Archive for the “Tokoh” Category

Oleh Umi Kalthum Ngah

PEMIMPIN perlu melaksanakan amanah dengan baik kerana di akhirat kelak Allah akan memintanya mempertanggungjawabkan kepemimpinan yang dijalankan ketika hidupnya di dunia.

Pesanan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepemimpinan kamu”.

Peringatan Rasulullah SAW itu perlu dijadikan peringatan buat kita semua.

Apa yang ingin dikemukakan ialah jawatan pemimpin khusus dalam institusi formal atau organisasi bagi meneliti sejauh mana keberkesanan kepemimpinan kita itu.

Dalam sebuah organisasi atau institusi formal, jawatan pemimpin dikurniakan kepada seseorang apabila dia layak bagi memikulnya. Tidak pantas bagi seseorang itu mahu terus memegang atau meminta kerusi kepemimpinan.

Rasulullah SAW bersabda kepada Abdurrahman bin Samurah yang bermaksud:

“Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika kepemimpinan diberikan kepada kamu kerana permintaan, maka kamu akan memikul tanggungjawab sendirian dan jika kepemimpinan itu diberikan kepada kamu bukan kerana permintaan, maka kamu akan dibantu untuk menanggungnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara yang perlu kita ingat adalah seseorang itu tidak dilahirkan sebagai pemimpin. Malah sifat menjadi pemimpin itu perlu dibentuk dan untuk menjadi pemimpin, seseorang harus melalui pelbagai proses dan pelbagai bentuk latihan.

Proses pencanaian yang harus dilalui kadangkala memakan masa cukup lama, jalannya pula kadangkala penuh berliku. Hanya mereka yang sanggup melalui proses perit itu akan menjelma menjadi pemimpin yang disegani dan dihormati.

Comments No Comments »

Oleh Ibrahim Abdullah

SEORANG pejuang menegakkan kalimah tauhid, Sayyid Qutb, kembali ke rahmatullah 41 tahun lalu. Tokoh dilahirkan pada 9 Oktober itu adalah penulis kitab Fi Zilal Al-Quran, Ma’alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din.

Tiga buku itu diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan Malaysia, serta mendapat sambutan hebat di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Memang ada perbahasan mengenai metod Sayyid Qutb dalam tulisan yang tegas menyatakan kesesatan masyarakat moden berkaitan penghakiman yang tidak merujuk kepada Allah. Bagaimanapun sejarah Sayyid Qutb perlu diulas sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang tokoh yang rela mengorbankan diri untuk membela tauhid yang diyakini kebenarannya.

Sayyid Qutb gugur di tiang gantungan pada 20 Ogos 1966. Ia dikenali sebagai tokoh yang berjuang di jalan Allah, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah. Seorang mukmin yang begitu kuat keyakinannya. Ia persembahkan nyawa yang murah kepada keyakinan dan akidahnya.

Beliau melalui bertahun usia terakhir di penjara. Ia tuangkan jiwa dan fikiran yang luar biasa dalam lembar tulisan tangannya dengan untaian kata penuh makna dan bernilai sastera. Hampir semua orang yang membacanya, akan rasa getar hati nurani dan fikirannya.

Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama. Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia tujuh tahun, ia mula menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.

Awal dekad 1940-an, satu era baru bermula dalam kehidupan Sayyid Qutb. Dalam karya pada 1939, beliau mulai menulis beberapa siri At-Taswir Fanni Fi Quran. Tulisan ini mengupas indahnya seni yang ada dalam ayat al-Quran.

Comments 1 Comment »

*A tribute, whom to me, an inspiration.

IQRA’ :

seteguhtekad.JPGJudul: Seteguh Tekad
Penulis: Prof Dr Sidek Baba
Penerbit: Alaf 21 Sendirian Berhad
Pengulas: Hasliza Hassan

SETEGUH Tekad yang menyelami kehidupan anak kelahiran Melaka, Prof Dr Sidek Baba mendaki tangga kejayaan adalah rentetan pengalaman kehidupan yang menekankan aspek motivasi dan merangsang jiwa supaya sentiasa bersemangat kental.

Ditulis sendiri yang empunya diri, buku autobiografi ini memberi peluang pembaca berkongsi pengalaman yang dilalui tokoh pendidik berjiwa besar, Sidek yang dilahirkan dalam serba kekurangan tetapi kini berjaya mencapai kejayaan cemerlang.

Inilah bukti katanya, bahawa tanggapan kemiskinan boleh menyebabkan kegagalan dalam hidup kerana kekurangan pada beliau ialah pendorong kuat yang akhirnya menghasilkan lonjakan perubahan ke arah kejayaan.

Pada mulanya, jika melihat kulit buku yang menampilkan penulis berpakaian segak dengan basikal tua, pasti terlintas sekejap tanggapan seakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ingin menayang diri.

Namun, apabila dibelek sehelai demi helaian buku setebal 319 halaman itu dan menghayati kisah pahit manis yang dilalui, timbul pula kesedaran yang hidup ini tidak lepas daripada dugaan tetapi bagaimana kita menghadapinya.

Justeru, pengalaman Sidek mengayuh basikal sejauh 45 batu dari rumahnya ke sekolah yang terletak di Bandar Melaka wajar menginsafkan kerana kayuhan demi menuntut ilmu itu bersama tekad teguh akhirnya melahirkan insan yang menjadi contoh umat Islam hari ini.

