Mutiara Hati*

Perjalanan kerohanian

December 18th, 2007 · No Comments

  

Oleh Idris Musa

kaabahaidiladha.jpgIbadah haji uji kesabaran

“LABBAIKALLAHUMMALABBAIK”

(Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu). Kalimah ini sentiasa basah di bibir tetamu Allah (SWT) setiap musim haji.

Ketika itu, jutaan umat Islam dari seluruh dunia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan bahasa pertuturan bertamu di Baitullah, masing-masing dengan satu tujuan - melaksanakan Rukun Islam kelima.

Ada antara mereka berkenderaan melalui jalan raya, menaiki kapal atau pengangkutan udara ke Makkah bagi menyahut panggilan Ilahi untuk beribadat, memuji dan mengagungkan-Nya.

Inilah uniknya ibadat haji dalam Islam yang tidak ada dalam mana-mana agama lain di dunia ini.

Ini sesuai dengan firman-Nya bermaksud:

“Dan serukanlah kepada umat manusia mengerjakan haji nescaya mereka akan datang beramai-ramai mengunjungi Baitullahil Haram dalam keadaan ada yang berjalan kaki dan ada yang mengenderai pelbagai jenis unta yang kurus dari segenap pelosok dan rantau yang jauh, supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah (SWT) pada -hari tertentu…” (al-Hajj:27-28)

Haji wajib dilaksanakan umat Islam yang mempunyai kemampuan perbelanjaan dan kesihatan untuk ke Baitullah di Makkah sekali seumur hidup.

Ia berbeza dengan Rukun Islam yang lain kerana mempunyai peraturan tertentu yang perlu dipatuhi.

Jika melanggar peraturan haji, jemaah dikehendaki membayar dam, malah boleh menyebabkan ibadat mereka tidak sah dan terpaksa mengulangi semula tahun berikutnya.

Ibadat itu menggambarkan kesatuan dan kekuatan umat Islam, kerana sanggup berkongsi walaupun dari pelbagai mazhab dan ideologi politik di satu tempat melakukan amalan yang sama dengan satu harapan amalan yang dipersembahkan diterima Allah (SWT).

“Haji yang mabrur (penuh dengan kebajikan) lebih baik daripada dunia dan segala isinya dan haji mabrur tiada lain balasannya melainkan syurga.” (Hadis riwayat Abu Hurairah r.a)

Ketika inilah ada antara jemaah berasa diri sangat kerdil, sehingga mencurah-curah air mata kerana melihat keagungan Ilahi. Hati dan fi zikal gementar kerana terasa diri sangat hampir dengan Pencipta.

Justeru, tanpa mempertimbangkan keadaan sekeliling yang sentiasa sibuk dengan tetamu lain, mereka mengambil kesempatan merayu, meminta ampun segala kesalahan dan dosa yang dilakukan, seterusnya memohon sepenuh harapan untuk kebahagiaan berkekalan di alam akhirat kelak.

Tidak kurang juga membulatkan keazaman untuk menempuhi hari muka dengan penuh ketaatan sekembali ke tanah air, selepas mendapat hikmah kehidupan singkat di Tanah Suci dan dugaan yang dilalui.

Dalam keadaan umat Islam yang ramai, ditambah bermacammacam gelagat, menyebabkan sesetengah mengalami kesulitan melakukan ibadat berkenaan.

Inilah yang mengajar erti kesabaran bagi setiap jemaah.

Begitupun, menurut mereka yang pernah bertamu di Baitullah, keikhlasan dan ketulusan hati paling penting kerana apabila ada keikhlasan, segala amal ibadat dapat dilakukan dengan tenang, malah jika menghadapi dugaan, tidak cepat melenting.

Ternyata, ibadat haji jika diamati mempunyai banyak pengajaran, misalnya melalui amalan melontar jamrah membawa kepada pengertian menyucikan diri daripada segala sikap buruk seperti dengki dan khianat.

Kebaikan melaksanakan ibadat haji jika mahu dihitung pasti banyak kerana ia meliputi seluruh aspek dan jika hendak dihuraikan mengenainya juga tidak habis.

PROSES HAJI

A. IHRAM UMRAH Jemaah haji akan memasang niat, contohnya haji tamattuk Jemaah akan memakai pakaian ihram Jemaah mengerjakan solat sunat ihram >Tawaf umrah di Baitullah (Kaabah) Jemaah mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali > Sa’ei umrah Jemaah berulang alik (berlari-lari anak) di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali >Bergunting/Bercukur Selepas ibadat sa’ei dan tawaf, jemaah memotong sekurangkurangnya secebis rambut.

