HMetro-Ad-Din
JIKA pada Ramadan, orang mengejar waktu ke masjid, ke pasar Ramadan dan bazar untuk membeli persiapan raya, tetapi pada Syawal keadaannya kelihatan agak berbeza kerana orang berkejar ke hulu hilir dari sebuah ke sebuah rumah.
Amalan mengunjungi antara satu sama lain di kalangan umat Islam sangat subur pada Syawal yang penuh kerahmatan ini, sekali gus menunjukkan ikatan ukhuwah di kalangan mereka sangat utuh, walaupun ada sesetengah berbeza dari segi kaum, mazhab dan ideologi politik.
Islam yang memberikan penekanan terhadap jalinan persaudaraan, tidak menghalang amalan berkunjung di antara satu sama lain, selagi mana ia membawa kebaikan.
Rasulullah s.a.w ada menegaskan dalam satu hadis dari Abu Hurairah r.a katanya; sabda Rasulullah s.a.w (bermaksud):
“Sesiapa yang beriman kepada Allah
dan Hari Akhirat janganlah dia menyakiti jirannya dan sesiapa yang beriman kepada Allah
dan Hari Akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan sesiapa yang beriman kepada Allah
dan Hari Akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari)
Walaupun amalan berkunjungan ini kelihatan ringkas, tetapi ia memberikan manfaat besar dalam konteks pemupukan perpaduan umat dan keharmonian masyarakat.
Melalui amalan ini mereka yang jauh di mata akan menjadi dekat di hati, yang renggang perhubungan akan menjadi akrab, manakala yang bersengketa menjadi aman damai, malah dalam sesetengah urusan, yang susah menjadi mudah disebabkan sikap bantu membantu, terhasil daripada amalan berkunjung.
Amalan ini juga menyumbang kepada keelokan budi pekerti seseorang, seperti memupuk sikap prihatin kepada nasib orang lain, suka membantu dan bekerjasama dengan yang lain, bukannya bersikap keakuan yang mementingkan kehidupan diri sendiri sahaja.
Disebabkan amalan ini membawa manfaat yang besar sewajarnya ia dihidupkan selalu, pada sepanjang tahun, terutama pada hari cuti, hujung minggu dan sewaktu ada kelapangan, bukannya terbatas pada waktu dan musim tertentu, seperti pada hari raya Aidilfitri.
Sebenarnya tabiat berkunjung serta rasa suka untuk berkunjung dan dikunjungi, saling mengenali secara lebih rapat dan mengetahui sedikit sebanyak keadaan masing-masing adalah tabiat semula jadi manusia.
Maknanya, jika tidak disuruh dan diasuh sekalipun, manusia dengan tabiat sendiri akan mencari yang lain untuk ditemui, disapa, dijadikan kawan, kemudian berpakat dalam kumpulan yang lebih besar, sehingga terbentuk suatu kaum atau masyarakat.
Tidak ada yang mahu hidup seorang diri, tidak mahu ke mana-mana, tidak memerlukan pertolongan orang dan dapat melakukan semua perkara dengan sendiri.
Firman Allah
bermaksud:
“Wahai umat manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa- bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan, semulia-mulia kamu di sisi Allah
ialah orang paling takwa di antara kamu.” (al-Hujurat:13)
Amalan kunjung-mengunjung tidak membezakan antara miskin dan golongan berada kerana aspek material tidaklah diperkirakan di sisi Allah
, sebaliknya yang menjadi pengukur ialah tahap ketakwaan sebagaimana disebut di dalam petikan di atas.
Justeru, janganlah si kaya berasa ralat untuk menerima tamu di kalangan yang miskin, kerana bukan harta dan pangkat menjadi ukuran, sebaliknya yang penting ketulusan hati kerana Allah
untuk merapatkan perhubungan sesama insan.
Cuma bagi si kaya, mereka berkemampuan menghulurkan sumbangan lebih banyak dan sudah tentu pahalanya juga berganda, malah manfaat diperolehi tetamunya berlebihan.
Jika begitu, tidak mustahil si miskin tadi memanjatkan kesyukuran dan memohon kesejahteraan kepada si kaya, sekali gus mewujudkan pertautan di antara kedua-dua pihak, merintis hidup yang sentosa.
Islam menggalakkan umatnya berkongsi kegembiraan, saling memberikan pertolongan, mendoakan kebaikan, mengasihani dan memberikan ucapan yang baik.
Ciri sebegini dapat diperhatikan melalui ibadat umat Islam. Misalnya dalam solat berjemaah, tergambar semangat perpaduan kerana semuanya berkumpul di satu tempat, patuh mengikut apa yang diucap dan dilakukan seorang imam.
Sebaik selesai solat, semuanya mengaminkan doa keampunan dan kesejahteraan dibacakan imam, kemudian berjabat tangan dan mengucapkan salam sejahtera, sebelum masing-masing beredar.
Dalam ibadat haji begitu juga. Umat Islam dari seluruh dunia, dengan pelbagai suku bangsa dan dialek pertuturan dapat berkumpul untuk beribadat di satu tempat dalam suasana yang penuh kerendahan hati, kasih sayang dan ketakwaan.

0 responses so far ↓
There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.
Leave a Comment