdekaan yang hakiki.
Apakah selepas 50 tahun kita merdeka, bangsa Malaysia benar-benar terbebas daripada segala bentuk kongkongan dan belenggu? Apakah sudah terbenam jiwa hamba dan sebaliknya mekar berkembang jiwa merdeka dalam setiap diri warga Malaysia yang berdaulat? Apakah kemerdekaan telah berjaya membebaskan perasaan dan pemikiran kita daripada sebarang bentuk pemujaan kepada penjajah yang telah lama meninggalkan kita?
Persoalan-persoalan inilah yang perlu diamati dan ditelusuri secara ikhlas dan terbuka setiap kali kita menyambut hari kemerdekaan negara. Malah kemerdekaan kita yang melewati hampir separuh abad bersama timbunan khazanahnya perlu ditelaah oleh generasi pelanjut dan pewaris perjuangan.
Semangat untuk sentiasa merenung sejenak ke belakang sambil memperhalusi dan mengoreksi keaiban masa silam agar perencanaan lebih tersusun dan kesilapan tidak diulang adalah satu manifestasi semangat muhasabah yang menjadi asas perjuangan Islam sebagaimana yang diungkapkan oleh Allah:
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran bukanlah cerita yang direka-reka, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum-kaum yang beriman. (Yusuf: 111).
Jika dinilai secara objektif, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah masyarakat kini masih terbudaya dengan nilai yang ditinggalkan penjajah. Malah rakyat khususnya generasi pasca kemerdekaan seolah-olah masih terbelenggu dengan mentaliti jiwa hamba hingga kadangkala begitu mendewakan bekas tuannya yang secara zahir sudah lama meninggalkan daerah penjajahan mereka.
Pemikiran dan perasaaan sebahagian masyarakat seringkali termomok dengan kehebatan dan keunggulan budaya dan nilai bekas tuannya hingga menjadi kayu ukur utama dalam membuat penilaian dan perbandingan. Penyimpangan orientasi pemikiran sebeginilah yang akhirnya memudahkan penjajahan bentuk baru yang cuba merubah cara hidup dan paradigma pemikiran rakyat secara disedari atau tidak.
Apa yang lebih membimbangkan generasi muda selaku pewaris kemerdekaan negara adalah golongan yang paling terdedah kepada pelbagai bentuk penjajahan budaya kini. Lihat saja anak muda kini dengan pelbagai gaya dan watak yang menggunakan pelbagai istilah seperti Generation X, Yuppies, Punk, Hip-Hop yang berteraskan nilai dan budaya hedonistik Barat bersemboyankan keseronokan rakus tanpa batasan mahupun ikatan agama dan adat resam.
Tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini kedengaran pelbagai gejala keruntuhan moral yang semakin serius dikalangan anak-anak muda seperti gejala seks bebas, anak tidak lagi menghormati orang tua, pelajar mengugut guru, malah remaja sanggup melakukan apa sahaja sehingga ke tahap membunuh dan mencederakan sesiapa sahaja yang didendami demi memuaskan gelojak nafsu yang tidak terbimbing dengan prinsip tauhid dan nilai-nilai keinsanan.
Jawapan dan jalan keluar kepada segala kemelut dan krisis nilai yang begitu gawat kini hanya mampu ditangani jika kita kembali kepada nilai teras yang mendasari umat Melayu sebelum penjajahan. Ternyata Islamlah yang telah menerasi keunggulan dan kehebatan umat Melayu suatu ketika. Proses pengIslaman pada abad 13-16 Masihi yang meratai seluruh dunia Melayu telah melahirkan umat Melayu-Islam yang hebat dan berjiwa merdeka hingga terbentuknya tamadun Melayu seperti Tamadun Melayu Melaka dan Tamadun Acheh yang terkenal seantero dunia.
Justeru, bagi mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi 50 tahun ini, usaha bersepadu harus digiatkan untuk membangunkan generasi pewaris yang terbangun di atas dinamika ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental, sekaligus membentuk budaya hidup dan jatidiri bangsa yang dinamik.
Orientasi keagamaan dan keilmuan yang dinamik akan menjadikan mereka bukan sahaja generasi pewaris negara yang mempunyai keupayaan intelektual dan ketajaman analisis namun akal budi sentiasa terikat dengan norma tauhid dan nilai keinsanan sejati.
Sebab itulah kemerdekaan hakiki adalah kemerdekaan yang membebaskan jiwa dan pemikiran daripada belenggu penjajahan. Kemerdekaan sejati adalah kemerdekaan yang menjana generasi pewaris yang mempunyai kekuatan daya saing, daya juang dan daya saring yang tinggi hingga mampu menjadi umat berjiwa besar untuk membina tamadun bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.