Satu faktor penting turut ditekankan dalam buku ini ialah pengalaman yang dilalui selalunya mendekatkan manusia dengan Penciptanya, merenung nasib diri, memahami erti kehidupan serta mengenal kebenaran.

Ciri ini tergambar daripada watak bapanya yang sentiasa mengadu hal kepada Allah di samping watak lain yang secara langsung dan tidak langsung membentuk jiwa beliau hingga menjadi manusia yang cintakan jiwa seorang pendakwah.

Sesuai untuk semua lapisan khalayak pembaca, buku Seteguh Tekad mampu menyuntik semangat di hati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, menyedarkan mereka yang berputus asa bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan dengan syarat kita bersedia merubah nasib diri.

Begitu juga kepada bapa yang mencari kekurangan dalam teknik mendidik serta membimbing anak pasti teruja dengan kemampuan serta pendekatan yang digunakan Sidek hingga kesemua anaknya berjaya dalam bidang masing-masing.

Yang pasti, setelah menutup helaian akhir autobiografi ini, pembaca akan terdorong untuk membuat perubahan diri dan semoga tekad mereka juga seteguh tekad seorang pendidik bertubuh kecil tetapi berjiwa besar ini.

Biodata :

Comments 3 Comments »

Hadith :

Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”
 
(Riwayat Bukhari)

Huraian :

  • Rasulullah s.a.w memperisterikan Saidatina Khadijah bukan kerana status sosialnya yang yang tinggi yang terkenal sebagai seorang yang hartawan lagi dermawan tetapi adalah kerana sifat Saidatina Khadijah itu sendiri yang mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia.
  • Saidatina Khadijah adalah seorang yang berfikiran tajam, sabar dan berpandangan jauh. Lebih daripada itu, Khadijah adalah seorang isteri yang benar-benar memahami keadaan suaminya. Ini terbukti ketika mana pertama kali baginda menerima wahyu dilantik menjadi utusan Allah, Khadijahlah yang menenangkan hati baginda dan kemudian mempertemukan baginda dengan sepupunya Waraqah bin Naufal yang mengatakan bahawa baginda adalah seorang Nabi.
  • Khadijah sebenarnya adalah seorang isteri yang mampu menyuntik semangat seorang suami dalam menyempurnakan amanah kepada Allah bahkan beliaulah orang yang mula-mula memeluk Islam sebelum nabi berdakwah di kalangan para sahabat baginda yang lain.
  • Dalam diri Khadijah ditemui teladan wanita terbaik; wanita yang subur dengan kasih-sayang yang juga telah melahirkan anak-anak baginda iaitu: al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayya, Umm Kulthum dan Fatimah.
  • Dalam perjuangan baginda menegakkan agama Islam, Khadijahlah orang yang paling banyak berkorban, harta dan tenaga dalam mempertahankan baginda dari disakiti oleh kaum Quraisy.
  • Begitu banyak peranan yang telah dimainkan oleh Khadijah bahkan boleh dikatakan bahawa beliau telah menjadi tulang belakang dalam kegiatan dakwah Rasulullah. Dan berpadanan dengan jasa dan pengorbanannya itu Allah S.W.T telah mengurniakannya sebuah rumah di dalam tempat yang paling mulia iaitu syurga.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Comments 1 Comment »

Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus (UKM)

SALAHUDDIN al-Ayubi dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan 1138 Masihi di Kota Tarkit iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, terletak di antara Mosul dan Baghdad. Beliau adalah anak gabenor.

Ayahnya, Najmuddin Ayub bin Shadhi adalah anak saudara kepada Sultan Nurudin Zenggi, berketurunan Kurdistan yang berasal dari Azerbaijan. Selain sebagai panglima perang, beliau adalah pendakwah, mujahid dan tokoh pemimpin Islam yang bukan daripada kalangan bangsa Arab.

Ketika hayatnya, beliau lebih banyak berada di khemah perang daripada duduk di istana bersama keluarga. Siapa saja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila hendak memulakan jihad melawan tentera salib, beliau akan menumpukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tentera.

Di medan perang, beliau bagaikan seorang ibu garang kehilangan anak tunggal. Beliau bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah.

Beliau juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinangan mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika berusia 17 tahun, Salahuddin al-Ayubi mula berkhidmat dengan Nur al-Din di Damsyik. Beliau adalah panglima tentera, pemimpin dan pentadbir negara yang sangat berbakat dan sangat popular ketika zaman perang salib. Beliau membabitkan diri dalam peperangan salib di kawasan Mesir, Palestin dan Syria.

Beliau mula terkenal pada 559 Hijrah (1164 Masihi) apabila menyertai ekspedisi bersama-sama Shirkuh yang dihantar oleh Nur al-Din bagi menentang tentera Salib di Mesir. Beliau berjaya mengusir Amaury dari Mesir pada 1 Rabiulakhir 564 Hijrah (Januari 1969 Masihi). Selepas Shirkuh meninggal dunia, tempatnya diganti oleh Salahuddin al-Ayubi. Pada masa sama, Nur al-Din melantik beliau sebagai panglima angkatan tentera Syria.

Comments 30 Comments »

Close
E-mail It