B. IHRAM HAJI >Wukuf di Arafah Jemaah berhimpun di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah > Bermalam di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah >Melontar Jamrah Aqabah di Mina Jemaah haji melontar tujuh biji batu >Menyempurnakan dam Jemaah menyembelih binatang >Bergunting/bercukur Selepas selesai ibadat di atas, jemaah bercukur atau mengunting sekurang-kurangnya secebis rambut.

>Tawaf haji di Baitullah Jemaah mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali >Sa’ei haji Jemaah berulang alik (berlari-lari anak) di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali.

>Bermalam hari tasyrik di Mina >Melontar tiga jamrah di Mina Jemaah melontar tujuh biji batu di tiga tempat berbeza di Mina >Tawaf widak Jemaah mengerjakan tawaf selamat tinggal dengan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.

Beza haji tamatuk, ifrad dan qiran

IBADAT haji dilakukan dalam tiga kaedah, sama ada haji tamatuk, ifrad atau qiran.

Bagi kebanyakan jemaah haji yang tiba lebih awal termasuk dari Malaysia, mereka biasanya mengerjakan haji tamatuk.

1) Mengerjakan haji tamatuk ialah mengerjakan umrah terlebih dulu dalam bulan haji sebelum mengerjakan haji. Mereka berihram umrah dan haji (dua kali) secara berasingan.

Mula-mula berniat ihram umrah di miqat yang ditetapkan dalam perjalanan ke Makkah. Selesai mengerjakan umrah mereka bertahallul.

Apabila tiba tarikh mengerjakan haji iaitu dimulai dengan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, mereka berihram sekali lagi iaitu ihram haji dari tempat tinggalnya di Makkah.

Seterusnya ditunaikan ibadat haji hingga selesai. Kaedah tamatuk dikatakan lebih afdal daripada haji qiran.

Mereka yang mengerjakan haji tamatuk dikenakan dam iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, wajib berpuasa sepuluh hari, iaitu tiga hari dalam masa haji di Makkah dan tujuh hari lagi selepas pulang ke kampung.

Sebab dikenakan dam atau denda kerana mereka membebaskan diri dari ihram dan larangan apabila masuk ke Makkah sehingga tiba waktu berangkat ke Arafah.

2) Haji ifrad ialah mendahulukan ibadat haji daripada umrah dengan niat ihramnya berasingan. Inilah pekerjaan haji yang paling afdal daripada kaedah tamatuk dan qiran serta tidak dikenakan dam. Biasanya ia dikerjakan jemaah haji yang lewat tiba di Makkah iaitu beberapa hari sebelum wukuf pada 9 Zulhijjah.

Anda berniat ihram mengerjakan haji di miqatnya iaitu di tempat yang ditentukan dalam perjalanan dari tanah air menuju ke Makkah. Apabila tiba di Makkah hendaklah menyempurnakan tawaf qudum (tawaf sunat) dan sa’ei (rukun haji).

Selepas itu ke Arafah untuk wukuf pada 9 Zulhijjah dan mengerjakan lain-lain tugas haji kecuali sa’ei kerana memadai dengan sa’ei yang dikerjakan selepas tawaf qudum ketika baru tiba di Makkah.

Selepas selesai mengerjakan ibadat haji termasuk bertahallul, ia keluar ke tanah haram seperti Ji’ranah atau Tana’im, lalu berniat ihram mengerjakan umrah pula.

Seterusnya menyempurnakan rukun umrahnya iaitu tawaf, sa’ei dan bercukur.

3) Haji kaedah qiran ialah menggabungkan antara ibadat haji dan umrah, iaitu mengerjakan keduanya serentak. Mereka berniat ihram di miqatnya dengan niat untuk berihram haji dan umrah sekali gus.

Rukun tawaf dan sa’ei diwajibkan sekali saja untuk haji dan umrah dalam kaedah haji qiran ini. Kebanyakan mereka yang mengerjakan haji qiran ialah mereka yang lewat tiba di Makkah, iaitu beberapa hari sebelum wukuf atau mereka yang tidak mempunyai masa yang lama di Makkah.

Demikian juga orang perempuan yang datang haid atau orang sakit yang sedang berihram umrah, tiba-tiba sampai tarikhnya untuk berangkat wukuf di Arafah.

Ketika ini mereka boleh menambah niat ihram umrahnya dengan berniat ihram haji sekali gus. Jadilah haji qiran.

Mereka yang mengerjakan haji qiran dikenakan dam atau denda iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu wajib berpuasa sepuluh hari; iaitu tiga hari dalam masa haji di Makkah dan tujuh hari lagi selepas pulang ke kampung halaman.

Tags: Akhlak & Adab · Akidah · Ibadah & Doa

0 responses so far ↓

  • There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.

Leave a Comment

Close
E-mail It

Monty Wordpress Bayesian Spam Filter has blocked 23388 access attempts.