« Hide it
Share This
1 Comment »
Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya
RISALAH Islam lahir membawa idealisme kebebasan menyeru kepada kemerdekaan manusia. Hal ini jelas tersirat dalam ucapan utusan Duta Islam yang membawa watikah kepada Panglima Maharaja Parsi, Rustum.
Islam menyeru umatnya berlaku adil sesama manusia terhadap musuh. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah memanggil anak Gabenornya, Amru bin al-’Ash ketika itu menjadi Gabenor di Mesir, selepas seorang pemuda Mesir mengadukan perihal kezaliman putera ‘Amru yang memukulnya dengan sebatang kayu.
Pemuda itu mengadu: “Aku mengadakan perlumbaan dengan anak ‘Amru dan aku memenangi perlumbaan itu tetapi dia memukulku sambil berkata: â€Aku adalah anak orang yang paling mulia.â€Akhirnya Khalifah menyuruh pemuda Qibti bangsa Mesir itu membalas pukulan sebagai qisas kepada anak gabenor ‘Amru bin al-’Ash itu.
Umar mengherdik anak itu dengan berkata: â€Pukullah anak orang yang paling mulia ini. Sejak bila kalian memperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan dalam keadaan merdeka?†(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Pembohongan sejarah ditulis orientalis berusaha merosakkan imej Islam dengan pandangan bahawa Islam ditegakkan dengan mata pedang. Padahal peperangan berlaku itu adalah semata-mata gerakan defensif selepas kegagalan dakwah serta ancaman musuhnya.
Sudah menjadi Sunnatullah, bangsa pernah lahir di atas bumi ini silih berganti hilang dan timbul. Sesama manusia saling menumpahkan darah untuk mendapatkan kekuasaan dan kekayaan.
Alangkah buruknya pandangan yang mengheret Islam bersama dalam kezaliman dan kebuasan perbuatan sesetengah penganut yang tidak memahami ajarannya yang suci.
Jangan babitkan golongan radikal Muslim dengan Islam. Mereka mempunyai kepentingan peribadi menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita dengan mengorbankan agama, bangsa dan negara sendiri.
Umat Islam sepatutnya menyedari bahaya mengancam mereka. Sampai bila penjajahan tetap ada. Peperangan sengaja dicetuskan atas kepentingan ekonomi. Dengan konspirasi penjenayah perang menguasai dunia saat ini, ramai mangsa terkorban, banyak negara porak-peranda, politik dikuasai anasir jahat hingga memecah perpaduan.
Sesungguhnya memerdekakan bangsa dalam konteks membina sebuah kedaulatan bukanlah mudah, apatah lagi menanam patriotisme yang selari dengan ajaran Islam di hati generasi muda. Selagi mereka tidak menjadikan agama dan bangsanya sebagai tanggungjawab bersama, mereka akan mudah dijajah.
Kesedaran untuk membela agama dan bangsa ini sepatutnya berakar sebagai satu akidah, kerana Rasulullah menyatakan dalam hadisnya yang bermaksud:
“Seseorang datang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah insan yang paling utama? Sabda Rasulullah SAW: Orang mukmin yang berjuang dengan harta dan jiwanya fisabilillah.†(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Suatu ketika dua sahabat alim, warak lagi zuhud berpisah disebabkan pandangan berbeza mengenai tanggungjawab berjihad. Yang satu mempersiapkan bekalannya menuju medan perang bergabung bersama tentera kaum muslimin di sempadan negara.
Sahabatnya pula memilih untuk menyendiri di tempat ibadatnya, memperbanyak munajat kepada Allah. Suatu hari dia menerima sepucuk surat daripada sahabatnya yang menegur keutamaan yang silap dan sikapnya mementingkan ibadat peribadi, sedangkan mempertahankan maruah dan kemerdekaan negara adalah lebih besar dan utama.
Akibat rasa bersalah, dia pun turut kembali ke medan jihad meninggalkan tempat ibadatnya bagi mendahulukan kepentingan jihad untuk negara.
Bagaimana Islam akan menang jika umatnya masih memiliki kepentingan peribadi yang merugikan agama, bangsa dan negara. Dr Yusuf Al-Qardawi menyenaraikan sebab jatuhnya suatu bangsa dalam kitabnya Al-Islam Hadharatul Ghad, antaranya; Sikap menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, mengikuti perintah penguasa yang zalim, melakukan kezaliman terhadap orang miskin, melakukan jenayah kotor dan keji seperti kaum Nabi Luth dan kemungkaran dibuat secara terang-terangan dan sedikitnya usaha untuk menghentikannya.
Sejarah memiliki mesej tersendiri. Supaya anak bangsa ini tidak mengulangi kesilapan pernah dilakukan bangsa yang pernah bertakhta di dunia.
- Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak.
« Hide it
Share This
No Comments »
|